Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, March 22, 2014

Hala Tuju Selepas SPM

10:39 PM Posted by Lobam , , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Sumber : http://cikguhanafiah.files.wordpress.com
Beberapa hari lalu telah diumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2013. Debaran yang ditanggung selama ini akhirnya terburai juga. Ada yang mengecapi kejayaan berganda malah ada juga yang mengendong kecewa.

Bagi yang berjaya dengan bergaya tahniah saya ucapkan. Tetapi bagi yang diulit kecewa usahlah terus bermuram durja. Apa yang telah berlaku biarkan ia berlalu. Banyak perkara yang sedia menanti di hadapan.

Untuk anda yang berjaya, pasti sudah tergambar di fikiran apa yang akan anda lalui selepas ini. Jalan-jalan kejayaan sudah siap terbentang di hadapan. Pastinya Matrikulasi, Asasi mahupun Diploma yang terbayang-bayang di minda. Sudah semestinya bidang pengajian popular seperti Kedoktoran dan Kejuruteraan menjadi pilihan. Tetapi bagaimana kiranya apa yang kita impikan itu tidak seindah yang kita bakal lalui.

Sumber : Halatuju.com
Kadangkala tawaran yang kita dapat melalui UPU tidak selari dengan apa yang kita pohon. Sudah pasti para pelajar akan berasa kecewa apabila bidang pengajian idaman terlepas dari genggaman. Saat itu, operasi memanjat universiti untuk rayuan akan bermula. Tetapi pernahkah kita terfikir yang tawaran yang diterima itu adalah selari dengan keputusan yang kita perolehi. Memandangkan permohonan UPU menggunakan sistem meritokrasi, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dipertimbangkan untuk mendiami sesuatu bidang.

Sumber : Halatuju.com
Apa Itu Meritokrasi? 

Menurut Amir Hasan Dawi  (2002) dalam bukunya yang berjudul Penteorian Sosiologi dan Pendidikan meritokrasi  adalah satu pandangan atau memberi peluang kepada orang untuk maju berdasarkan meritnya,yakni berdasarkan kelayakkan dan kecekapannya atau kecemerlangannya. 
Menurut Kamus Dewan (Edisi ketiga) meritokrasi ialah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya dan bukan kerana keturunan atau kekayaan.

Konsep meritokrasi itu sendiri diagihkan berdasarkan merit kepintaran, bakat dan ikhtiar individu. Pelajar-pelajar ini akan disusun mengikut ranking keputusan peperiksaan. Sebagai contoh, Universiti A hanya menyediakan sebanyak 100 tempat untuk bidang A.  Katakan sebanyak 100 pemohon pertama (selepas disusun mengikut ranking) untuk bidang pengajian A mendapat keputusan 9A dan pemohon ke 101 hanya mendapat 8A 1B. Sudah tentu pemohon yang ke 101 tidak akan terpilih memandangkan had atau kuota sesuatu bidang di universiti tertentu sudah penuh. Secara automatik, permohonan melalui UPU akan diberi mengikut pilihan kedua sehingga pilihan terakhir.

Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Dalam Permohonan UPU 

1. Kebanyakan pemohon meletakkan bidang pengajian dan universiti yang sama pada 3 pilihan pertama. Contohnya, pilihan pertama bidang A di universiti A. Pilihan kedua dan ketiga juga bidang A di universiti A. Apabila pemohon tidak layak untuk bidang A di universiti A secara automatik penawaran bidang dan universiti akan turun ke pilihan seterusnya. 

2. Tidak bersetuju untuk diberi kursus pengajian selain dari pilihan yang dinyatakan. Apabila pemohon tidak bersetuju, jika permohonan tidak selari dengan keputusan secara automatik nama pemohon akan dikeluarkan dalam senarai permohonan. Sebab itulah ramai pelajar yang agak cemerlang tercicir dari senarai UPU.

Bagaimana Jika Ditawarkan Dengan Kursus Yang Tidak Bersesuaian?

Kesilapan pelajar adalah meletakkan matlamat pekerjaan di hadapan. Sebagai contoh, apabila ditawarkan dalam bidang yang kurang popular seperti bidang Pelancongan, bidang Statistik, bidang Teknologi Tekstil dan banyak lagi maka otak ligat berfikir apa pekerjaan yang boleh diperolehi. Dilema ini juga dihadapi oleh kebanyakan mahasiswa bidang Pengajian Islam. Apa yang difikirkan oleh mereka ialah apabila mengambil bidang Pengajian Islam, hanya peluang menjadi Ustaz dan Ustazah sahaja yang menanti.

Sebenarnya, bidang pengajian umum ini sesuai untuk semua lapangan pekerjaan. Ramai tokoh yang bekerjaya tidak seiring dengan kelulusan mereka. Contohnya Saudara Mohd Nazmi Yaakub pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti al-Azhar Mesir kini bertugas sebagai editor sastera di akhbar Berita Harian. Seorang lagi personaliti ialah Saudara Syafiq Zulakifli seorang graduan Universiti al-Azhar kini bertugas sebagai penyampai di Radio IKIM.FM. Jika ingin mengambil saya sebagai contoh, saya juga berkelulusan di bidang agama dari universiti yang sama seperti mereka berdua. Tetapi kini saya bertugas sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling. Malah ramai juga rakan-rakan saya yang mengambil pelbagai bidang di universiti tetapi bertugas sebagai anggota polis berpangkat Inspektor.

Jelas, zaman kini bidang pengajian di universiti bukan lagi jaminan untuk menjawat jawatan seiring kelulusan. Zaman penuh persaingan, semua perkerjaan boleh dipohon berdasarkan minat dan peluang. Bukan mengikut kelulusan semata-mata.

Mari saya kongsikan sebuah cerita benar untuk tatapan semua.

Dua orang lepasan SPM. Seorang menerima tawaran pengajian di bidang Pelancongan (bukan pilihannya) dan seorang lagi di bidang Kejuruteraan. Dua bidang yang pada pandangan mata masyarakat ibarat langit dan bumi. Satu bidang mungkin dipandang tinggi dan satu lagi bidang yang hanya sekadar tempelan sahaja.

Kehidupan kedua-dua mahasiswa ini sangat berbeza di Universiti. Mahasiswa yang mengambil bidang Pelancongan seringkali mendapat markah purata tertinggi manakala si mahasiswa Kejuruteraan sekadar mendapat keputusan cukup makan. Sehinggalah di tahun akhir ternyata mahasiswa jurusan Pelancongan mengakhiri pengajiannya dengan keputusan terbaik berbeza dengan mahasiswa kejuteraan, sekadar mendapat markah biasa-biasa.

Graduan pelancongan meneruskan kecemerlangan dengan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sehinggalah menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dan menjawat jawatan pensyarah berstatus Doktor. Tetapi tidak bagi graduan kejuteraan. Akibat dari kekurangan penawaran pekerjaan si graduan bekerja di luar bidang kepakarannya.

Apa pengajaran yang boleh diambil?

1. Bidang pengajian kritikal lebih sukar berbanding bidang pengajian berstatus umum. Jika tiada usaha 200% agak susah untuk mendapat keputusan tertinggi.

2. Bidang pengajian umum lebih mudah untuk 'score'.

3. Kadangkala bidang pengajian bukan pilihan itu lebih menjamin masa hadapan.

4. Bidang kritikal mempunyai banyak saingan. Hanya yang terbaik sahaja akan dipilih.

5. Bidang umum boleh menjawat pelbagai jawatan. Tidak hanya tertumpu kepada bidang yang diambil di universiti sahaja.

Jadi kepada para graduan yang 'terambil' jurusan bukan pilihan di universiti, usah khuatir dan bimbang. Kerana beribu peluang pekerjaan menanti kalian di luar sana.

Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, usah terus meratap akan kegagalan yang telah dilalului. Masih banyak ruang dan peluang yang menanti di hadapan.

Antara pusat pengajian yang menawarkan peluang pengajian tinggi ialah :

1. Institut Kemahiran Belia Negara
2. Kolej Komuniti
3. Giat Mara
4. Politeknik
5. Institut Latihan Perindustrian
6. Kolej separa kerajaan seperti KUIS di Selangor, Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan banyak lagi.
7. Institut Kemahiran Mara
8. KPTM

Banyak peluang pengajian lepas SPM. Jangan jadikan alasan gagal SPM sebagai pengakhiran usaha anda.

2 comments:

  1. Tahniah kepada pelajar yang berjaya, sementara yang kurang berjaya boleh ikuti lain. Banyak lagi cara untuk kita berjaya, cuma usaha berterusan harus diterapkan. malahkan kena lebih daripada biasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Tuan. SPM bukan pengakhiran kepada kehidupan. Banyak lagi ruang dan peluang yang boleh diambil asalkan ada kemahuan.

      Delete