Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, November 27, 2017

Hala Tuju Selepas Sarjana Muda

8:08 AM Posted by Lobam No comments
Image result for ke mana selepas ijazah




Assalamualaikum. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta ahlul bait dan sahabat baginda.

Sehari dua ini, kisah UPSR menjadi sohor kini (trending). Banyak pendapat yang diutarakan baik oleh ahli akademik sendiri mahupun netizen. Biarlah. Saya tidak mahu menyentuh tentang hal itu.


Selain daripada kisah UPSR, dinding media sosial juga meriah dengan warna-warni istiadat majlis konvokesyen yang dianjur oleh pelbagai universiti. Keseronokan jelas terpancar di wajah para graduan. Tidak dilupa ibu bapa mereka juga. Tahniah saya ucapkan.

Sabar adik-adik sekalian. Jika anda merasakan, kehidupan anda sudah sempurna, tunggu dahulu. Sebenarnya, perjalanan hidup anda baru sahaja bermula. Anda akan menempuhi kehidupan yang jauh lebih mencabar di luar sana selepas ini.

Jika semasa di universiti, semuanya ditanggung. Tidak ada wang, telefon sahaja keluarga di kampung. Sehari dua kemudian anda boleh kembali tersenyum riang apabila wang dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

Sekarang tidak lagi wahai adik-adik ku. Inilah kehidupan anda. Kehidupan sebenar.

Semalam saya bertembung dengan anak murid yang sudah menyelesaikan ijazah sarjana mudanya tahun lalu. Seperti biasa, soalan wajib tanya, “buat apa sekarang?” Seperti biasa juga jawapan klise yang saya terima, “sedang menganggur cikgu.”

Allahu. Tiada kata yang dapat saya ucapkan. Anak murid saya ini tidak sendirian. Ramai lagi rakan-rakan yang senasib dengannya. Malah saya yakin, ribuan lagi graduan yang telah menamatkan pengajian setahun, dua tahun lalu masih belum mendapatkan pekerjaan.

Kita patut mengucapkan terima kepada kerajaan apabila mewujudkan SL1M. Dengan SL1M, graduan ini akan dilatih secara hands on di dalam industri yang bersesuaian. Tetapi SL1M bukan penyelesai masalah. Kerana selepas habis tempoh, graduan akan kembali menganggur.

Saya bersyukur kerana tidak merasai tempoh pengangguran. Allah permudahkan rezeki saya. Selepas pulang ke Malaysia, saya ditempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah Rembau sebagai budak pejabat. Waktu itu elaun hanya RM500 sahaja. Tidak lama selepas itu, saya dipilih untuk menjadi guru pula. Dua bulan selepas menjadi guru, saya berkahwin. Dengan elaun RM500 yang saya terima dahulu, saya kumpul untuk kehidupan selepas berkahwin sementara menunggu gaji yang tertunggak selama 3 bulan.

Ya, itu adalah cerita sepuluh tahun dahulu. Sekarang? Zaman sudah berbeza. Situasi juga tidak sama.

Kepada para graduan, SELAMAT DATANG KE DUNIA SEBENAR. Dunia yang penuh mencabar. Dunia yang membuatkan anda menyesal dan terasa seperti ingin kembali semula ke zaman belajar.

Tempuhilah kehidupan ini dengan reda demi meneruskan kelangsungan hidup. Setidak-tidaknya untuk membayar keseronokan yang telah anda kecapi dahulu. Hutang PTPTN.

Semoga berjaya adik-adikku.

Elyana Gegar Vaganza Dedah Menghidapi Kanser Limfoma Tahap 4

12:27 AM Posted by Lobam , , No comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas nikmat yang tidak bertepi. Serta selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Image result for elyana gegar vaganza

Perjalanan Elyana di Gegar Vaganza musim ke 4 2017 terhenti di minggu ke 5. Sebaik sahaja diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terakhir, Elyana telah menggemparkankan seluruh penonton sama ada di Dewan Sri Putra Bukit Jalil mahupun penonton di rumah. 

Dalam diam, sebenarnya Elyana menghidapi Kanser Limfoma tahap 4.

Untuk pengetahuan anda, anak salah seorang Juara Gema Gegar Vaganza yang pertama, Bazli daripada kumpulan UNIC juga menghidapi kanser yang sama. Syahid telah selamat bertemu dengan pencipta pada bulan Juan 2017 yang lalu.

Anak Bazli UNIC Meninggal Dunia Akibat Kanser


Apa itu kanser Limfoma? Utusan Malaysia 22 September 2015 ada menyebut,

"Limfoma Hodgkin merupakan kanser darah yang bermula dari sel lymphocytes, iaitu sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir dikenali sebagai limfa, yang merupakan sebahagian daripada sistem imun manusia.


Apabila nodus limfa membengkak, lymphocytes yang tidak normal akan membentuk sel tumor yang boleh menyebabkan berlakunya Limfoma Hodgkin."

Elyana, 30 yang lebih senang disapa Nana menyatakan benjolan Limfoma itu telah berada di seluruh tubuhnya termasuk di paru-paru dan jantung. Nana juga menyatakan bahawa dia sudah berpuluh kali menjalani kimoterapi dan yang terakhir adalah pada awal tahun 2017. Kerana tidak mampu menahan kesakitan, akhirnya Elyana memberhentikan proses kimoterapi tersebut dan meletakkan seluruh kepercayaan kepada Allah disamping berusaha dengan cara yang lain. 

Antara simtom yang kerap dirasa ialah, lesu dan sukar bernafas. Setiap malam juga Elyana berasa takut untuk melelapkan kerana khuatir itu adalah tidurnya yang terakhir. Untuk itu, Elyana lebih banyak menghabiskan masa bersama anaknya yang kini berusia enam tahun.

Di akhir ucapan, Elyana menyeru kepada semua pesakit kanser untuk bangkit melakukan apa sahaja perkara yang digemari. 

Ayuh rakyat Malaysia kita doakan agar Elyana akan diberi kesembuhan dan dapat menjadi seorang hamba yang bertakwa. InsyaAllah.