Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, March 1, 2014

Cerpen Kisah Penjual Tisu

11:10 AM Posted by Lobam No comments
Sumber : www.30menit.com
Kisah Penjual Tisu
Oleh Abdul Muiez bin Mohammad ruslee

PAGI ini seperti biasa aku ke kuliah. Biasanya aku menaiki tremco-sejenis van membawa penumpang. Tetapi sejak seminggu yang lalu, aku memilih untuk menaiki keretapi pula. Perjalanan daripada Bandar Shibin el-Kom ke kota Tanta yang mengambil masa selama satu jam  memaksa aku bertolak seawal jam 7 pagi, untuk memastikan aku sampai ke kuliah sebelum jam 9. Berada di puncak waktu perubahan musim sejuk kepada panas tidak begitu menyeksakan. Tidak menjadi kesukaran untuk aku menyiapkan diri di awal pagi. Walaupun mentari baru sahaja menampakkan sinar tetapi bandar Shibin yang menampung hampir empat ratus ribu penduduk ini sudah mula sesak. Penumpang sudah memenuhi mahattoh qodim.

            Aku terpaksa mengasak sekumpulan pemuda arab yang bersesak untuk menaiki keretapi. Bukan tidak mahu beratur, tetapi itu bukan budaya maysrakat Mesir. Jika aku menunjukkan sikap berlemah lembut dan bersopan santun yang ada pada diri setiap rakyat Malaysia pasti aku tidak mendapat tempat di dalam tren. Gerabak terakhir aku dekati. Alhamdulillah pagi ini rezeki aku. Jika tidak pasti aku terpaksa berdiri dalam menempuhi perjalanan ke kota Tanta yang memakan masa hampir satu jam itu. Tetapi biasanya kebanyakkan mereka akan turun di Quaisna. Seusai membayar tambang sebanyak 75piasters, lantas aku terus membuka Al-Quran yang sentiasa dibawa kemana-mana. Tren mula bergerak.

            Sedang asyik aku menghafaz Al-Quran, ketenangan aku tiba-tiba dicantas. Di hadapanku berdiri seorang pemuda berbangsa arab sambil menyuakan sebungkus tisu kepadaku. Hampir sepanjang seminggu permusafiranku akan terjumpa dengan empunya wajah yang kacak ini, saling tidak tumpah seperti penyanyi hebat Mesir-Amru Diab. Kecantikan yang tersembunyi di sebalik kecomotan. Mungkin umurnya dalam lingkungan awal 20-an duga ku. Tapi malang nasibnya, pemuda itu hanya menjual tisu. Astaghfirullahalazim. Lain pula yang aku fikir. Tanpa berlengah aku menyeluk saku lalu memberinya wang sebanyak 50 piasters tanpa mengambil tisu yang diberi. Pemuda itu pun berlalu. Pergi ke penumpang yang lain pula. Pada riak wajahnya tergambar keperitan hidup yang ditanggungi. Aku dapat merasakannya. Hatiku berasa kurang enak. Bukan sekali, malah sudah seminggu aku menatap wajahnya yang kusam itu. Bukan tidak ada orang yang meminta sedekah dengan menjadikan tisu sebagai alasan tetapi pemuda itu begitu menarik perhatianku dan yang pasti, terdetik dihatiku untuk mendekatinya. Hatiku meronta. Ya, aku mesti mendekatinya. Aku memberanikan diri untuk memanggilnya.

“Wahai saudaraku, boleh kamu kemari sebentar?” pintaku. Lalu pemuda itu berjalan ke arahku. Terhoyong hayang badannya mengikut rentak tarian tren yang bergerak. Niatku untuk menghafaz Al-Quran terpaksa aku tangguhkan.
“Wahai saudaraku, siapakah namamu?” aku memulakan bicara.
“Apakah itu penting bagimu?” terpacul soalan daripada mulutnya.
“Sekadar ingin tahu. Bukankah Tuhan telah menjadikan manusia untuk saling kenal mengenali?” aku melemparkan dalil.
“Tetapi ini bukan masanya” seakan mahu bergerak pergi
“Pemuda, aku benar-benar ingin mengetahui namamu” aku separuh menjerit
“Yusif” tuturnya penuh santun.
“Izinkan aku menjalankan tugasku.” pintanya seakan merayu.
“Tidak Yusif. Kau duduk sahaja di sini. Nah 10 Junaih untukmu asalkan saja kamu mahu menemaniku hingga ke Kota Tanta. Itupun jika tindakanku ini tidak keterlaluan.” pintaku penuh mengharap.
“Terima kasih sahaja wahai sahabatku. Aku bukan meminta sedekah!” suaranya sedikit keras.
“Ya aku tahu, tapi bukankah tisu itu hanya sebagai alasan untuk kamu meminta wang. Masakan kamu mengambil wang tetapi tisu tidak pula kamu bagi. Ambillah, kamu perlukan wang bukan? Kalau kamu menjual tisu dalam tren ini pun pendapatannya pasti tidak lebih daripada 8 Junaih. Ini hadiah dariku. Ambillah.”
“Terima kasih wahai pemuda. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk menolak kesungguhanmu itu.” lantas wang 10 Junaih itu bertukar tangan.
Keretapi berhenti di Mahattoh Quaisna. Ramai penumpang turun. Tren yang tadi penuh sesak kini menjadi lapang. Dalam gerabak terakhir ini hanya tinggal sepuluh penumpang. Tiga wanita membawa barang, dua lelaki membawa beg bimbit dan tiga kanak-kanak berpakaian sekolah.
“Wahai pemuda, siapakah gerangan namamu?” Yusif menyambung katanya yang mati sebentar tadi. Matanya tepat memandangku. Sambil melabuhkan punggungnya di sebelahku.
“Apakah ia penting bagimu?” aku memulangkan paku buah keras padanya.
“Ini tidak adil. Beginikah sikap pelajar Malaysia yang menuntut di Al-Azhar?” bentaknya dalam nada keras. Dua lelaki segak dengan kot tersarung di badan memandang tanpa dipaksa. Mungkin pelik bagi mereka melihat rakyat tempatan bersembang dengan lelaki ajnabi.
“Bagaimana kamu tahu aku pelajar Malaysia?” seraya menggaru kepalaku yang tidak gatal.
“Tidak sukar untukku mengenalimu. Kamu orang luar. Senang sahaja untukku mengagak dari mana asalmu” terangnya panjang lebar.
“Baiklah. Panggil sahaja aku Rijal. Yusif izinkanku bertanya sesuatu” sambil memasukkan Al-Quran di dalam poket baju melayuku. Kopiah yang tersarung di kepala aku letakkan di paha. Lantas rambut lebatku terbang mengurai mengikut tiupan angin yang membelai.
“Tanyalah jika ianya tidak menyinggung perasaanku.”
“Bolehkah kamu ceritakan dimana kamu tinggal Yusif dan kenapa pula kamu menjaja tisu? Aku kepingin benar untuk mengetahui sejarah hidupmu.” ujarku penuh pengharapan.
Khali. Mungkin berperang dengan perasaan. Apakah harus bercerita atau berdiam sahaja. Aku membiarkannya.
Tiba-tiba Yusif bersuara.

“Di jalanan. Aku orang miskin. Mana mungkin untuk aku sekeluarga menyewa rumah walaupun sewaannya hanya sekadar 30 Junaih. Kau juga tahu bukan. Inilah nasib kami. Golongan bawahan sentiasa ditindas walaupun di bumi sendiri. Yang kaya akan terus kaya dan miskin akan tetap merempat. Hanya dengan menjual tisu inilah aku dapat memenuhkan tembolok ayah dan adik-adikku” kelihatan manik-manik jernih di birai matanya. Tetapi cepat-cepat diseka.

“Begitu besar pengorbananmu Yusif. Pasti Allah akan membalas kebaikan untukmu. Sabarlah” bahunya kurangkul dengan harapan kata-kataku tadi bisa memberi kekuatan buat dirinya.
"Negara kamu masih mengamalkan kasta?” aku meminta kepastian.
“Ya benar Rijal. Aku memiliki sijil sekolah menengah tetapi semua permohonan kerjaku ditolak dek kerana aku golongan bawahan.” suaranya melirih hiba.
“Sehingga begitu sekali? Bagaimana pula dengan ibu dan bapamu?” Perbualan menjadi semakin rancak. Bertalu-talu soalan ku lemparkan kepadanya.
“Ibu sudah lama meninggal kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dahulu ayahku seorang tentera. Tapi kini khidmatnya tidak diperlukan kerana sakit buah pinggang yang dialami dan kakinya yang kudung. Dia dibuang begitu sahaja. Tiada pembelaan dan tiada pampasan. Tiada pihak yang mahu mengenang jasanya atas apa yang telah dia sumbangkan pada negara.” bahu Yusif sedikit terhenjut. Butiran mutiara jernih megalir dari birai mata turun menelusuri pipi kusamnya.
“Maafkan aku Rijal. Aku terlalu beremosi. Lama benar aku menyimpannya. Tidak siapa yang peduli. Bila ada teman yang ingin berbicara, ingin aku lepaskan semuanya. Aku lemah Rijal. Lelaki tidak sepatutnya menangis.” terang Yusif tanpa dipaksa.
“Tidak. Kau tidak bersalah. Maafkan aku. Aku simpati terhadapmu Yusif.” Pautan dibahunya makin kejap. Aku menyesal kerana terlalu gopoh ingin mengorek rahsia hidupnya. Kerana keterlanjuran katakulah membuatkan dirinya hiba di kala ini.
“Tak mengapa. Itu perkara biasa. Dahulunya ayahku seorang tentera. Khidmatnya sudah menjangkau hampir 30 tahun. Tetapi tidakku sangka begini pengakhiran kerjayanya. Bukan sedikit jasanya dicurahkan kepada negara Mesir ini, tetapi...” henjut di bahu makin perlahan. 

Tanpa dipaksa sekali lagi pemuda arab berhampiran kami memandang. Entah apa yang mereka fikirkan, aku sendiri tidak tahu. Biarlah. Bukan kami melakukan perkara sumbang. Mungkin kerana esakan Yusif itu membuatkan mereka berasa sangsi. Sesekali tren yang kami naiki terhuyung hayang. Angin yang menerobos melalui jendela yang terbuka  menambahkan kesejukan pagi yang menggigit tulang.

“Ayahku pernah terlibat dalam peperangan menentang Israel laknatullah dibawah pentadbiran Presiden Anwar Sadat. Misi mereka adalah untuk membebaskan Semenanjung Sinai yang mana pada masa itu Semenanjung Sinai dibawah taklukan Israel. Peperangan yang mengambil masa hampir dua belas tahun itu berakhir pada tahun 1979.” cerita Yusif panjang lebar tanpa dipinta.
“Bagaimana peperangan itu boleh berakhir?” aku bertambah minat. Bunyi gerabak yang membingit langsung tidak menggugat kosentrasiku.
“Pada tahun 1979 Mesir telah memeterai perjanjian damai dengan Israel. Mesir menuntut supaya Semenanjung Sinai yang dirampas oleh Israel laknatullah dibebaskan. Akhirnya Sinai dimiliki oleh Mesir.”
“Ceritalah lagi tentang sinai kepadaku.” pintaku penuh pengharapan.
“Apa benar kamu ingin tahu?” soal Riham sambil memintal hujung tudungnya.
“Sudah tentu!”
“Semenanjung Sinai adalah tempat suci. Di tanah suci itulah telah terlukis sejarah dimana Allah telah mengutuskan Nabi Musa untuk berdakwah kepada kaum Bani Israel. Disana juga terdapat tempat-tempat yang mulia seperti Thur Sina di mana ia menjadi tempat Nabi Musa berkhalwat dan menerima kitab Taurat daripada Allah. Tanah itu juga menjadi saksi di mana Nabi Muhammad pernah singgah sewaktu baginda di isra’kan. Walaupun Sinai menjadi milik Mesir tetapi mereka telah merampas Taba yang terletak di timur Sinai. Itu yang membuatkan kami sedih. Di situ terdapat salah satu daripada kubu-kubu Salahuddin al-Ayubi. Itu milik umat Islam. Kesan sejarah ketamadunan Islam harus umat Islam yang menjaganya. Tetapi mujurlah kubu itu terletak berhampiran dengan sempadan. Jika tidak pasti mereka telah menghancurkan kubu tersebut.” ujar Yusif penuh semangat. Di matanya terpancar cahaya pengharapan agar khazanah Islam seperti itu dijaga dan dipelihara daripada dimusnahkan oleh tangan-tangan kotor kuffar laknatullah.
“Seronoknya mendengar cerita kamu. Tetapi apakah kepentingan Sinai kepada Negara Mesir?”
“Seperti yang aku katakan tadi, Sinai adalah tempat suci bukan sahaja bagi Negara Mesir tetapi kepada seluruh umat Islam. Sinai juga memberi pendapatan terbesar bagi Negara Mesir melalui industri perlancongan dan Terusan Suez. Ia menjadi jalan potong kepada kapal-kapal pedagang yang ingin ke negara-negara sebelah timur. Kapal-kapal yang ingin melalui terusan Suez akan membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan. Melalui Suez mereka akan menelusuri Laut Merah dan terus ke negara-negara lain di sebelah timur untuk berdagang dan sebagainya.”
“Banyak yang kamu tahu.” Aku sedikit kagum.
“Aku belajar di sekolah.” Terang Yusif.
“Kemudian?” Aku benar-benar teruja dengan ceritanya.
“Oh ya! Rentetan daripada peperangan tersebut mengakibatkan ramai tentera Mesir yang kecundang. Ayahku hampir-hampir sahaja maut dek bedilan peluru Israel. Mujur Allah masih berkehendakkannya untuk menjadi khalifah di bumi yang penuh barakah ini. Dia hanya tercedera. Kakinya putus akibat terpijak periuk api yang masih aktif.” tiba-tiba  riak wajah Yusif bertukar rupa. Perasaan sedih menyelubungi dirinya apabila berbicara mengenai peperangan yang meragut kebebasan ayahnya untuk begerak.
“Masya-Allah, sampai begitu sekali?” Aku melemparkan simpati.
“Setelah tentera Mesir memenangi peperangan itu dan Semenanjung Sinai berjaya dirampas semula, bekas-bekas tentera seperti ayahku dan rakan-rakannya diraikan dalam satu sambutan besar-besaran pada tahun 1981 di dataran Hayyu Sadis Kaherah. Tanpa disedari perayaan itu bakal menjadi satu peristiwa sejarah yang berdarah bagi negara Mesir.”
“Apakah peristiwa itu?” pintasku sambil mengelap sedikit peluh yang terpercik di dahi.
“Pada temasya yang penuh gilang gemilang itulah, Presiden ke tiga Mesir iaitu Anwar Sadat ditembak mati oleh sekumpulan puak pelampau ketika melakukan listas hormat dihadapannya. Anwar Sadat ditembak oleh puak-puak yang tidak besetuju Mesir memetrai perjanjian damai dengan Israel.” Keretapi berhenti di stesen berikutnya. Penumpang mula berpusu-pusu memenuhi gerabak kami.
“Sampai begitu sekali? Mengapa mereka tidak berpuas hati?”
“Mungkin mereka tidak bersetuju kerana Mesir terlalu bermurah hati untuk duduk semeja dan memetrai perjanjian damai dengan sebuah negara haram seperti Israel.” Yusif memberi pendapatnya. Cuaca yang beransur panas dek mentari yang sudah semakin garang menyiram cahayanya membuatkan dahiku sedikit berpeluh. Angin yang menerobos masuk masih tidak mampu menghilangkan panas yang menyelubingi diriku. Penumpang yang memenuhi gerabak membuatkan bahang sedikit terasa.
“Begitu agung jasa ayahmu. Bukan sedikit keringat yang diperahnya untuk menyelamatkan maruah negara dan sekaligus menegakkan kalimah Allah di bumi Mesir ini. Sepatutnya dia dianggap sebagai seorang wira yang mempertahankan negara. Jika di Malaysia orang-orang sebeginilah di anggap sebagai pejuang yang mempertahankan negara sejak pemerintahan British lagi. Kini alhamdulillah, sudah 53 tahun negara kami merdeka” sambil membetulkan duduk kopiah di kepala, aku menerangkan padanya.
“Kamu beruntung kerana hidup di dalam negara yang aman seperti Malaysia.” ujar Yusif sedikit sayu.
“Kesyukuranku tidak pernah terbatas wahai Yusif. Boleh aku bertanya lagi?”
“Silakan. Kamu sudah membayarku untuk bercakap. Biarlah aku bercakap setimpal dengan bayaran yang kamu berikan.” suaranya agak mendatar. Mungkin terdetik perasaan cemburu di dalam hatinya.
“Usah kamu berkata sedemikian Yusif. Aku benar-benar ikhlas untuk menolongmu. Sudah ramai aku berjumpa dengan penjual tisu sepertimu tetapi aku masih belum mengetahui kisah silam yang membelenggu hidup mereka. Hari ini biar aku leburkan kekusutan yang melanda jiwaku ini.”
“Sudahlah Rijal. Apalah yang ada pada kami. Oh ya, apakah tadi kamu berhajat untuk bertanyaku soalan?”
“Ya, hampir sahaja aku terlupa. Mengapa ya Negara Mesir masih mengagungkan kekuasaan firaun, yang sudah pastinya ke neraka daripada mendaulatkan sejarah Islam yang masih tersembunyi di celahan pepasir sahara di bumi seribu menara ini. Cuba kau lihat sahaja pada wang kertas dan syiling, pasti tertera gambar firaun walaupun dibelakangnya terdapat gambar masjid? Mengapa tidak sahaja diletakkan sahaja gambar universiti Al-Azhar yang menjadi kebanggan seluruh dunia?” aku sedikit bingung. Inilah persoalan yang berlegar dalam benakku sejak awal ketibaan aku ke bumi berkat ini.
“Seperti yang aku katakan tadi wahai Rijal, semuanya kerana wang. Industri perlancongan merupakan penyumbang yang terbesar dalam ekonomi negara Mesir. Kamu lihat sahaja piramid yang tersergam megah di Giza seperti mana megahnya firaun dalam hati-hati kaum kuffar. Berapa banyak keuntungan yang dikaut hasil daripada pembelian tiket untuk melihat kesan peninggalan firaun laknatullah itu. Bagaimana pula dengan maqam Imam Syafie. Begitu juga dengan maqam Saidina Hussain yang terletak di Khan el-Khalili. Adakah dikenakan bayaran untuk menziarahi mereka? Pastinya mana-mana perkara yang tidak mendatangkan keuntungan akan diketepikan. Mujurlah Saidina Hussain ‘tinggal’ di kawasan perlancongan. Jika tidak pasti nasibnya akan sama seperti mana Imam Syafie dan ahli bait yang lain seperti Saidatina Aisyah dan imam-imam yang besar lain seperti Imam An-Nawawi atau abid seperti Rabiatul Adawiyah. Mereka dipinggirkan. Malah maqam mereka tidak diurus dengan baik.” suara Yusif melirih hiba.
“Aku benar-benar sedih atas apa yang telah berlaku kepada ulamak-ulamak yang tersohor ini. Andai aku punyai kuasa pasti aku akan ‘memelihara’ mereka dengan sempurna.” nekadku. Masakan tidak. Walaupun Saidina Hussain beruntung kerana tinggal di kawasan perlancongan tetapi sebaliknya baginda terpaksa menahan malu kerana disekitar kawasan ‘rumahnya’ itu sentiasa penuh dengan kuffar yang tidak tahu adab dan sopan dalam  berpakaian. Tidak langsung menghormati negara Islam ini. Bukan setakat negara Islam, tetapi ketika mereka berada di Khan el-Khalili, secara tidak langsung mereka juga berada di kawasan ‘rumah’ Saidina Hussain. Alangkah malunya andai ditakdirkan Allah, Saidina Hussain tiba-tiba bangkit semula dan melihat kawasan sekitar rumahnya telah dicemari dengan tangan-tangan kotor dan jijik itu dengan  perangai yang bisa menggugurkan iman orang Islam.
“Bagus Rijal. Pemimpin seperti kamulah yang umat Islam tunggu. Tegakkan kalimah Allah di muka bumi dan hindarkan segala bentuk maksiat yang bisa mendatangkan kemurkaan Allah. Aku juga ingin sekali berjuang, tetapi aku tidak mampu.” puji Yusif terhadap semangat juangku sebentar tadi. Tetapi pujian yang melambung itu pastinya tidak melalaikan malah tidak langsung memakan prinsip yang aku pegang sejak hatiku benar-benar ingin kembali kepada Islam sepenuhnya dahulu. Bukan aku tidak Islam sebelum ini, tetapi imanku hanya senipis kulit bawang dan seringan kapas. Bisa diterbangkan angin kemana sahaja dan tidak tetap pendirian. Sejak kakiku memijak bumi kinanah ini aku telah bernekad untuk kembali kepada Islam sepenuhnya. Bukan Islam suku-suku.
“Inilah doktrin yang telah disuntik oleh pihak barat untuk melihat umat Islam lari daripada kembali kepada jalan yang lurus ini. Akibat kejengkelan itulah, umat Islam kini lalai dan terjerumus ke kancah maksiat. Malah ada yang telah lari daripada Allah secara total.” aku meneruskan kata-kataku yang tersekat dek pujian yang dilemparkan Yusif tadi.
“Diam tak diam kita sudah pon hampir di Kota Tanta. Lima minit lagi insya-Allah kita akan membawa haluan masing-masing. Walaupun aku tidak layak untuk memberi kata tetapi atas dasar agama itu nasihat, ingin aku lemparkan sebuah wasiat buatmu wahai Rijal. Belajarlah sungguh-sungguh mengenai agama kita. Kamu adalah ulamak yang masih dalam pembinaan. Gunalah masa yang ada untuk menuntut ilmu demi menegakkan Islam dan menjulang Islam keseluruh dunia. Ingat wahai Rijal Islam itu tinggi dan tidak ada yang tinggi lagi melainkan Islam. Pihak barat sentiasa melemparkan najis dan tohmahan kepada agama suci ini, maka tugas kamulah untuk menyucikannya semula agar Islam dipandang mulia. Seronok aku berkenalan dengan pelajar Malaysia sepertimu. Doakan keselamatan kami sekeluarga. Semoga Allah memelihara kami daripada tangan-tangan hina yang ingin menjauhkan kami daripada Islam. Semoga berjumpa lagi.” bingkas dia bangun lalu menyelinap di celahan orang yang berdiri, meninggalkanku temanggu seroang diri.
“Yusif! Yusif!” suaraku separa menjerit. Tetapi kelibat Yusif terus hilang daripada pandangan.

            Apa yang bermain di benakku ialah mengapa Yusif berlalu begitu sahaja. Pergi dengan hanya meninggalkan satu wasiat yang cukup berharga. Umpama mutiara yang meluncur laju kukutip satu persatu untuk  kujadikan kalung azimat yang berguna lalu kutitipkan buat insan lain. Aku membuang pandangan pada tempat duduk Yusif dan  wang 10 Junaiah yang aku berikan padanya tadi tetap pada kerusi itu. Ada seketul batu atasnya. Adakah dia tertinggal atau sengaja ditinggalkan? Aku benar-benar bingung. Kota Tanta sudahpun aku hampiri. Aku bernekad. Esok akan kucari Yusif untuk kumemulangkan semula wang sepuluh Junaih ini dan mengucapkan terima kasih padanya atas nasihat yang begitu beharga itu. Pastinya pengalaman berharga bersama Yusif akan terus tersemat dalam ingatan sampai bila-bila.

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment