Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, May 24, 2014

Ujian DNA Khinzir Cadbury Tidak Sah?

9:10 PM Posted by Lobam , , , 1 comment
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Adakah makanan yang masuk ke dalam mulut kita dijamin halal? Itu soalan yang kerap ditanya. Jika dilihat situasi negara Malaysia yang sering dilabel sebagai negara Islam, saya kira isu halal bukanlah menjadi isu yang besar. Malah perkara halal haram ini sepatutnya menjadi isu terpencil memandangkan Malaysia yang menjadikan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan pastinya sangat menitik beratkan isu berkaitan halal haram.

Mengapa halal haram menjadi isu? Perkara halal haram berkaitan makan dan minum sering diceritakan di dalam al-Quran.

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah: 168)

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. (Surah al- Maidah: 88)

Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang suci yang telah Kami berikan kepada kamu, (Surah al-Baqarah : 172)  

Isu halal haram ini menjadi trending bermula Coklat Pepero dipertikaikan status halalnya. Malah kisah ini banyak diceritakan di dalam blog terkemuka. Blogger Shakiddo juga ada bercerita mengenainya di dalam entri Pepero Tiada Sijil Halal. Blogger Eyriqazz juga ada bercerita isu yang sama di dalam entrinya Status Halal Coklat Pepero.


Sumber Gambar : Negarakita.com
Sejak beberapa hari lalu, isu Coklat Cadbury pula menjadi trending di alam saiber dan menjadi viral di segenap ruang media sosial. Kes ini bermula apabila laporan makmal bertarikh 27 Februari 2014 menyatakan bahawa Coklat Susu Dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk dikesan mempunyai DNA Khinzir (Porcine). Laporan yang ditandatangani oleh Faizah binti Puad Pegawai Teknologi Makanan Gred C44 telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia.


Kes ini telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan sendiri melalui Kenyataan Akhbar bertarik pada 24 Mei 2014. Dalam kenyataan tersebut, KKM ada menyatakan  3 coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA Khiznir (Porcine)  bagi tujuan pemantauan. Keputusannya, 2 sampel dikesan mengandungi DNA Khinzir.



Jabatan Kemajuan Islam Melaysia (JAKIM) juga tidak ketinggalan turut dipersalahkan. Terdapat banyak pihak melatah menghentam JAKIM dan meminta JAKIM untuk bertanggungjawab. Justeru itu JAKIM juga telah mengeluarkan satu Kenyataan Media yang bertarikh 24 Mei 2014 menyatakan bahawa dua sampel Coklat Cadbury telah digantung sijil pengesahan halal berkuatkuasa SERTA MERTA.



Tidak cukup dengan itu, pihak Cadbury Dairy Milk Malaysia juga tidak ketinggalan mengeluarkan kenyataan melalui laman Facebook rasminya

Kami di Cadbury ingin memberi maklum balas berkenaan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pagi ini.

Pihak kami telah dimaklumkan bahawa Cadbury Dairy Milk dengan kacang Hazel (nombor siri 200813M01H I2 yang tarikh luputnya adalah pada Nov 13, 2014) dan Cadbury Dairy Milk dengan Buah Badam (nombor siri 221013N01R I1 yang tarikh luputnya adalah pada Jan 15, 2015) telah diuji positif dengan kesan DNA khinzir. Pihak kami telah mengambil tindakan segera dengan menarik semula kesemua produk-produk yang terjejas daripada pasaran.

Produk-produk Cadbury yang lain adalah tidak terjejas dalam siri ujian yang telah dilakukan.

Pihak kami sedang menjalankan sisasatan rapi ke atas kesemua rangkaian bekalan kami bagi memastikan kualiti produk kami terus mematuhi kesemua piawaian yang telah ditetapkan. Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa kesemua cokelat Cadbury Malaysia adalah dihasilkan di Malaysia dan dijamin Halal menerusi sijil JAKIM, dan ini termasuk sumber bekalan bahan-bahan mentah dan lokasi yang digunakan. Kami mengamalkan prosedur kawalan kualiti yang ketat dan memastikan produk kami mencapai standard tertinggi dalam keselamatan dan kualiti produk.

Kami ingin mengucapkan terima kasih ke atas sokongan yang diberikan kepada Cadbury.

Apa yang dikesalkan ialah tiada langsung permohonan maaf yang dikeluarkan oleh pihak Cadbury Dairy Milk Malaysia. Malah menurut blogger Nor Iman Marzuki, setakat jam 8 malam 24 Mei 2014 Coklat Cadbury Dairy Milk masih dijual di Giant Ampang Point.

Kini muncul satu lagi isu yang telah ditimbulkan oleh sesetengah pihak melalui laman Facebook Sahabat Halal

Pengunaan teknik pengujian analitikal "Metod G04-247" oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk menguji coklat adalah dipertikai. Ini kerana metod ini hanya sesuai untuk mengesan DNA khinzir dalam produk berasaskan ikan atau daging.

http://www.standardsmalaysia.gov.my/documents/ddl/39007/file

Tanpa akreditasi pulak tu... So keputusan yang dikeluarkan perlu diuji semula.... 

Adalah Tidak wajar untuk salahkan Jakim, ujian selanjutnya perlu dilakukan. Adalah tidak sepatutnya berlaku sehingga ada pihak yang melenting seperti ada yang minta mana-mana pihak letak jawatan atau sebagainya.

#CADBURY



Menurut Sahabat Halal, Pengunaan teknik pengujian analitikal "Metod G04-247" oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk menguji coklat adalah dipertikai. Ini kerana metod ini hanya sesuai untuk mengesan DNA khinzir dalam produk berasaskan ikan atau daging.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sudah sahkan. Malah Pihak Cadbury Dairy Milk telah menarik semula coklat-coklat yang terlibat. JAKIM juga telah menggantung sijil halal kedua-dua coklat SERTA MERTA. Kini wujud pula isu Keputusan Yang Dikeluarkan Perlu Diuji Semula.

Kesimpulannya, Yang Halal Itu Jelas, Yang Haram Itu Juga Jelas. Seperti mana hadis yang dikeluarkan melalui lisan Nabi yang mulia.

Dari Abu 'Abdillah An-Nu'man bin Basyir radhiallahu 'anhuma berkata,"Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya yang Halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka barangsiapa menjaga dirinya dari yang samar-samar itu, berarti ia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barangsiapa terjerumus dalam wilayah samar-samar maka ia telah terjerumus kedalam wilayah yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang maka hampir-hampir dia terjerumus kedalamnya. Ingatlah setiap raja memiliki larangan dan ingatlah bahwa larangan Alloh apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah bahwa dalam jasad ada sekerat daging jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rusak maka rusaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal daging itu adalah hati”. [Bukhari no. 52, Muslim no. 1599]

Tepuk dada tanya iman.

1 comment:

  1. memang benarlah pernah dengar radio katanya kalau diturut dan ada seekor babi kat badan kita dek termakan seperti kejadian di atas.

    ReplyDelete