Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Friday, January 9, 2015

Tip Umrah Untuk Muslimah 1

10:27 AM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki serta Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Sebulan selepas musim haji selesai, pasti ramai rakyat Malaysia yang bercadang untuk menunaikan umrah. Tambahan pula kebiasaannya musim visa umrah dibuka adalah sekitar bulan November atau Disember bertepatan dengan musim cuti persekolahan.

Entri kali ini akan berkongsi mengenai Tip Umrah Untuk Muslimah seperti yang dikongsikan oleh laman Facebook Nota Perempuan Backpackers


1. Sebelum beli pakej umrah, pertama pastikan anda akan ditemani oleh mahram (suami / ayah / abang / adik). Dan yang kedua, pastikan anda dibenarkan keluar negara yakni tiada halangan insolvensi dan pasport sah 6 bulan sebelum tarikh luput.

Jika kedua-dua ini gagal, maka visa tidak akan dikeluarkan. Semak nama di sini: http://sspi2.imi.gov.my/

Pilih pakej yang sesuai dengan kemampuan. Jika memilih untuk menaiki direct flight seperti MAS, Air Asia atau Fly Nas anda akan terus turun sama ada di Jeddah atau Madinah. Jika mahu cabaran mungkin boleh pilih penerbangan milik negara lain seperti Pakistan International Airlines, anda akan transit di Lahore atau kawasan sekitar atau pilih Egypt Air anda akan transit di Kaherah.


2. Sementara menunggu hari berlepas:
i. Solat taubat
ii. Sentiasa bersangka baik pada keadaan sepanjang di Madinah dan Makkah 
iii. Semak ramalan cuaca di sana, musim apa, berapa darjah dll.



3. Periksa waktu solat sepanjang penerbangan. Solat dalam pesawat. Wuduk sama ada ambil di dalam tandas ataupun siap bawa botol spray yang kosong.

Arah kiblat boleh tanyakan pada flight attendance. Tak perlu cari tempat untuk solat berdiri. Boleh solat duduk.

4. Tiba di Madinah, passport anda dipegang oleh agen sepanjang berada di Saudi Arabia. Pastikan sentiasa bawa bersama tag nama yang agen berikan, kerana itu jadi ID anda di sana. Selain itu pastikan anda menyimpan kad hotel sebagai panduan. Jika tersesat sekurang-kurangnya anda ada panduan ke mana patut dituju. Tanyalah kepada peniaga atau pemandu teksi pasti anda akan dibantu.


Hotel di Madinah majoriti amat dekat dengan masjid. Lif di sini kecil - muat paling ramai 5 orang dewasa saiz Malaysia. Bangunan pula tinggi-tinggi. Jadi jika mahu cepat ke masjid, keluarlah lebih awal kerana lif biasanya menjadikan banyak urusan lambat.


5. Tip di Masjid Nabawi.

Handfon berkamera sebenarnya tidak dibenarkan bawa masuk ke masjid. Pemeriksaan beg dilakukan di pintu masuk. 

Tapi agak sukar juga untuk anda berhubung dengan keluarga lelaki jika tidak bawa handfon. Cadangan saya, sama ada bawa handfon tiada kamera, ataupun tinggalkan sahaja di bilik. Lagipun orang ramai dan padat. Ada bahayanya bawa barang berharga ke masjid. Jika mahu juga bawa, mahu ambil gambar macam ini, simpanlah di dalam poket seluar di dalam jubah.

Dan satu lagi, setiap kali di pintu masjid, siap-siap buka beg dan tunjuk kepada polis yang membuat pemeriksaan. Insya-Allah, mereka tidak akan cek poket anda.

Mengapa di ruang muslimah tidak dibenarkan bawa kamera?

Kerana di dalam masjid, muslimah ada yang membuka / membetulkan tudung, dan yang berniqab juga membuka penutup wajah mereka. Jika kita ambil foto, khuatir mereka termasuk sekali, dan amat tidak wajar kita upload pula ke media sosial sedangkan mereka mahu melindungi aurat / wajah. Hormati mereka.


6. Madinah: Tip di Raudhah.

Untuk muslimah, anda hanya dibawa ziarah dalam ke Raudhah. Tidak dibenarkan lagi ziarah ke perkuburan Baqi'.

Akan ada ustazah yang membawa anda masuk ke Raudhah, pada pagi pertama kita tiba, selepas sarapan dalam jam 7.30 pagi.

Ustazah itu akan membawa anda berkumpul menunggu giliran dengan jemaah lain yang berbahasa Melayu iaitu Indonesia, Brunei, Singapura. Akan ada pegawai masjid yang memegang placard Bahasa Malayu, jadi anda ikut sahaja.

Pembahagian kumpulan ini dibuat supaya anda yang dari Asia Tenggara ini tidak dirempuh dan berebut dengan jemaah dari Asia Selatan seperti India dan Pakistan. Disebabkan jemaah sekarang ini terlalu ramai, melebihi kuota haji, maka anda takkan dapat berlama-lama di dalam Raudhah.

Jadi, dicadangkan, jika ada orang mengirim doa dan salam kepada Rasulullah, bacakan semasa anda duduk menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah. Anda tidak akan berpeluang membuka catatan doa kiriman itu di dalam Raudhah kerana kesesakan yang dahsyat.


Raudhah itu tapak rumah Nabi. Rumah Nabi bukanlah sebesar banglo. Jauh lebih kecil daripada rumah semi-D. Dibahagi dua pula untuk lelaki dan perempuan, dan ruang perempuan lebih kecil daripada lelaki.

Justeru, waktu di dalam Raudhah (berkarpet hijau), anda perlu pentingkan diri sendiri. Maksudnya, doa diri sendiri.

Jangan bimbang, kerana di seluruh tanah haram adalah tempat doa makbul, bukan di Raudhah sahaja. Hanya Raudhah ini lebih istimewa. Dalam ibadah, kita perlu mendahulukan diri sendiri. 

Sebaik jejak kaki ke karpet hijau di dalam Raudhah, terus cari posisi yang boleh untuk berdiri. Jangan tunggu dapat ruang untuk sujud kerana memang sukar. Berdiri, niat, angkat takbir, dan solatlah. Solat taubat dan solat hajat.

Bagaimana mahu sujud? Sentiasa doa semoga Allah lapangkan ruang depan supaya dapat kita sujud walaupun bersempit-sempit. Dan perlu bersedia mental dan fizikal - sewaktu sujud, tidak mustahil orang tersepak / terpijak kepala kita. Sabar, sabar.

Pegawai masjid akan menghalau jemaah yang berdoa lama-lama di dalam Raudhah. Tip untuk dapat ruang lebih lama, berdoa ketika sujud. Jemaah yang sujud tidak dihalau.


Tetapi konsider jugalah kepada jemaah lain. Beri peluang, jangan terlalu tamak. Di Raudhah juga letaknya maqam Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar dan Umar. Baca doa-doa seperti dalam buku panduan umrah secepatnya. Dan pastikan solat menghadap qiblat, bukan menghadap maqam Nabi.

Akan ada puak ekstrem yang menangis merayu di hadapan maqam Nabi, ada juga puak Syiah yang menghadap maqam Nabi sambil memaki-maki... malah ada yang meludah! Jika ternampak mereka ini, abaikan dan istighfar banyak-banyak.

Dinasihatkan supaya masuk ke Raudhah pada waktu pagi selepas Subuh itu sahaja. Raudhah dibuka juga untuk perempuan selepas Zuhur dan Isyak. Tetapi tiada kawalan mengikut kumpulan bahasa. 

Jadi 'pertempuran' dengan puak Asia Selatan amat dahsyat dan menyakitkan hati dan badan.

Bersyukur walaupun hanya sekali dapat ke Raudhah. Ingat, mengunjungi Raudhah itu bukan rukun wajib. Tetapi berkelahi dengan jemaah lain itu haram!

Bersambung.

Wednesday, January 7, 2015

Iklan Pengambilan Peserta Program Pembangunan Pengkarya Guru KPM 2015

9:23 AM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.



Adakah anda berminat untuk menghasilkan buku sendiri? Sudah ada manuskrip tetapi tidak tahu untuk dihantar ke mana?
Bagi rakan-rakan guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kursus 4 Siri Pengkarya Guru KPM 2015 anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Permohonan terbuka kepada warga pendidik (Gred DG) yang berbakat dan berminat untuk menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja. 
Sertailah kursus 4 Siri Pengkarya Guru di hujung minggu (Khamis hingga Ahad). 
Yuran kursus, penginapan dan makan minum ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
Anda cuma perlu biayai sendiri kos perjalanan ke tempat kursus DI LEMBAH KELANG pada tarikh-tarikh yang berikut:
·         26, 27,28 dan 29 Mac 2015
·         16, 17, 18 dan 19 April 2015
·         21, 22, 23 dan 24 Mei 2015
·         13, 14, 15 dan 16 Ogos 2015
*Semua peserta yang terpilih wajib menghadiri keempat-empat siri. 
PESERTA YANG TERPILIH AKAN DIHUBUNGI SEBELUM 28 FEBRUARI 2015.
Sila muat turun borang permohonan dan hantarkan borang yang lengkap dan sampel hasil karya (penulisan atau ilustrasi atau kedua-duanya) ke mbkmmoe@gmail.com sebelum 31 Januari 2015.

FAQ.

1. Siapakah penganjur program ini?

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia

2. Kemanakah borang dan sampel penulisan perlu dihantar? eMel atau pos?
Email sebelum 31 Januari 2015.

3. Bolehkah saya menghantar sampel dalam B.Inggeris? 
Dalam borang ada pilihan bahasa, maksudnya tidak semestinya dalam Bahasa Melayu

4. Saya telah membaca tentang iklan PPG 2015 dalam web KPM, bagaimanakah saya boleh memohon?
Hantar permohonan melalui email mbkmmoe@gmail.com

5. Apakah genre penulisan yang boleh dipohon?
Cerpen, Novel, Ilustrasi dan Puisi. Setiap genre terbahagi kepada kanak-kanak, awal remaja dan remaja.


6. Bagaimana mahu memohon?
Muat turun borang permohonan di SINI

Antara aktiviti yang telah dijalankan dalam Pengkarya Guru 2014




Semoga Berjaya.