Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, March 31, 2014

Cerpen Pohon Mangga Itu

7:33 AM Posted by Lobam 5 comments
Assalamualaikum.
Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.
Ini cerpen pertama saya selepas mengikuti kursus penulisan cerpen bersanam Tuan Baharuddin Bekri. Ahamdulillah cerpen ini hanya mengambil masa satu jam untuk disiapkan.



Pohon Mangga Itu
Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

Ayahnya kahwin lagi. Dinding rumah teres satu tingkat itu ditumbuk berkali-kali. Tetapi belum juga luak amarahnya. Dinding batu itu tidak pecah, yang pecah adalah kulit-kulit tangannya. Nazri tidak peduli. Amarah di dadanya membuncah menjadi gelembung-gelembung yang besar. Ayah telah mengkhianiati cinta emak.

Tengah hari itu langit lazuardi cerah tidak berawan dan mentari galak menyebarkan bahang. Peluh yang merenik di dahi disapunya perlahan. Sinaran terik mentari yang menggigit kulit mencuri-curi masuk di celahan pohon mangga yang ditanam oleh isterinya enam tahun lalu. Udara berbahang perlahan-lahan menampar pipi tua Pak Ali. Berganjak sedikit punggungnya mencari kawasan yang lebih redup. Topi jerami dikibas-kibas perlahan, sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit hamburan hawa panas yang mencengkam. Air di dalam botol ditogok rakus bagi menghilangkan lelah. Sejak pagi dia di kebun ini, menabur budi kepada tanah. Menyantun pohon buah-buahan yang tegak berdiri. Terutamanya pohon mangga yang satu ini.

Masih lekat difikiran pohon mangga itu ditanam dengan penuh kasih sayang bersama isterinya. Diberi baja dan siram mengikut jadual menjadikan buahnya cantik dan isinya mongel ranum. Buah yang lebat itu dikongsi bersama dengan jiran tetangga. Mudah-mudahan amal jariah itu sampai kepada isterinya di alam sana.

Sudah dua kali pohon itu memberikan hasil. Sudah dua tahun juga anak teruna kesayangannya angkat kaki meninggalkan kampung selepas isteri kesayangannya pergi menghadap Ilahi empat tahun lalu. Malah sudah dua tahun juga anaknya tidak menunjukkan wajah. Hanya wang yang dikirim sebagai pengganti diri. Entah sihat entahkan sakit anaknya itu hanya tuhan sahaja yang tahu.

Pak Ali kembali bangkit. Berpusing ke kiri dan kanan membetulkan urat pinggangnya. Lengan yang semakin kendur itu diurut perlahan. Selayaknya usia seperti Pak Ali hanya diam di rumah memakan hasil pencen. Tetapi dia tidak betah berehat di pangkin rumah sambil menggoyang kaki ataupun duduk berbual di kedai kopi Lijah janda dari pagi membawa ke senja. Bagi Pak Ali, berbudi kepada tanah pasti banyak hasilnya. Dalam banyak-banyak pohon, pokok mangga yang ditanam isterinya itulah yang paling disayangi. Aturan baja dan air tidak pernah tertinggal walau sehari. Malah pucuk-pucuk kecil yang baru tumbuh dipangkas agar pokok itu rendang dan berbuah lebat.

Dari jauh deruman motokar memecah suasana. Sebuah kereta biru pekat berkilat berhenti di tepi kebun. Terjingkit-jingkit Pak Ali memandang dari kejauhan. Tidak tergambar di memori fikiran siapa yang bertandang. Panas mentari yang menyilau mata tambah menghalang pandangan. Puas Pak Ali memusatkan pandangannya tetapi kelam.

“Ayah, ayah” laungan itu membuatkan Pak Ali tersentak. Sudah lama nama itu tidak lekat di pendengarannya.

“Ayah…” Jeritan itu semakin nyaring. Kini jelas di hadapannya berdiri satu susuk yang amat dirindui. Susuk yang hilang dari radar pengesan dua tahun lamanya. Tiada angin juga ribut muncul pula anak kesayangannya di hadapan mata.

“Nazri” nama itu terpacul juga dari bibir tuanya. Secalit senyuman terukir indah di bibir. Girang tak kepalang hati orang tua itu apabila insan yang dinanti muncul di hadapannya. Tangan kanan dihulurkan. Ternyata salaman itu disambut dingin, malah tidak juga dicium.

“Ayah. Kenapa ayah kahwin lagi? Tidak sayangkah ayah pada arwah emak?” Laju soalan pertama itu dilontar kepada ayahnya tanpa sempat bertanyakan khabar,

“Disebabkan itu kau pulang ke sini Nazri? Aku sudah jangka” Pak Ali mengulum senyum. Sinis sahaja pandangannya.

Pak Ali kembali duduk di atas tanah sambil bersandar pada pohon mangga kesayangannya yang rendang. Rokok daun yang sudah siap digulung dinyalakan. Berkepul-kepul asap memenuhi ruang udara. Sesekali batuknya kedengaran lantang.

“Ya ayah. Terkejut saya bila Mak Uteh memberi tahu yang ayah sudah berkahwin bulan lalu” Mundar mandir Nazri di hadapan ayahnya. Jelas dia tidak senang atas perkara yang telah berlaku.

“Hahaha. Tahu pula kau telefon Mak Uteh itu. Aku ayah engkau tidak pernah kau hubungi.” Terburai juga tawa yang disimpan Pak Ali. Lucu barangkali memikirkan anak kesayangannya bertanya khabar melalui perantaran orang lain. Sudah Pak Ali jangka yang kisah perkahwinan itu lambat laun akan sampai ke pengetahuan Nazri dan dia juga dapat mengagak perkahwinan ini pasti akan ditentang.

“Ayah tidak sayangkan emak lagi?” Nazri melirih hiba. Dadanya beralun ombak, amarahnya masih bersisa.

“Usah kau cerita pasal sayang. Menjengkelkan. Sedangkan kau sendiri tidak tahu apa erti kasih sayang”

“Ayah! Kasih sayang apa yang ayah sebutkan? Kurangkah wang yang Nazri kirimkan setiap bulan? Dia sugul dan dongkol menahan perasaan yang membakar dada. Dia mengaduk-aduk rambut. Kusut jadinya.

“Bukan wang yang aku inginkan Nazri. Malah pencen aku juga cukup untuk menampung tembolok aku yang tua ini. Aku mahukan kau Nazri. Kau lihat pokok mangga ini!” batang pohon mangga itu ditepuk. Bergegar pohon tersebut dan jatuh berguguran beberapa helai daun ke tanah.

“Ya, ini pokok mangga yang arwah emak tanam enam tahun dulu. Pokok yang dibajai dengan cinta dan disiram dengan kasih sayang” Nadanya melengking tinggi, menyaingi merdu nyanyian kenari. Bagi dirinya ayah sudah mengkhianati amanah emak.

“Jangan kau ungkapkan lagi perkataan itu jika engkau sendiri tidak tahu menilai erti kasih sayang” Jari telunjuk Pak Ali dihalakan tepat ke muka anaknya.

“Emak pernah berpesan, pohon ini pohon cinta. Lambang kasih dan cinta aku berdua. Katanya andai dia tiada lagi, kahwinlah selepas pohon ini membuahkan cinta. Dua tahun Nazri aku tunggu kepulangan kau. Dua tahun!” Pak Ali mengulum sebak. Air mata mula bertakung di tubir mata. Berombak dada menahan pilu. Serak suaranya menahan sedih.

“Tapi ayah, errr… Ayah sudah mengkhianati cinta ayah kepada emak” Nazri seakan kehabisan kata.

“Khianat? Kau yang mengkhianati kami. Aku tak pernah kau hubungi, ziarah jauh sekali. Hanya inilah cara untuk aku panggil kau pulang. Jika benar aku mahu berkahwin, sepatutnya dua tahun lalu sudah aku lunaskan janji ketika pohon mangga ini mengeluarkan hasil pertama” pecah juga empangan air mata yang dibendung. Perlahan-lahan wajah arwah isteri kesayangan bermain di hadapan mata. Ibarat layar putih menayangkan gambar. Malah lunak merdu suara isterinya juga masih terngiang-ngiang di telinga. Masih kekal diingatan sewaktu mereka bersama menyemai anak pokok mangga ini. Di situlah termeterai sebuah janji. Mana mungkin dia melupakan semua perkara itu. Peristiwa itu seakan terpahat kemas di benak fikirannya.

Bukan dia mengkhianati cinta. Tetapi hanya dengan perkahwinanlah Pak Ali menyambung semula janji setia bersama arwah isterinya. Nazri lari dari rumah tanpa dia tahu apa punca. Pak Ali seakan hilang kewarasan fikiran mengenangkan anak tunggalnya pergi tanpa meninggalkan jejak. Dia rasa bersalah apabila amanah isteri agar menjaga Nazri sepenuh jiwa raga tidak dipenuhi. Pak Ali tahu, dengan perkahwinan ini mampu membawa Nazri pulang kembali kepadanya.

“Maafkan Nazri ayah” Kaki ayahnya dipeluk erat. Tangisan Nazri semakin kuat, esakannya semakin kencang. Dosa meninggalkan ayahnya tanpa khabar berita tiba-tiba menghantui diri. Nazri dibangunkan lalu tubuh itu dirangkul dengan kasih sayang.

Janji di pohon mangga menyatukan kembali cinta yang terputus. Kini Pak Ali bangkit mempertahankan amanah arwah isteri bersama anak dan isteri barunya.

5 comments: