Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, July 13, 2014

Cerpen C U D Shibin ( See You Di Shibin )

7:40 AM Posted by Lobam No comments

Ingatlah, Hidup ini umpama bahtera di lautan. Cekal, tabah serta keimanan adalah kemudinya yang paling kukuh. Andainya kita gagah dan bijak mendayung menempuhi samudera raya, kita akan pasti sampai ke pulau bahagia.

SHIBIN el-Kom, seindah namanya. Tempat aku dan enam puluh lagi sahabatku berjuang mengutip mutiara yang meluncur laju daripada lisan para ulama. Salah satu muhafazah yang menjanjikan kedamaian, ketenangan dan keindahan buat masyarakat yang mendiaminya. Bumi permai dilimpahi barakah dan rahmatbuat para pejuang yang berjihad mengutip cebisan ilmu yang melata.



Begitulah hidup aku di sini. Setiap hari bergelumang dengan kitab-kitab kuliah, bola sepak, rakan seperjuangan yang memahami dan ahli bait yang sekepala. Aku dapat merasakan ketenangan yang tidak mungkin diperolehi daripada muhafazah lain. Ukhwah yang tersemat rapi antara kami penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar cawangan Shibin ini tidak boleh dirungkai lagi. Betapa bertuah dan bersyukurnya diri kerana ditempatkan di bumi permai ini.



Ini tahun ke enam aku menjadi penghuni Villa Senteri, villa kediaman Ustaz Hamid Shalabi yang aku diami untuk berlindung daripada hujan dan panas. Dan buat kali yang keseterusnya aku iadah lagi. Enam madah untuk tahun ke tiga pengajian. Mungkin madah ku ini terlalu sedikit berbanding teman yang lebih banyak menanggung beban. Tetapi iadah tetap iadah. Ia tidak seindah namanya. Inilah beban yang paling banyak terpaksa aku tanggung atas kelalaian diriku.

Aku tidak mengerti apakah masalah yang sedang aku alami. Biarpun kegembiraan sentiasa melingkari hidup kami, tetapi hidupku kosong tidak seperti rafiq yang lain. Walaupun siangnya bergelumang dengan ilmu manakala malamnya dihiasi dengan hilai tawa yang bersiponggang, jauh di sudut hati dan naluri ini aku tetap berasa sunyi.

Aku seorang insan yang bergelar lelaki. Jiwa dan perasaankku meronta-ronta untuk menyayangi dan ingin merasai diri ini disayangi. Tetapi aku tidak mahu hubungan yang bakal dibina, berlaku di luar batasan syarak. Bait Muslim? Aku tidak mahu berpura-pura dan bersikap hipokrit.Aku mahu menjadi diriku sendiri, tidak mahu apabila berhadapan dengan 'bakal' aku kelak, aku terpaksa berubah sifat, terpaksa mengawal tingkah laku demi untuk memenangi hati ustazah itu nanti. Aku rela mencari jodohku sendiri.

Memang tidak dinafikan, kerana keseorangan inilah membuatkan aku kurang bersemangat untuk menghadapi segala mehnah dan rintanganhidup di negara orang. Aku perlukan pendorong agar aku lebih maju ke hadapan. Bukan rakan-rakanku tidak membantu, malah aku beruntung kerana memiliki rafiq semulia teman-temanku di sini. Tetapi perasaan itu tidak sama jika ianya datang daripada orang yang kita cintai.

Ya Allah, kurniakanlah buatku bidadari penyejuk di mata penawar di hati. Aku memerlukan seseorang yang boleh menggerakkan aku untuk menghafaz Al-Quran dan aku perlukan seorang teman untuk aku menghabiskanmurajaah kitab-kitab kuliahku. Dengan hanya sebelah sayap tidak mungkin aku dapat menggapai bintang dilangit. Aku perlukan sebelah sayap lagi untuk mengimbangi dan menjadi pembantu di saat aku bertempur di medan pertempuran.

Aku ingat lagi, sebelum aku menjejakkan kaki ke bumi seribu menara dan mendiami bumi permai ini, ayahku pernah berseloroh agar aku dikahwinkan dahulu sebelum berangkat pergi. Tetapi ibu keras melarang. Aku masih muda dan terlalu lemah untuk memikul tanggungjawab sebagai suami katanya. Memang aku akui, pada saat dan ketika itu jiwa ini lemah dan umurku masih mentah untuk memahami hakikat kehidupan suami isteri. Tetapi tidak kini. Dengan usia yang hampir menjengah ke gerbang 25 aku masih keseorangan. Mungkin sejarah silamku membuatkan aku takut untuk bercinta lagi.

Azlini, satu-satunya wanita yang pernah mengisi ruang kekosongan di hatiku enam tahun yang lalu. Dahulu, cinta kami terlalu agung. Mungkin sehebat cinta Romeo dan Juliet tetapi tidaklah setanding cinta Shah Jehan kepada keksihnya yang sanggup membina Taj Mahal sebagai lambang cinta sejati mereka. Tetapi malangnya, panas yang disangka sampai ke petang, hujan pula yang menjengah di tengah hari. Cinta kami putus ditengah jalan. Azlini melarang keras pabila aku menyuarakan niat hatiku untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Risau dek kerana dipisahkan jarak antara benua dan lautan, cinta kami tidak berpanjangan. Telah aku perjelaskan kepadanya, semua itu memerlukan kejujuran dan keikhlasan serta kepercayaan demi melihat hubungan yang dibina mekar selamanya. Cinta memerlukan pengorbanan tambah ku lagi. Namun hatinya sepejal batu. Sikap tidak sanggup berkorban, melebihi cinta yang kami bina. Tidak dinafikan Azlini merupakan wanita yang cekal dan tabah. Kesopanan dan keperibadiannya yang mulia menambat hatiku untuk lebih menyayangi dirinya. Tetapi sayang, dalam situasi yang begini dia lebih mementingkan dirinya. Aku tidak sanggup mengorbankan harapan dan cita-citaku dek kerana cinta yang belum pasti dimana penghujungnya. Akhirnya kami menyerahkan jodoh kepada ketentuan Ilahi. Jika ditakdirkan Azlini untukku pasti dia tetap menjadi milikku suatu hari nanti.



Imtihan faslu awal telah pun melabuhkan tirainya. Sudah menjadi kelaziman warga Shibin memenuhi masjid-masjid untuk bertafaqquh. Majlis ilmu yang ditangguhkan dahulu rancak kembali. 

Istad Kuliah Ziroah juga tidak ketinggalan diimarahkan. Di situlah tempat berkumpulnya kaki bola dan kaki bangku sepertiku untuk melepaskan bebanan imtihan. Begitulah rutin kehidupan mahasiswa Shibin el-Kom dalam menghabiskan cuti musim shitak.

Menyorot kembali peristiwa sebelum tibanya imtihan faslu awal. Aku telah berkenalan dengan seorang ustazah yang menuntut di muhafazah Mansurah. Fazlina namanya. Perkenalan yang pada mulanya sekadar rakan biasa untuk menghabiskan masa senggang di laman sembang bertukar menjadi teman setia. Bukan sekadar teman biasa tetapi hadirnya membawa cahaya di hati yang bergelora. Ibarat mengantuk disorongkan bantal. Hati yang kering mekar semula. Hati yang suatu ketika dahulu tertutup buat insan yang begelar wanita kini terbuka selepas dibasahi baja kasih dan cinta.

Tidak dinafikan Fazlina banyak menitipkan kata-kata semangat buatku. Aku perlu bangkit daripada kegagalan dan jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran nasihatnya. Umpama mutiara yang meluncur laju daripada mulutnya, ku kutip satu persatu untuk ku jadikan kalung azmiat. Natijahnya, Alhamdulillah aku berjaya menjawab kesemua tiga madah untuk faslu awal ini dengan baik sekali. Nyatalah persepsi ku selama ini tidak silap.

Untuk menjaga maslahah agama agar hubungan ini diredhoi Allah, aku menyuarakan hasrat hatiku untuk menyunting Fazlina sebagai ratu di dalam sanubariku.Nyatalah aku tidak bertepuk sebelah tangan. Hasratku diterima dengan hati yang rela.

Aku tidak lupa untuk berkongsi kegembiraanku bersama rakan serumah yang lain. Mereka juga gembira pabila menerima perkhabaran yang ku bawa sebentar tadi. Sahabatku Raddee menasihati agar bersegera mendirikan rumahtangga supaya tidak berlaku hubungan yang tidak syar'ie, dan moga dia juga akan mengikuti jejak langkahku selepas ini ujarnya. Aku harus menelefon keluargaku di Malaysia secepat mungkin. Perbincangan harus diadakan segera.

Dengan langkah yang bersegera kaki kuhayun laju menuju ke kafe saiber. Dengan penuh tawakkal di hati, niat ku ini harus diketahui keluarga. Semoga mereka menerimanya.

Panggilanku dijawab, Alhamdulillah kedengaran suara ayah di corong alat pendengar suara. Dengan perasaan tenang, ayat kususun agar lancar dan tertib. Aku menerangkan segalanya kepada ayah tentang pembelajaran, tentang Fazlina dan tentang hubungan cinta kami. Ayah tidak berkata apa. Sekadar menjadi pendengar yang setia, lalu kutanya apakah pendapatnya.

"Azlan, bukan ayah mahu melarang kamu untuk mendirikan rumah tangga, malah ayah sangat bersetuju memandangkan usia kamu juga makin merangkak senja, tapi..."

"Tapi apa ayah?" Aku memotong kalimatnya.

"Tapi bolehkah kalau Azlan tidak memilih Fazlina?" Suara ayah lirih merayu. Bagaikan panahan petir menusup ke gegendang telingaku. Jantung berdegup tidak menentu.

"Tapi kenapa ayah? Kenapa tidak Fazlina?" Soalan ku lemparkan bertalu-talu.

"Ayah dan ibu sudah mempunyai calon buat kamu. Fikirkanlah dengan bijak. Harap kamu mengikut kata kami. Jangan hampakan kami Azlan."

"Hah?!" Nada terperanjatku separa menjerit.

"Kenapa perasaan Azlan dan Fazlina tidak pula ayah dan ibu jaga?" Aku memulang paku buah keras.

Kedengaran suara ayah lirih hiba. Mungkin dia tidak menyangka hanya kerana seorang wanita anaknya sendiri sanggup menengking dirinya sebegitu rupa. Kedengaran talian telefon diputuskan.

Ya Allah! Apakah yang telah terjadi pada diriku? Aku telah melukakan hati seorang ayah yang mendidik aku dengan ajaran agama sehingga aku terdampar ke bumi anbiyak ini. Aku telah mengguriskan sekeping hati tua yang perlu aku jaga bukan untuk dibinasakan. Aku telah mencalarkan hati yang menyayangi aku bagai menatang minyak yang penuh. Aku juga telah meremukkan sebuah hati yang mengharapkan agar akulah pembela keluarga pabila ketiadaannya nanti.

Duhai hati, bersabarlah menempuh dugaan. Jangan diikutkan perasaan. Usah dituruti egomu, kelak dirimu jua yang binasa.

Aku tersepit di antara dua situasi. Antara cintaku pada Fazlina dan kasih sayang terhadap keluarga. yang mana harus kuturuti. Aku buntu. Antara kasih Fazlina yang aku kenali hanya beberapa bulan dan harapan keluarga yang membesarkan, mendidik dan menyayangiku.

Ya Allah berilah petunjuk-Mu. Andai dia bukan tercipta untukku tabahkanlah hati yang lemah ini dalam menerima ketentuan-Mu. Antara harapan keluarga dan sayang pada Fazlina yang mana harus aku dahulukan? Duhai hati usahlah kau bersedih. Wahai akal berfikirlah kau sebaiknya. Wahai Tuhan, apakah dosaku sehingga aku diuji sebegini? Mengapa cinta terhalang ketika ianya mekar berkembang? Mengapa harus layu sebelum ianya mekar mewangi? Mengapa Kau biarkan sahaja ia tumbuh jika bukan untuk disunting? Mangapa Kau hadirkan dia jika bukan untukku? Aku pasrah ketentuan-Mu Ya Allah. Siapakah pilihan keluargaku? Adakah dia sebaik Fazlina? Berikanlah petunjuk-Mu.

Aku buntu. Mengapa wajah ayah dan ibu sering bertamu dalam lewat mimpiku. Mereka gembira di hari pernikahanku, tetapi pengantin perempuannya tidak jelas pada penglihatan. Apakah petandanya?

Aku menceritakan perihal mimpiku kepada Hasrool, rakan serumahku. Akan tetapi dia juga tidak mengerti maksud mimpiku itu. Hasrool menyuruhku berserah kepada Allah. Mengadu kepada-Nya.

Selepas beberapa hari, mimpi yang sama masih bertandang dalam tidurku. Aku harus berbincang dengan Fazlina secepat mungkin. Ya! Fazlina.

Seperti yang dirancangkan, kami bertemu di rumah Ustaz Shafie. Pertemuan empat mata itu disaksikan Ustaz Shafie dan isterinya, Ustazah Zulaikha. Ayat kuatur cantik dengan harapan tiada hati yang akan terluka. Aku menceritakan tentang ayahku dan perihal mimpi yang sering bertandang pada lenaku.

"Az...lan" Suara Fazlina layu dan sukar dimengertikan.

"Az...lan" Nadanya lebih keras dan deras. Matanya tumpah ke lantai.Tubuh Fazlina bergoncang.Nafasnya sesak.

"Andai cinta enta bukan untuk ana, ana rela melepaskannya. Mungkin Allah telah memilih wanita yang lebih baik dan mulia daripada ana untuk menjadi sayap kiri perjuangan enta. Terimalah pilihan keluarga" Fazlina menyeka air mata dengan kura tangan.

"Fazlina..." Aku cuba mencelah.

"Maafkan ana Azlan. Mungkin ana terlalu bodoh meratapi hubungan yang tidak kesampaian ini."

"Tapi Fazlina, kitakan mahu berbincang, kata putus belum kita temui." Aku cuba meredakan keadaan.

"Azlan, terimalah pilihan keluarga. Ana bersyukur kerana hubungan ini masih belum jauh lagi. Tetapi izinkanlah ana mengenang kisah cinta ini seumur hidup ana, kerana entalah orang pertama yang mengajar ana erti cinta. Lupakanlah semua kenangan kita yang bisa membuatkan enta bersedih. Anggaplah ini suratan, satu perpisahan. Maafkan ana andai hati enta terluka." Sambung Fazlina, esaknya masih belum reda. Masih terhenjut bahunya.

"Fazlina, usahlah enti bersikap begini. Kenapa tidak kita pertahankan sahaja cinta ini." Aku menagih kepastian.

"Keluarga lebih penting Azlan. Enta baru mengenali ana beberapa bulan, tetapi tidak keluarga enta.Mereka lebih mengenali enta sejak enta dilahirkan. Mungkin mereka mahukan yang terbaik buat anak mereka. Terimalah pilihan keluarga Azlan. InsyaAllah ana akan cuba menerima hakikat bahawa kita tidak mungkin akan bersama. Sampai di sini sahaja cinta yang kta pertahankan Azlan. Maafkan ana. Semoga enta berbahagia dengan si dia." Fazlina memalingkan wajahnya. Esaknya makin berkurangan.

Dia? Siapakah dia? Aku juga tidak mengetahui siapakah dia yang Fazlina maksudkan.
Tidak kusangka pertemuan kami pada petang itu berakhir dengan tragedi air mata. Ustaz Shafie hanya menasihati kami agar bersabar dengan ketentuan Ilahi. Menerima takdir dengan hati yang redho.

Aku melantunkan jemari menekan nombor pada papan kekunci komputer . Hanya selepas beberapa ketika kedengaran di hujung talian sana panggilan ku dijawab. Oh ayah rupanya yang sedang berbicara. Selepas salam ku dijawab, aku meneruskan kata.Dikesempatan yang ada, aku terus mengungkapkan kalimah kemaafan buat ayah atas ketelanjuran kataku lewat telefon tempohari. Aku menceritakan segala-galanya kepada ayah. Termasuklah hubungan aku dan Fazlina. Ayah terkesima dan mungkin sedikit terperanjat apabila mengetahui aku dan Fazlina tidak mempunyai apa-apa ikatan lagi. Dalam tenang ayah meminta maaf kerana memaksa agar aku memutuskan hubungan dengan Fazlina. Katanya perjanjian telah dibuat. Aku pun tidak mengerti apakah yang dimaksudkan oleh ayah dengan perjanjian.

"Azlan, kalau kamu bersetuju, majlis pernikahan kamu akan dilangsungkan bulan hadapan." Ketenangan aku ditebas dek ungkapan kata daripada ayah sebentar tadi.

"Ayah ni biar betul? Kenapa cepat sangat?" Secubit pertanyaan terbit di hujung kata.

"Betul. Kamu ingat umur kamu muda lagi? Mahu ditunggu sampai bila? Kamu mahu tunggu ayah pejam mata dahulu baru kamu mahu berkahwin?" Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepadaku.

"Tapi dengan siapa ayah?" Secebis gusar terbit di benak fikiran. Aku menahan debar di dada.

"Norazlini bt. Dato' Rahman"

"Apa? Azlini?" Aku separuh menjerit. Tanpa dipaksa dua orang lelaki berbangsa Arab yang sama-sama menyewa internet di sebelahku menoleh. Mungkin mereka kehairanan. Aku malu sendiri.

"Ya Azlini, dia anak kenalan ayah. Memang sudah lama kami merancang untuk menjodohkan kamu berdua. Sejak kamu melangkah ke tahun pengajian yang kedua lagi. Tetapi memandangkan kamu masih baru di sana, kami tangguh dahulu hasrat kami. Kami berjanji akan menjodohkan kamu berdua apabila tiba masanya. Sekaranglah merupakan masa yang terbaik. Sebab itulah ayah menyuruh kamu melupakan Fazlina."

Azlini kini kau muncul semula bagi mengubati jiwaku yang baru terluka. Mungkin sudah ketetapan Ilahi untuk kita bersama. Inilah yang dinamakan jodoh.Sudah jodoh pastinya tidak ke mana. Fazlina maafkan andai kau terasa. Segala-galanya merupakan ketentuan-Nya yang Esa. Kita sebagai hamba mampu merancang tetapi perancangan Allah itulah yang lebih diutama.

Hari ini merupakan hari pernikahanku, tetapi aku tiada semasa majlis akad nikah dilangsungkan. Walaupun dipisah jarak beribu batu, inilah rukhsah yang telah Allah berikan. Ayah mewakiliku untuk menerima salaman daripada bapa mertuaku. Dialah yang menikahkan kami. Semoga Ayah tidak tersalah lafaz. Bimbang juga aku dibuatnya.

Khidmat pesanan ringkas ku terima daripada ayah yang menyatakan bahawa aku sudah selamat menjadi suami yang sah kepada Azlini. Lantas solat sunat syukur aku kerjakan. Betapa kerdilnya aku di hadapan Tuhan. Sesungguhnya ketetapan Allah melebihi segalanya. Biarpun bercinta separuh mati tetapi jika bukan Fazlina jodohku, apa lagi yang boleh aku katakan, hanya pasrah menerima ketentuan yang Maha Esa.


Kini aku berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Setengah jam lagi penerbangan daripada Malaysia akan mendarat. Tidak sabar rasanya untuk menantikan ketibaan Norazlini bt. Dato' Rahman, isteriku tercinta. Teringat aku pada sebuah tajuk lagu kumpulan nasyid remaja popular UNIC iaitu C U D IPT dan ungkapan paling tepat yang boleh aku katakan kepada Azlini ialah C U D SHIBIN.

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment