Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, April 14, 2014

Cerpen Warkah Buat Suami

6:16 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan serta para sahabat dan ahlul bait baginda.

Cerpen ini adalah merupakan antara karya terawal saya ketika saya baru mula bertatih dalam bidang ini. Karya ini juga pernah diterbitkan dalam majalah Blues Untuk Aku dan Legend Comic ketika saya menuntut di luar negara.


WARKAH BUAT SUAMI
Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
LUSA seluruh umat Islam akan menyambut tahun baru Hijriah 1428. Hari baru, tahun baru dan azam baru. Semua orang pasti akan merasakan kegembiraan menyambut maal hijrah bersama keluarga tercinta. Mungkin tahun baru hijrah akan memberi lebih makna buat diri mereka. Aku? Aku masih tetap di sini membilang bilahan baki Zulhijjah. Entah mengapa Zulhijjah tahun ini tidak membawa kebahagiaan buat diriku. Adakah Zulhijjah 1427 yang bersalah ataupun Aku yang bodoh, bodoh kerana tidak menutup tahun 1427 ini dengan sesuatu yang membahagiakan diri. Kelmarin baru sahaja aku menghalau isteriku – Ida pulang ke rumah orang tuanya. Entah apa yang terjadi pada diriku. Bagai di rasuk syaitan, aku mengamuk sakan. Sepatutnya Muharram yang bakal muncul beberapa hari lagi merupakan jalan yang terbaik untuk menjadi madrasah dalam mendidik kesabaran, tetapi kelmarin Aku hilang pertimbangan. Hampir-hampir sahaja Ida ditalakkan. Aku tidak tahu mengapa aku bersikap sedemikian. Panas baranku makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mungkin disebabkan desakan kerja yang bertimbun di pejabat atau sikap dingin Ida sejak kebelakangan ini membuatkan diriku berubah. Aku lupa pada sabda Nabi yang mana mafhumnya jika kamu marah maka berwuduklah. Aku melepaskan segala kemarahanku kepada Ida. Ida tidak bersalah, tetapi mengapa dia yang menjadi mangsa? Aku berdosa kepada Ida.
            Kini diriku sepi, sunyi tiada berteman. Bagaimana harusku lalui Muharam yang bakal menjelang tanpa kehadiran Ida di sisi. Inginku pujuknya kembali, tetapi ego kelakianku pula tegas melarang. Sesungguhnya benarlah kata orang, ungkapan maaf merupakan perkataan yang paling sukar untuk diucapkan.
            Ketika Aku hampir merebahkan diri di atas katil, mataku tertancap kepada sekeping sampul surat berwarna merah jambu di atas meja lampu. Kakiku begitu mendesak untuk melangkah ke meja itu dan tanganku begitu memaksa untuk mencapainya. Tertera namaku di situ. Naluri ingin tahuku membuak-buak meminta agar sampul itu di buka dan risalah di dalamnya segera dibaca. Perlahan-lahan aku membuka warkah itu lalu membacanya.

Abang,
Kata orang warna ungu adalah warna kesedihan. Secara tidak dirancang hari ini Ida memilih warna ungu untuk menemani hari Ida. Pakaian Ida malah tulisan pena warkah ini turut berwarna ungu. Sedihkan Ida? Kita lupakan soal kesedihan itu dahulu. Buat insan yang amat Ida sayangi dan cintai, Abdul Iezat Wajdi. Buat permulaannya, ingin Ida memohon jutaan kemaafan jika segala kesalahan dan kelancangan tutur bahasa Ida bisa menumpahkan air mata kelakian Abang. Maaf atas segala kekasaran tingkah laku dan janji yang tidak tertunai, janji untuk membahagiakan Abang hingga ke akhir hayat dan segala kesusahan serta kepayahan yang telah Abang hadapi disebabkan diri Ida yang serba kekurangan ini. Maaf jua atas segala kedegilan dalam mengikuti segala nasihat Abang. Ida bersyukur di atas segala kurniaan dan limpahan kasih sayang dan rahmat dari-Nya kerana bisa mengurniakan Ida seorang insan sebaik Abang dan insan yang paling dekat di hati Ida. Alhamdulillah. Kali pertama bersua muka dengan Abang, Ida dapat merasakan bahawa Abang seorang yang tenang dan mempunyai sifat yang suka berjenaka. Gurauan dan kenakalan Abang menceriakan hari-hari Ida, malah bisa membuatkan Ida tertawa walaupun pada mulanya cuba untuk mengawal perasaan tersebut. Kadangkala Ida tersenyum sendirian mengenangkan telatah Abang seperti keanak-anakan.
            Panggilan telefon, sms, malah surat daripada Abang membahagiakan jiwa Ida. Walaupun terselit perasaan wasangka kerana bimbang dipermainkan namun Ida terima jua. Dimulai dengan persahabatan disusuli pertemuan demi pertemuan. Akhirnya membibitkan satu perasaan aneh yang amat sukar dimengertikan oleh seorang yang bernama Ida. Setiap kali mata bertentang dan setiap kali itulah hati Ida berdebar kencang. Hubungan itu berkahir apabila Abang melamar Ida untuk menjadi sayap kiri dalam perjuangan, walaupun kala itu kita masih menuntut di kolej. Tanggal 28.02.2003 menjadi bukti. Saat paling membahagiakan diri Ida tatkala cincin yang menjadi tanda disarung kemas ke jari manis. Malah Ida pasti, Abang juga turut merasai kebahagiaan itu.
            Hari demi hari, minggu berganti minggu, bulan bertukar bulan. Akhirnya kita berjaya menamatkan pengajian di kolej. Tenangnya air di Tasik Kenyir, butiran pepasir putih di Pantai Batu Buruk, kelazatan air batu campur di Pantai Teluk Ketapang dan keindahan mentari tenggelam di Taman Rekreasi Pulau Kambing pasti menggamit kenangan silam. Saat-saat bersama Abang adalah yang terindah buat diri Ida.
            Namun panas yang Ida sangkakan sampai ke petang, hujan juga yang menjengah di tengahari. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula pasangan suami isteri kepada kita. Abang mula berubah, tidak lagi seperti dulu. Tiada lagi lawak jenaka yang pada suatu ketika dahulu saban hari menghiasi hidup Ida dan tiada lagi kata-kata romantis yang selalu Abang bisikkan di telinga Ida. Namun demi kecintaan Ida kepada sebuah perhubungan yang amat bermakna, Ida rela tempuhi segalanya. Biarlah Ida yang merasakan pedihnya asalkan Abang bahagia.
            Abang terlalu memandang enteng pada hakikat sebuah perasaan yang perlu Abang jaga. Abang juga terlalu mengambil mudah soal hati Ida yang amat sensitif ini. Malah terlalu murah air mata ini jatuh kerana Abang. Hati kecil ini meronta ingin difahami, tetapi ianya bagai satu permintaan anak kecik  tidak mungkin akan dikabulkan. Ida pasrah demi kasih sayang Ida tehadap Abang. Marah Ida tidak diredakan, rajuk dan tangis juga tidak dipujuk. Namun, Ida pasrahkan segalanya. Kadangkala hati kecil ini terlalu sedih dengan sikap Abang. Telalu mudah dalam soal menjaga sekeping hati ini. Kadang-kadang terfikir juga adakah Ida yang diciptakan buat Abang atau Ida hanyalah sandaran semata.
            Pernah Ida meluahkan segalanya kepada Abang. Tetapi Abang sering tersalah anggap. Abang katakan yang Ida ini terlalu manja dan sering mengada-ngada. Salahkah Ida ingin dapatkan semula kasih sayang yang telah hilang daripada suami Ida sendiri? Bila hati ini terlalu rindu dek kerana kesibukan Abang bekerja di luar kawasan, Abang tampak terlalu bias. Kadangkala tiada reaksi daripada Abang. Kadang-kadang juga Ida terfikir, adakah hanya Ida sahaja yang memerlukan Abang? Sedih rasanya, tetapi mungkin itulah sebuah harga yang perlu Ida bayar. Pernah terbit di benak Ida untuk lari dari daerah ini namun kaki Ida berat untuk melangkah, hati Ida degil untuk pergi meninggalkan Abang. Kerana apa? Kerana Ida cintakan Abang. Maafkan Ida kerana niat busuk itu pernah terdetik di hati ini. Hampir-hampir sahaja Ida termakan dengan  pujuk rayu syaian durjana. Di waktu yang lain pula, Ida merasakan Ida patut berhenti daripada mencintai Abang, tetapi pada masa yang sama Ida takut untuk kehilangan Abang. Terasa ingin melupakan semua mengenai Abang, segala kenangan kita, senyumanmu, lirikan dan renungan lembut matamu, suaramu, titisan air matamu, gerak gerimu bahkan semuanya mengenai Abang. Tapi Ida tidak mampu, tidak mampu untuk melupakan Abang.
            Setiap kali Ida tersenyum, Abang akan buat Ida menangis semula. Setiap kali Ida merindui Abang, Abang buat Ida kecewa. Pabila Ida bangun untuk mendekati Abang, Ida rasakan jurang antara kita terlalu jauh. Pabila Ida berjalan mendekati Abang, Abang berlari meninggalkan Ida. Pabila Ida merasakan kemesraan dan ingin menghampiri Abang, tiba-tiba Abang dingin dan berundur menjauhi. Mengapa begitu Abang? Apakah salah Ida? Kurangkah layanan Ida terhadap Abang? Kurangkah kasih sayang Ida terhadap Abang? Atau kurangkah pengorbanan Ida tehadap Abang?
            Apabila Abang sakit, Ida akan menjadi telalu bimbang dan Ida cuba pastikan agar diri ini berada di sisi Abang sewaktu Abang memerlukan. Pabila Abang berduka, Ida pastikan Idalah peneman setia. Malah pabila Abang gembira, Ida turut bersama Abang walaupun ketika itu Ida sendiri sedang berduka. Demimu kurelakan segalanya. Masih tidak cukupkah segala apa yang telah Ida lakukan ini? Maafkan segala kesalahan diri Ida.
            Maafkan Ida jika ada kekurangan pada diri ini. Sesungguhnya itu bukanlah pilihan Ida. Sudah dicatatkan di Luh Mahfuz ketentuan Ida sebegini. Tetapi Ida akan cuba mengatasi kelemahan diri. Maafkan juga kerana terlalu menyalahkan Abang. Sesungguhnya kemarahan ini membuatkan Ida buta pada kasih sayang dan pengorbanan yang telah Abang lakukan.
            Maafkan Ida. Aku lupa pada kesabaranmu dalam menuruti segala kehendakku. Aku lupa pada ketabahanmu dalam menghadapi kenakalanku. Aku lupa pada segala pengorbanan yang telah kau lakukan dahulu. Aku lupa pada setianya kau menemaniku ketika aku menangis. Aku lupa pada segala kasih sayang dan segala kecintaan yang kau peruntukkan buatku. Malah Aku lupa pada sekeping hati yang telah Kau serahkan padaku. Aku lalai dalam menjaga amanahmu supaya menjaga hati yang satu itu. Aku lalai... Aku alpa... Adakah layak untuk Aku menjaganya semula?... Adakah layak Aku berada di sisimu kini dan masa mendatang?... Dek kerana terlalu mengharap Abang menjaga sebuah perasaan ini, Ida terlupa segala kebaikan dan ketulusan cinta Abang terhadap Ida. Ida lupa pada lembutnya renungan kasih sayang Abang. Ida lupa pada segala kesetiaan yang telah Abang curahkan.
            Kekasihku...
            Andai masih lagi ada cintaku di hatimu, ku pohon untuk menghuni hatimu semula. Ku pohon untuk menjaga hatimu sekali lagi. Ku pohon untuk berada di sisimu buat sekian kalinya. Maafkan aku atas segala kekurangan ini. Maafkan aku atas segala kekasaran kata-kata ini. Maafkan segala dosa-dosaku padamu. Andai masih ada jodoh, inginku mulakan kembali episod cinta ini. Andai masih ada hayat, inginku berbakti hanya padamu. Kiranya namaku masih di hatimu, inginku serahkan sgalanya padamu.
            Abang...
            Maafkan Ida andai tidak sempat untuk menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1428 kali ini. Anggaplah ia sebagai ujian sebelum kita membuka lembaran baru. Maafkan Ida Abang. Walau apa yang terjadi, Abang tetap di hati sebagai seorang suami, kekasih dan teman. Ida juga ingin sentiasa di hati Abang buat selamanya sebagai isteri dan ibu kepada anak kita yang bakal lahir nanti.
Yang mengasihimu...
Norlida
Air mata kelakianku jatuh menelusuri pipi mulusku tanpa dipaksa. Entah mengapa isi kandungan surat ini begitu menyentuh jiwa. Tambahan pula pabila mengetahui isteriku sedang hamil. Sepatutnya berita gembira yang baru sahaja aku tahu ini, kami sambut bersama dengan penuh kesyukuran. Aku melipat semula warkah bisu itu dan membiarkannya di atas meja. Lalu aku merebahkan badan di atas katil. Fikiranku melayang mengenangkan saat romantis bersama Ida. Bagai layar putih menayangkan gambar. Jelas segalanya di fikiran.
            Ida...
            Sesungguhnya Abang bersalah terhadapmu sayang. Maafkan Abang Ida kerana tidak bisa mengerti perasaanmu. Tidak mampu menjaga sekeping hati yang rapuh itu. Abanglah yang bersalah. Esok akan Abang turutimu pulang ke kampung orang tuamu untuk membuka lembaran baru pada tahun baru kali ini. Akan Abang leburkan tembok keegoaan ini agar 1428 hijrah kali ini akan lebih bermakna.

Cerpen ini pernah tersiar di Legend Comic terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment