Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, March 9, 2014

Menyulam Cinta Di Majlis Sepetang Bersama Blogger & Yeos 2014

10:32 PM Posted by Lobam 6 comments
Assalamualaikum.

Alhdmulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Meriah dan penuh ukhwah. Itulah perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan kemeriahan Majlis Sepetang Bersama Blogger & Yeos 2014 yang diadakan di Saloma Bistro and Theatre Restaurant Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan oleh Denai Hati Network dan ditaja oleh Yeos Malaysia itu berjaya mengumpulkan seramai lebih 350 orang blogger dari seluruh negara.


Program yang dianjurkan sejak tahun 2012, telah mengumpulkan ratusan blogger dari Malaysia, Brunei dan Indonesia. Penganjuran program yang memasuki tahun ketiga ini bertujuan mengeratkan silaturrahim antara blogger serta membina jaringan perhubungan serta perniagaan dalam memperkenalkan produk masing-masing.


Bagi saya yang baru pertama kali menyertai aktiviti seperti ini benar-benar memberi kenangan serta pengalaman yang sangat berharga. Berbicara dan bertentang mata bersama blogger hebat membuatkan diri ini terasa kerdil. Kalam taujihad yang dilontarkan benar-benar membongkar segala kekuatan dan menyentak emosi untuk terus menulis.


Teringat kepada kalam penulis prolifik Bahruddin Bekri melalui karyanya Padanya Ada Cinta,

Tulisan ini panjang umurnya. Selepas kita dibangkitkan, tulisan-tulisan inilah yang akan ditayangkan di Padang Mahsyar nanti. Jika baik penulisan kita maka baiklah keputusannya.

Ternyata pertemuan yang berharga ini benar-benar memugar semangat saya untuk menulis.

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Majlis yang dianjurkan dalam keadaan santai membuatkan seluruh jemputan terhibur. Tambahan pula penampilan khas persembahan nyanyian yang disampaikan oleh Retis #BoniKacak dengan lagu yang dicipta khas untuk peraduan Gaya Hidup Sihat Bersama Yeos membuatkan para hadirin seakan histeria. Kemunculan #BoniKacak ditunggu-tunggu ramai sekaligus menamatkan spekulasi yang berlegar di ruang atmosfera Saloma Bistro mengenai kemenangan beliau. Ternyata kelunakan suara #BoniKacak memberi kredit buat beliau sehingga dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga peraduan anjuran Denai Hati dan Yeos itu. 

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Pelbagai acara menarik telah diadakan. Antara yang ditunggu-tunggu ialah acara cabutan bertuah. Banyak hadiah menarik yang terdiri daripada gajet, pakej percutian, tajaan server sehinggalah kepada comforter menjadi idaman setiap hadirin yang hadir. Setiap kali acara cabutan bertuah, para peserta seakan terpaku di tempat duduk dan tumpuan mata tertancap di layar putih yang disediakan. Tepukan gemuruh para hadirin bergema di ruang udara setiap kali nama pemenang diumumkan. Ternyata para hadirin sangat terbuka dan memberi penuh kerjasama biarpun bukannya nama mereka yang disebut.

Antara permainan yang mendapat sambutan para hadirin ialah acara minum air Yeos paling cepat. Setiap peserta dibekalkan 2 kotak minuman kecil Yeos dan para pemenang dipilih berdasarkan kepantasan menghabiskan kedua-dua air kotak yang disediakan. Bagi blogger wanita, acara lebih ringan disediakan buat mereka iaitu meneka perasa minuman Yeos. Aksi-aksi para peserta benar-benar mencuti hati para jemputan.


Perkongsian ilmiah daripada para selebriti blogger juga menjadi acara yang ditunggu-tunggu. Kehadiran Red Mummy, Hazman Fadzil dan Zarul Umbrella benar-benar menggamatkan suasana. Mini forum yang dipengerusikan oleh bro Denai Hati memberi banyak input kepada para jemputan. Malah lambakan tip serta perkongsian menarik membuatkan para jemputan lebih bersemangat untuk meneruskan aktiviti blogging.


Perkongsian daripada blogger pelaburan hartanah Shafie Bustan dan blogger Santai Ben Ashaari sangat memberi inspirasi. Teringat akan kata-kata bro Ben, semua yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan cerita. Pada saya, sudah tentu cerita yang ditulis, diharap dapat memberi manfaat kepada semua.


Kemunculan pelakon popular Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang mewaili penaja Ephyra meredakan suhu sejuk di dalam dewan. Perkongsian yang menarik mengenai produk Ephyra membuatkan produk milik bumiputera ini lebih dikenali terutamanya melalui penulisan-penulisan promosi daripada blogger yang hadir. Malah testimoni yang diberikan oleh blogger kegemaran saya Eyriqazz memberi tambah nilai kepada produk ini. Perkongsian daripada pihak Lazada juga banyak memberi peluang kepada para blogger untuk bekerjasama. Mudah-mudahan laluan yang telah dibuka ini akan memberi jalan kejayaan.

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Jika mahu didokumentasikan satu persatu, saya pasti entri ini akan panjang berjela. Saya yakin, kehebatan #SBBYeos2014 #SBB2014 juga telah diekspresikan oleh blogger-blogger hebat yang lain melalui entri yang lebih bertenaga dan menarik. Tulisan daripada saya blogger kecil ini sekadar penambah perisa yang sudah sedia enak.


Terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada penaja dan tahniah kepada semua penerima hadiah cabutan bertuah.

Meja Bertuah Nombor 1. Pemenang Motorola, Pemenang iPhone 5S, Pemenang Server, Pemenang Jersi Dan Pemenang Baucer Percutian
Oh ya, kata orang tidak sempurna majlis jika pulang dari #SBB2014 tanpa membawa pulang apa-apa. Syukur kepada Allah kerana penampilan sulung saya benar-benar memberi langkah kanan buat saya. Sehelai jersi Chelsea, dua kartun Yogurt Anggur Yeos, sebungkus mi Cintan, bekalan produk Ephira selama sebulan dan hadiah-hadiah kecil lain pembuka langkah saya untuk majlis hebat ini. 


Bagi saya sendiri bukan hadiah yang menjadi ukuran tetapi ukhwah yang baru disemai ini diharap akan membesar dan mengeluarkan hasil yang ranum untuk dinikmati bersama. Ya, HIDUP UNTUK MEMBERI. Tahniah Tim Denai Hati.

Gambar-gambar yang tidak dinyatakan sumber diambil menggunakan Samsung Galaxy Camera dan Telefon Lenovo Vibe X

6 comments:

  1. memang sangat best sbb2014..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul2. Banyak ilmu booeh dapat.

      Delete
  2. Satu pengalaman yang menyeronokkan dapat join SBB2014.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terasa lebih semangat nak menulis.

      Delete
  3. Mood happy dan cerita bila jumpa kengkawan secara bersemuka.....

    ReplyDelete
  4. Meja bertuah ya Lobam he he... Memang pon.. :D

    ReplyDelete