Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, March 8, 2014

Bila Isteri Mula Mengemas Beg Sebelum Bersalin

12:38 AM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Bila melihat isteri sudah mula mengemas beg untuk bersalin, hati ini diserang pilu. Dua kali menemani isteri di dewan bersalin membuatkan saya sedikit arif tentang apa yang bakal berlaku.

Deraian air mata sentiasa mengiringi proses bersalin. Lafaz doa tidak putus-putus keluar dari bibir gar kesematan ibu dan anak yang bakal lahir sentiasa dipelihara. Peritnya melihat isteri bergelut dengan kesakitan bersalin membuatkan saya menghargai wanita mulia ini. Seakan mendengar rintihan pilu isteri yang menahan kesakitan melahirkan khalifah Allah di muka bumi ini. Masih tergambar di layar mata akan wajah doktor dan jururawat yang bertugas bertungkus lumus mengeluarkan anak yang dikandung. Aduh. Peritnya masih terasa.

Iezat Wajdi Berusia 5 Tahun
Setiap kali menemani isteri di dewan bersalin pasti ada sesuatu perkara yang terjadi. Saat menunggu anak pertama - Muhammad Iezat Wajdi lahir ke dunia, saya dipanggil masuk ke dalam bilik. Ketika itu isteri sudah mula menangis kesakitan. Saya membacakan ayat kursus lalu dihembuskan ke ubun-ubun isteri. Di dalam hati tidak putus-putus memanjatkan doa kepada Allah agar melancarkan proses bersalin. Tanpa sedar air mata mula menelusuri turun melalui pipi.

Tiba-tiba seorang doktor hadir dan mempersoalkan keberadaan saya di situ. Lalu saya diminta keluar oleh jururawat. Masih belum tiba saat isteri mahu bersalin, katanya. Saya akan dipanggil semula jika saatnya hampir tiba.

Saya memilih untuk baring di kerusi luar memandangkan sudah hampir 12 jam kami berada di hospital. Letihnya tubuh ini tidak dapat digambarkan. Pengalaman pertama membuatkan kami kalut. Bila isteri berasa sakit sahaja cepat-cepat saya membawanya ke hospital tanpa membuat persediaan dari segi fizikal. Akibatnya hampir 12 jam tidak ada satu pon makanan yang masuk ke dalam tubuh isteri.

Tanpa saya sedar sudah hampir setengah jam saya tertidur. Bila terjaga saya lihat masih tiada tanda-tanda saya telah atau akan dipanggil. Lalu saya mengambil keputusan untuk bertanya kepada jururawat bertugas tentang kondisi isteri saya. Berita yang saya terima amat mengejutkan. Rupa-rupanya sudah hampir 25 minit anak sulung kami menjengah alam ini. Isteri saya sudah siap di atas katil di dalam wad malah anak saya juga telah sempurna dikemaskan. Aduhai. 

Jadi di kesempatan dan ruang yang ada, ingin saya kongsikan beberapa tip untuk bapa-bapa yang berada di luar sana.

Sumber : sharemyloves.blogspot.com
1. Bantu isteri menyiapkan pakaian anak. Asingkan pakaian mengikut penggunaan. Sebagai contoh, siapkan sebuah beg yang berisi pakaian isteri, pad isteri, pakaian anak, lampin, barut, bedung, nursing pads dan bahan-bahan penting yang lain dan simpan di dalam kereta. Ada ibu yang bersalin mengikut tarikh jangkaan malah ada juga yang terlalu awal. Untuk mengelakkan kalut di kemudian hari, siapkan barang-barang yang penting sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh jangkaan bersalin.

2. Belajar dengan isteri tentang pakaian yang sesuai dan tahu tempat pakaian anak disimpan. Kadang-kadang sebaik mana pon persiapan, pasti ada satu atau dua perkara yang terlepas pandang. Masa ini, isteri akan minta supaya kita bawa perkara yang tertinggal ke hospital. Jika kita tidak tahu pasti akan terbawa barang yang salah. Contohnya yang diminta tuala bayi, tetapi yang kita bawa tuala mandi dewasa. Ada yang meminta kain bedung yang dibawanya kain selimut.

3. Ingatkan isteri untuk membawa barang-barang penting seperti tisu dan tisu lembab untuk membersihkan punggung bayi. Lampin pakai buang juga jangan dilupa. 

4. Siapkan seberapa banyak sarung kaki dan sarung tangan. Ini mengelakkan bayi berada dalam kesejukan dan yang utamanya mengelakkan bayi mencakar mukanya sendiri.

5. Sebelum bawa isteri ke hospital, minta isteri untuk minum coklat panas dan sedikit roti sebagai alas perut.

6. Jangan panik sehingga tanpa sedar kita memandu laju.

7. Bagi kakitangan kerajaan, ingatkan isteri untuk meminta surat Gurantee Letter (GL) daripada majikan walaupun kadangkala ada hospital yang menggunakan kemudahan eGL melalui aplikasi HRMIS.

8. Bawa juga bahan bacaan, makanan ringan, tikar, bantal dan sejadah (jika sesuai) sebagai peneman semasa menunggu isteri. Pengalaman saya dua kali menghantar isteri bersalin di hospital pada lewat malam membuatkan kita bosan menunggu. Sekurang-kurangnya kita ada tikar dan bantal untuk meluruskan pinggang dan bahan bacaan untuk mengisi masa lapang.

9. Bagi mereka yang tidak takut darah, saya sarankan agar masuk ke dewan bersalin untuk menemani isteri semasa proses kelahiran. Ini akan menambahkan rasa cinta kepada isteri dan mencambahkan mawaddah dan rahmah di dalam institusi kekeluargaan.

Semoga semuanya selamat di bawah lidungan-Nya

4 comments:

  1. dua-dua anak sebelum ni lahir waktu malam ye?
    moga Allah permudahkan proses kelahiran baby ketiga ni. Amin..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iezat tengah hari kak. Tapi masuk hospital tengah malam.

      Terima kasih kak. Mudah-mudahan semuanya selamat.

      Delete
  2. tqvm atas perkongsian. nak dapat anak no 3 juga yea? salam kenal, table mate!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama2 menunggu kehadiran anak ketiga ye kak.

      Delete