Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, March 31, 2014

Permohonan Melanjutkan Pelajaran Ke Jordan, Maghribi Dan Mesir Sesi 2014/2015

11:57 PM Posted by Lobam 28 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Sumber : norlilawati.blogspot.com
Usai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, pasti pelajar-pelajar pasca SPM berusaha keras untuk menempatkan diri dalam Institut Pengajian Tinggi ternama. Segala usaha keras dan perit jerih selama berbelas tahun terlunas tatkala kaki melangkah ke menara gading. Harapan ibu bapa yang menggunung pastinya terlerai apabila anak-anak mereka berjaya menakluki universiti idaman.

Kini, banyak peluang yang terbuka luas buat anak-anak pasca SPM untuk melanjutkan pelajaran. Biarpun keputusan peperiksaan tidak segah mereka yang menjadi buruan media tetapi peluang yang disediakan tetap ada. Yang penting kesungguhan serta keazaman untuk mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.

Bagi para pelajar, saat-saat ini pasti berbondong-bondng tawaran dari kolej dan universiti swasta yang diterima. Panduan memilih universiti swasta boleh dibaca di sini

Piramid di Mesir
Para pelajar juga boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan mahupun luar negara mengikut bidang pilihan masing-masing. Kali ini saya fokuskan kepada permohonan melanjutkan pelajaran ke universiti Timur Tengah iaitu sama ada di Jordan, Mesir mahupun Maghribi bagi sesi kemasukan 2014/2015. Bagi anak Selangor yang ingin memohon bantuan pelajaran boleh baca Tawaran Dermasiswa Zakat Selangor Ke Jordan Dan Morocco

Pemandangan di Morocco atau Maghribi
Selepas Kementerian Pengajian Tinggi bergabung di bawah satu bumbung dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah bermula sesi 2014/2015 diuruskan oleh pihak KPM sepenuhnya melalui dalam talian.

Para pemohon boleh membuat permohonan melalui laman http://app.moe.gov.my/timurtengah/ yang akan dibuka bermula 1 Apri 2014 bersamaan hari Selasa jam 12 tengah hari. Permohonan ini akan ditutup pada 16 mei 2014 (Jumaat) jam 12.00 tengah hari. Manakala borang permohonan atas talian yang telah dicetak beserta dengan dokumen-dokumen sokongan perlu dikemukakan ke Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi selewat-lewatnya 30 Mei 2014 (Jumaat) sebelum jam 5.00 petang.

Permohonan bagi melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah ini hanya dibuka bagi bidang Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Pengajian Islam. Permohonan ini hanya diproses oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sahaja. Oleh itu semua permohonan perlu dibuat melalui atas talian dan dokumen sokongan mestilah dihantar kepada KPM.

Sebarang pertanyaa dan kemusykilan bolehlah dirujuk kepada Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia di talian 03-8870 6611 / 6627

Bahagian Education Malaysia
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 4, No.2, Menara 2, Jalan P5/6
Presint 5, 62200 Putrajaya

Cerpen Pohon Mangga Itu

7:33 AM Posted by Lobam 5 comments
Assalamualaikum.
Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.
Ini cerpen pertama saya selepas mengikuti kursus penulisan cerpen bersanam Tuan Baharuddin Bekri. Ahamdulillah cerpen ini hanya mengambil masa satu jam untuk disiapkan.



Pohon Mangga Itu
Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

Ayahnya kahwin lagi. Dinding rumah teres satu tingkat itu ditumbuk berkali-kali. Tetapi belum juga luak amarahnya. Dinding batu itu tidak pecah, yang pecah adalah kulit-kulit tangannya. Nazri tidak peduli. Amarah di dadanya membuncah menjadi gelembung-gelembung yang besar. Ayah telah mengkhianiati cinta emak.

Tengah hari itu langit lazuardi cerah tidak berawan dan mentari galak menyebarkan bahang. Peluh yang merenik di dahi disapunya perlahan. Sinaran terik mentari yang menggigit kulit mencuri-curi masuk di celahan pohon mangga yang ditanam oleh isterinya enam tahun lalu. Udara berbahang perlahan-lahan menampar pipi tua Pak Ali. Berganjak sedikit punggungnya mencari kawasan yang lebih redup. Topi jerami dikibas-kibas perlahan, sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit hamburan hawa panas yang mencengkam. Air di dalam botol ditogok rakus bagi menghilangkan lelah. Sejak pagi dia di kebun ini, menabur budi kepada tanah. Menyantun pohon buah-buahan yang tegak berdiri. Terutamanya pohon mangga yang satu ini.

Masih lekat difikiran pohon mangga itu ditanam dengan penuh kasih sayang bersama isterinya. Diberi baja dan siram mengikut jadual menjadikan buahnya cantik dan isinya mongel ranum. Buah yang lebat itu dikongsi bersama dengan jiran tetangga. Mudah-mudahan amal jariah itu sampai kepada isterinya di alam sana.

Sudah dua kali pohon itu memberikan hasil. Sudah dua tahun juga anak teruna kesayangannya angkat kaki meninggalkan kampung selepas isteri kesayangannya pergi menghadap Ilahi empat tahun lalu. Malah sudah dua tahun juga anaknya tidak menunjukkan wajah. Hanya wang yang dikirim sebagai pengganti diri. Entah sihat entahkan sakit anaknya itu hanya tuhan sahaja yang tahu.

Pak Ali kembali bangkit. Berpusing ke kiri dan kanan membetulkan urat pinggangnya. Lengan yang semakin kendur itu diurut perlahan. Selayaknya usia seperti Pak Ali hanya diam di rumah memakan hasil pencen. Tetapi dia tidak betah berehat di pangkin rumah sambil menggoyang kaki ataupun duduk berbual di kedai kopi Lijah janda dari pagi membawa ke senja. Bagi Pak Ali, berbudi kepada tanah pasti banyak hasilnya. Dalam banyak-banyak pohon, pokok mangga yang ditanam isterinya itulah yang paling disayangi. Aturan baja dan air tidak pernah tertinggal walau sehari. Malah pucuk-pucuk kecil yang baru tumbuh dipangkas agar pokok itu rendang dan berbuah lebat.

Dari jauh deruman motokar memecah suasana. Sebuah kereta biru pekat berkilat berhenti di tepi kebun. Terjingkit-jingkit Pak Ali memandang dari kejauhan. Tidak tergambar di memori fikiran siapa yang bertandang. Panas mentari yang menyilau mata tambah menghalang pandangan. Puas Pak Ali memusatkan pandangannya tetapi kelam.

“Ayah, ayah” laungan itu membuatkan Pak Ali tersentak. Sudah lama nama itu tidak lekat di pendengarannya.

“Ayah…” Jeritan itu semakin nyaring. Kini jelas di hadapannya berdiri satu susuk yang amat dirindui. Susuk yang hilang dari radar pengesan dua tahun lamanya. Tiada angin juga ribut muncul pula anak kesayangannya di hadapan mata.

“Nazri” nama itu terpacul juga dari bibir tuanya. Secalit senyuman terukir indah di bibir. Girang tak kepalang hati orang tua itu apabila insan yang dinanti muncul di hadapannya. Tangan kanan dihulurkan. Ternyata salaman itu disambut dingin, malah tidak juga dicium.

“Ayah. Kenapa ayah kahwin lagi? Tidak sayangkah ayah pada arwah emak?” Laju soalan pertama itu dilontar kepada ayahnya tanpa sempat bertanyakan khabar,

“Disebabkan itu kau pulang ke sini Nazri? Aku sudah jangka” Pak Ali mengulum senyum. Sinis sahaja pandangannya.

Pak Ali kembali duduk di atas tanah sambil bersandar pada pohon mangga kesayangannya yang rendang. Rokok daun yang sudah siap digulung dinyalakan. Berkepul-kepul asap memenuhi ruang udara. Sesekali batuknya kedengaran lantang.

“Ya ayah. Terkejut saya bila Mak Uteh memberi tahu yang ayah sudah berkahwin bulan lalu” Mundar mandir Nazri di hadapan ayahnya. Jelas dia tidak senang atas perkara yang telah berlaku.

“Hahaha. Tahu pula kau telefon Mak Uteh itu. Aku ayah engkau tidak pernah kau hubungi.” Terburai juga tawa yang disimpan Pak Ali. Lucu barangkali memikirkan anak kesayangannya bertanya khabar melalui perantaran orang lain. Sudah Pak Ali jangka yang kisah perkahwinan itu lambat laun akan sampai ke pengetahuan Nazri dan dia juga dapat mengagak perkahwinan ini pasti akan ditentang.

“Ayah tidak sayangkan emak lagi?” Nazri melirih hiba. Dadanya beralun ombak, amarahnya masih bersisa.

“Usah kau cerita pasal sayang. Menjengkelkan. Sedangkan kau sendiri tidak tahu apa erti kasih sayang”

“Ayah! Kasih sayang apa yang ayah sebutkan? Kurangkah wang yang Nazri kirimkan setiap bulan? Dia sugul dan dongkol menahan perasaan yang membakar dada. Dia mengaduk-aduk rambut. Kusut jadinya.

“Bukan wang yang aku inginkan Nazri. Malah pencen aku juga cukup untuk menampung tembolok aku yang tua ini. Aku mahukan kau Nazri. Kau lihat pokok mangga ini!” batang pohon mangga itu ditepuk. Bergegar pohon tersebut dan jatuh berguguran beberapa helai daun ke tanah.

“Ya, ini pokok mangga yang arwah emak tanam enam tahun dulu. Pokok yang dibajai dengan cinta dan disiram dengan kasih sayang” Nadanya melengking tinggi, menyaingi merdu nyanyian kenari. Bagi dirinya ayah sudah mengkhianati amanah emak.

“Jangan kau ungkapkan lagi perkataan itu jika engkau sendiri tidak tahu menilai erti kasih sayang” Jari telunjuk Pak Ali dihalakan tepat ke muka anaknya.

“Emak pernah berpesan, pohon ini pohon cinta. Lambang kasih dan cinta aku berdua. Katanya andai dia tiada lagi, kahwinlah selepas pohon ini membuahkan cinta. Dua tahun Nazri aku tunggu kepulangan kau. Dua tahun!” Pak Ali mengulum sebak. Air mata mula bertakung di tubir mata. Berombak dada menahan pilu. Serak suaranya menahan sedih.

“Tapi ayah, errr… Ayah sudah mengkhianati cinta ayah kepada emak” Nazri seakan kehabisan kata.

“Khianat? Kau yang mengkhianati kami. Aku tak pernah kau hubungi, ziarah jauh sekali. Hanya inilah cara untuk aku panggil kau pulang. Jika benar aku mahu berkahwin, sepatutnya dua tahun lalu sudah aku lunaskan janji ketika pohon mangga ini mengeluarkan hasil pertama” pecah juga empangan air mata yang dibendung. Perlahan-lahan wajah arwah isteri kesayangan bermain di hadapan mata. Ibarat layar putih menayangkan gambar. Malah lunak merdu suara isterinya juga masih terngiang-ngiang di telinga. Masih kekal diingatan sewaktu mereka bersama menyemai anak pokok mangga ini. Di situlah termeterai sebuah janji. Mana mungkin dia melupakan semua perkara itu. Peristiwa itu seakan terpahat kemas di benak fikirannya.

Bukan dia mengkhianati cinta. Tetapi hanya dengan perkahwinanlah Pak Ali menyambung semula janji setia bersama arwah isterinya. Nazri lari dari rumah tanpa dia tahu apa punca. Pak Ali seakan hilang kewarasan fikiran mengenangkan anak tunggalnya pergi tanpa meninggalkan jejak. Dia rasa bersalah apabila amanah isteri agar menjaga Nazri sepenuh jiwa raga tidak dipenuhi. Pak Ali tahu, dengan perkahwinan ini mampu membawa Nazri pulang kembali kepadanya.

“Maafkan Nazri ayah” Kaki ayahnya dipeluk erat. Tangisan Nazri semakin kuat, esakannya semakin kencang. Dosa meninggalkan ayahnya tanpa khabar berita tiba-tiba menghantui diri. Nazri dibangunkan lalu tubuh itu dirangkul dengan kasih sayang.

Janji di pohon mangga menyatukan kembali cinta yang terputus. Kini Pak Ali bangkit mempertahankan amanah arwah isteri bersama anak dan isteri barunya.

Sunday, March 23, 2014

8 Panduan Pemilihan Institut Pengajian Tinggi Swasta ( IPTS )

11:35 AM Posted by Lobam , 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul Sayyiduna Muhammad tercinta serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Perjuangan selama lebih 11 tahun menuntut ilmu sejak kecil akhirnya telah sampai ke kemuncak. Beberapa hari lalu telah diumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2013. Dengan berakhirnya peperiksaan SPM, para pelajar akan menempuhi satu alam pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Saya kira, sekarang ini pasti berbondong-bondng surat tawaran dari pelbagai kolej dan universiti swasta telah diterima. Bukan setakat surat sahaja, malah panggilan kerap diterima dan pesanan ringkas juga memenuhi kantong SMS di dalam relefon.


Adakah Institut Pengajian Tinggi Swasta ini tidak bagus? Bagaimana untuk memilih IPTS yang terbaik?

Saya ingin kongsikan kepada para pembaca Panduan Pemilihan IPTS buat pelajar lepas SPM.

1. Perakuan Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi Swasta ( Sijil )

- Pilih IPTS yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
- Perakuan pendaftaran sangat penting. Jika IPTS tidak berdaftar sudah tentu bidang pengajian juga tidak diiktiraf.
- Contoh no. rujukan perakuan pendaftaran Universiti / Kolej Universiti / Kolej :
* KPT/JPT/DFT/US/B21 
* KPT/JPS/DFT/US/B22 
* B4P 8089
* KP/JPS.IPTS(Dft/Aku)I 

2. Perihal Kursus / Bidang Pengajian

- Pastikan semua kursus dan bidang pengajian yang dipilih / ditawar telah mendapat kelulusan pengendalian dari KPT
- Mencapai standard minimum; Perakuan Akreditasi / Akreditasi Provisional / Akreditasi Penuh dari MQA 
- Contoh kod kursus pengajian


- Bidang pengajian yang dipilih mestilah sesuai dengan kelayakan serta memenuhi syarat kemasukan ke IPTS tersebut. 
- Bidang pengajian bersesuaian dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
- Semak tempoh dan mod pengajian (sepenuh masa atau separuh masa).
- Perbandingan dibuat dengan IPTS lain yang menawarkan program pengajian yang sama.
- Semak status kursus pengajian yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Badan Profesional (Cth : Board of Engineering, Pharmacy Board, Malaysian Medical Council, Department of Civil Aviation, Lembaga Jururawat dll)

3. Syarat Kelayakan Masuk

Pastikan kelayakan anda memenuhi syarat yang ditetapkan KPT. 


- Bagi program-program profesional yang mempunyai Lembaga Profesional, kelayakan masuk adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Lembaga Profesional yang berkenaan. 
- Bagi syarat kelayakan masuk bidang-bidang pengajian tertentu, perlu juga merujuk kepada Standard bidang yang telah dibangunkan oleh MQA yang boleh disemak di ruangan Standard Baru dalam Laman Web MQA. 
- Nilai taraf kelayakan akademik luar negara peringkat menengah dan perbandingan dengan kelayakan akademik di Malaysia boleh dirujuk dalam Laman Web MQA atau kepada Unit Rujukan dan Nilai Taraf, Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, MQA

4. Yuran

- Yuran keseluruhan kursus pengajian yang berpatutan dan bersesuaian dengan bidang yang dipilih dan mengikut kemampuan. 
- Semak polisi pemulangan yuran.
- Maklumat lanjut rujuk Buku Yuran Kursus Pengajian di IPTS di laman web http://jpt.mohe.gov.my/
- Teliti setiap maklumat berikut sebelum bersetuju dengan sebarang tawaran daripada pihak IPTS dengan baik seperti surat tawaran, yuran keseluruhan / struktur yuran, program pengajian, fee refund policy dan bantuan pinjaman pendidikan.
- Simpan invois / resit bagi setiap pembayaran.

5. Pembiayaan Pengajian

- Terdapat juga bank/ Yayasan Negeri/ Kerajaan Negeri/ Baitulmal/ Pusat Zakat Negeri/ JPA/ syarikat yang memberikan pinjaman pelajaran. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi yang berkenaan atau layari laman sesawang http://jpt.mohe.gov.my/menupelajar.php

* Tahukah anda kebanyakan IPTS juga menyediakan bantuan kewangan? Maklumat berhubung bantuan kewangan juga boleh diperolehi daripada pejabat pendaftar atau bahagian hal ehwal pelajar di IPTS tersebut.

6. Peluang Melanjutkan Pengajian / Bidang Kerjaya

- Kursus yang ditawarkan adalah kursus yang mempunyai pasaran yang meluas dalam bidang pekerjaan sekarang. 
- Kursus berkenaan berupaya memberi peluang bagi melanjutkan pelajaran keperingkat tertinggi.

7. Kemudahan

- Kemudahan dan infrastruktur yang mencukupi, selamat dan selesa.
- Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan seperti kemudahan rekreasi, pengangkutan, perpustakaan, khidmat kaunseling dan aktiviti kokurikulum.
- Tempat kediaman atau penginapan pelajar (jika ada) yang selesa dan berhampiran dengan kampus.

8. Lokasi
- Lokasi dan persekitaran IPTS yang kondusif bagi pembelajaran dan pengajaran

Semoga berjaya.

Tawaran Dermasiswa Zakat Selangor Ke Jordan & Morocco 2014

12:16 AM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Segala puji dan puja buat Pentadbir sekalian alam dan Penguasa hari kemudian serta Selawat dan Salam buat Rasul junjungan tercinta.

Tahniah kepada lepasan SPM yang sudah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Saya kira pasti ramai yang sudah menerima berbondong-bondong tawaran dari kolej mahupun universiti swasta. 

Selain daripada universiti dalam negara, para pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Bagi pelajar aliran agama, banyak pilihan yang boleh dipilih. Antaranya Madinah, Jordan, Maghribi, Mesir dan banyak lagi.

Entri kali ini ditujukan khas untuk mereka yang berhajat mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti di Jordan dan Morocco.


Untuk melihat syarat am dan syarat khusus boleh klik Di Sini

Muat turun borang :

1. Jordan
2. Morocco

Borang hendaklah sampai kepada Seksyen Pengajian Tinggi, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor sebelum atau pada 4 April 2014 jam 4.30 petang.

Semoga berjaya

Saturday, March 22, 2014

Hala Tuju Selepas SPM

10:39 PM Posted by Lobam , , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Sumber : http://cikguhanafiah.files.wordpress.com
Beberapa hari lalu telah diumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2013. Debaran yang ditanggung selama ini akhirnya terburai juga. Ada yang mengecapi kejayaan berganda malah ada juga yang mengendong kecewa.

Bagi yang berjaya dengan bergaya tahniah saya ucapkan. Tetapi bagi yang diulit kecewa usahlah terus bermuram durja. Apa yang telah berlaku biarkan ia berlalu. Banyak perkara yang sedia menanti di hadapan.

Untuk anda yang berjaya, pasti sudah tergambar di fikiran apa yang akan anda lalui selepas ini. Jalan-jalan kejayaan sudah siap terbentang di hadapan. Pastinya Matrikulasi, Asasi mahupun Diploma yang terbayang-bayang di minda. Sudah semestinya bidang pengajian popular seperti Kedoktoran dan Kejuruteraan menjadi pilihan. Tetapi bagaimana kiranya apa yang kita impikan itu tidak seindah yang kita bakal lalui.

Sumber : Halatuju.com
Kadangkala tawaran yang kita dapat melalui UPU tidak selari dengan apa yang kita pohon. Sudah pasti para pelajar akan berasa kecewa apabila bidang pengajian idaman terlepas dari genggaman. Saat itu, operasi memanjat universiti untuk rayuan akan bermula. Tetapi pernahkah kita terfikir yang tawaran yang diterima itu adalah selari dengan keputusan yang kita perolehi. Memandangkan permohonan UPU menggunakan sistem meritokrasi, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dipertimbangkan untuk mendiami sesuatu bidang.

Sumber : Halatuju.com
Apa Itu Meritokrasi? 

Menurut Amir Hasan Dawi  (2002) dalam bukunya yang berjudul Penteorian Sosiologi dan Pendidikan meritokrasi  adalah satu pandangan atau memberi peluang kepada orang untuk maju berdasarkan meritnya,yakni berdasarkan kelayakkan dan kecekapannya atau kecemerlangannya. 
Menurut Kamus Dewan (Edisi ketiga) meritokrasi ialah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya dan bukan kerana keturunan atau kekayaan.

Konsep meritokrasi itu sendiri diagihkan berdasarkan merit kepintaran, bakat dan ikhtiar individu. Pelajar-pelajar ini akan disusun mengikut ranking keputusan peperiksaan. Sebagai contoh, Universiti A hanya menyediakan sebanyak 100 tempat untuk bidang A.  Katakan sebanyak 100 pemohon pertama (selepas disusun mengikut ranking) untuk bidang pengajian A mendapat keputusan 9A dan pemohon ke 101 hanya mendapat 8A 1B. Sudah tentu pemohon yang ke 101 tidak akan terpilih memandangkan had atau kuota sesuatu bidang di universiti tertentu sudah penuh. Secara automatik, permohonan melalui UPU akan diberi mengikut pilihan kedua sehingga pilihan terakhir.

Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Dalam Permohonan UPU 

1. Kebanyakan pemohon meletakkan bidang pengajian dan universiti yang sama pada 3 pilihan pertama. Contohnya, pilihan pertama bidang A di universiti A. Pilihan kedua dan ketiga juga bidang A di universiti A. Apabila pemohon tidak layak untuk bidang A di universiti A secara automatik penawaran bidang dan universiti akan turun ke pilihan seterusnya. 

2. Tidak bersetuju untuk diberi kursus pengajian selain dari pilihan yang dinyatakan. Apabila pemohon tidak bersetuju, jika permohonan tidak selari dengan keputusan secara automatik nama pemohon akan dikeluarkan dalam senarai permohonan. Sebab itulah ramai pelajar yang agak cemerlang tercicir dari senarai UPU.

Bagaimana Jika Ditawarkan Dengan Kursus Yang Tidak Bersesuaian?

Kesilapan pelajar adalah meletakkan matlamat pekerjaan di hadapan. Sebagai contoh, apabila ditawarkan dalam bidang yang kurang popular seperti bidang Pelancongan, bidang Statistik, bidang Teknologi Tekstil dan banyak lagi maka otak ligat berfikir apa pekerjaan yang boleh diperolehi. Dilema ini juga dihadapi oleh kebanyakan mahasiswa bidang Pengajian Islam. Apa yang difikirkan oleh mereka ialah apabila mengambil bidang Pengajian Islam, hanya peluang menjadi Ustaz dan Ustazah sahaja yang menanti.

Sebenarnya, bidang pengajian umum ini sesuai untuk semua lapangan pekerjaan. Ramai tokoh yang bekerjaya tidak seiring dengan kelulusan mereka. Contohnya Saudara Mohd Nazmi Yaakub pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti al-Azhar Mesir kini bertugas sebagai editor sastera di akhbar Berita Harian. Seorang lagi personaliti ialah Saudara Syafiq Zulakifli seorang graduan Universiti al-Azhar kini bertugas sebagai penyampai di Radio IKIM.FM. Jika ingin mengambil saya sebagai contoh, saya juga berkelulusan di bidang agama dari universiti yang sama seperti mereka berdua. Tetapi kini saya bertugas sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling. Malah ramai juga rakan-rakan saya yang mengambil pelbagai bidang di universiti tetapi bertugas sebagai anggota polis berpangkat Inspektor.

Jelas, zaman kini bidang pengajian di universiti bukan lagi jaminan untuk menjawat jawatan seiring kelulusan. Zaman penuh persaingan, semua perkerjaan boleh dipohon berdasarkan minat dan peluang. Bukan mengikut kelulusan semata-mata.

Mari saya kongsikan sebuah cerita benar untuk tatapan semua.

Dua orang lepasan SPM. Seorang menerima tawaran pengajian di bidang Pelancongan (bukan pilihannya) dan seorang lagi di bidang Kejuruteraan. Dua bidang yang pada pandangan mata masyarakat ibarat langit dan bumi. Satu bidang mungkin dipandang tinggi dan satu lagi bidang yang hanya sekadar tempelan sahaja.

Kehidupan kedua-dua mahasiswa ini sangat berbeza di Universiti. Mahasiswa yang mengambil bidang Pelancongan seringkali mendapat markah purata tertinggi manakala si mahasiswa Kejuruteraan sekadar mendapat keputusan cukup makan. Sehinggalah di tahun akhir ternyata mahasiswa jurusan Pelancongan mengakhiri pengajiannya dengan keputusan terbaik berbeza dengan mahasiswa kejuteraan, sekadar mendapat markah biasa-biasa.

Graduan pelancongan meneruskan kecemerlangan dengan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi sehinggalah menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dan menjawat jawatan pensyarah berstatus Doktor. Tetapi tidak bagi graduan kejuteraan. Akibat dari kekurangan penawaran pekerjaan si graduan bekerja di luar bidang kepakarannya.

Apa pengajaran yang boleh diambil?

1. Bidang pengajian kritikal lebih sukar berbanding bidang pengajian berstatus umum. Jika tiada usaha 200% agak susah untuk mendapat keputusan tertinggi.

2. Bidang pengajian umum lebih mudah untuk 'score'.

3. Kadangkala bidang pengajian bukan pilihan itu lebih menjamin masa hadapan.

4. Bidang kritikal mempunyai banyak saingan. Hanya yang terbaik sahaja akan dipilih.

5. Bidang umum boleh menjawat pelbagai jawatan. Tidak hanya tertumpu kepada bidang yang diambil di universiti sahaja.

Jadi kepada para graduan yang 'terambil' jurusan bukan pilihan di universiti, usah khuatir dan bimbang. Kerana beribu peluang pekerjaan menanti kalian di luar sana.

Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, usah terus meratap akan kegagalan yang telah dilalului. Masih banyak ruang dan peluang yang menanti di hadapan.

Antara pusat pengajian yang menawarkan peluang pengajian tinggi ialah :

1. Institut Kemahiran Belia Negara
2. Kolej Komuniti
3. Giat Mara
4. Politeknik
5. Institut Latihan Perindustrian
6. Kolej separa kerajaan seperti KUIS di Selangor, Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan banyak lagi.
7. Institut Kemahiran Mara
8. KPTM

Banyak peluang pengajian lepas SPM. Jangan jadikan alasan gagal SPM sebagai pengakhiran usaha anda.

Monday, March 17, 2014

Buku Edisi Khas Denai Hati Manual Lengkap Rujukan

10:20 AM Posted by Lobam , 10 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Sukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Sayyiduna Rasulullah tercinta serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Buku program adalah merupakan suatu yang sangat penting di dalam sesebuah majlis. Melalui buku program, para jemputan dapat mengetahui serba sedikit informasi dan maklumat ringkas mengenai program yang berlangsung.


Pelbagai jenis buku program yang ada. Ada yang hanya mencetak di atas kertas kosong berwarna putih malah ada juga cetakan berwarna terutamanya untuk tetamu kehormat. Tetapi, pernahkah anda menerima sebuah buku program dalam bentuk buku yang lengkap dan lebih mengujakan lagi buku tersebut 100% cetakan berwarna dan dicetak diatas kertas licin yang berkualiti tinggi?

Itulah yang berlaku apabila semua tetamu Majlis Sepetang Bersama Blogger & Yeos ( SBB 2014 ) dihadiahkan dengan buku yang cukup istimewa ini.

Kegemaran anak kampung yang gemar menulis sejak di bangku sekolah diabadikan dalam sebuah blog yang tidak dirancang keweujudannya sejak awal. Penulisan secara santai tetapi sarat dengan inspirasi diabdikan di dalam blog Denai Hati

Meneliti maksud Denai Hati akan menimbulkan satu misteri yang tidak pernah terungkai. Malah kerana unik dan misteri itulah nama Denai Hati sentiasa meniti di bibir penggemar pelayar dalam talian.


Buku yang menceritakan tentang hasil tulisan penerima Best Micro Blog 2014 dalam Malaysia Social Media Week 2014 baru-baru ini, mengumpulkan penulisan terbaik yang diambil dari laman denaihati.com. Buku ini yang dibahagikan kepada beberapa bahagian, menceritakan tentang suka duka saudara Amir selaku Founder Denaihati.com seawal beliau memulakan kariernya sebagai penulis blog. Malah buku ini juga turut berkongsi beberapa tips yang sangat berharga buat blogger baru. Penulis yang terkenal dengan tagline Salam 1 Dunia turut berkongsi kepada semua pembaca tentang pengalaman beliau mengembara ke serata dunia dengan hasil menulis di blog.


Ternyata bakat penulisan yang dikurniakan kepada beliau membuatkan pembaca begitu dekat dengannya. Olahan ayat yang begitu kemas menjadikan entri ini seakan hidup. Malah saudara Ilham turut menyelak sedikit sisi peribadi beliau untuk dikongsikan dengan para pembaca terutamanya di bahagian Kisah Keluarga. Tersentuh hati tatkala membacakan entri yang ditulis pada 13 Ogos 2012 yang bertajuk Teguran Ibu Dijadikan Musuh Hingga Ke Akhir Hayat. Penulis juga turut berkongsi kisah sedih tentang anak yang tidak menjenguk ayahnya selama tiga tahun akibat terasa hati dengan teguran dalam entri yang bertajuk Marah Ayah Dan Ibu Setakat Mana. 


Jika anda seorang blogger yang baru ingin menapak di dalam dunia blogging dan bercita-cita untuk menjadi blogger popular seperti Denai Hati, Beautiful Nara, Hasrul Hassan dan Eyriqazz (sekadar menyebut beberapa nama ) buku edisi khas Denai Hati ini adalah merupakan manual yang paling lengkap untuk dijadikan rujukan. Sudah pasti segala tips yang dkongsi adalah merupakan hasil pengalaman saudara Amir sendiri. Sentuhan magis beliau yang dicurahkan di dalam buku ini ditulis secara santai membuatkan setiap bait perkataan terus menusuk ke dalam hati.

Tertarik saya kepada entri yang ditulis pada 24 November 2012 bertajuk Cara Membina Jenama Blog Terkenal. Melalui entri ini saudara Amir menceritakan tentang bagaimana nama Denai Hati dipilih. Sudah pasti entri ini memberi inspirasi dalam saya meneruskan cita-cita untuk membina jenama Lobam agar terus dikenali. Moga ada ganjaran dari-Nya nanti. Insya-Allah.


Alam kehidupan Penganjur Majlis Sepetang Bersama Blogger ini semakin menarik apabila turut mendidik para pembaca untuk Hidupkan Untuk Memberi. Malah dengan semangat untuk memberi itu, Saudara Amir bersama rakan-rakannya telah mewujudkan portal eQurban.com peneraju qurban dan akikah.

Ternyata sikap banyak memberi itu akan membuahkan hasil yang lumayan seperti mana yang telah Allah janjikan.

Konklusinya, cara penyampaian ringkas membuatkan pembaca mudah memahami catatan peribadi yang menarik, sekaligus wajar dibaca oleh pembaca remaja dan dewasa terutama yang baru menapak di dalam dunia blog kerana sarat motivasi serta boleh menaikkan semangat untuk lebih optimis menggapai cita-cita. 

Sunday, March 16, 2014

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia

4:51 PM Posted by Lobam 10 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Bagi anda yang baru sahaja melangkah kaki ke pusat pengajian tinggi, pastinya ini adalah merupakan kali pertama anda menerima Baucer Buku 1Malaysia serta Kad Diskaun Siswa 1Malaysia. Bagi penerima tahun 2014 tempoh sah laku kad anda adalah sehingga Disember 2017.


Apa itu Kad Diskaun Siswa 1Malaysia?

Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan objektif untuk membantu meringankan perbelanjaan siswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.
 
KADS1M diberi secara percuma kepada pelajar-pelajar IPT yang menepati kriteria-kriteria berikut:
  • Mengikuti pengajian jangka panjang yang tempoh masanya 1 tahun dan ke atas (sijil, diploma, ijazah dan ke atas);
  • Warganegara Malaysia.
Diskaun yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian adalah bagi pembelian barangan dan perkhidmatan terpilih dan tertakluk kepada kadar, terma serta syarat yang ditetapkan oleh syarikat masing-masing.

Bagi pemegang kad ini, anda boleh menikmati diskaun di 2000 syarikat yang tersenarai. Hanya tnjukkan kad ini sebelum membuat pembayaran dan anda akan menikmati diskaun yang telah ditetapkan. Untuk melihat senarai penuh syarikat yang terpilih boleh semak di sini

Kad Diskaun 1Malaysia ini tidak perlu dipohon. Mahasiswa akan memperolehinya secara automatik melalui IPT masing-masing.


Bagi anda yang gemar melancong, Tune Hotel menyediakan sehingga 25% diskaun bagi pemegang kad ini.  

Antara syarikat yang memberi diskaun kepada pemegang kad ini ialah :

1. MPH
2. Bata
3. Focus Point
4. Menara Optometry
5. KFC
6. Daily Fresh
7. A&W
8. Aeon
9. Dan banyak lagi.

Buat pemegang kad ini, berbelanjalah dengan bijak. Gunakan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi :

SEKRETARIAT KADS1M - Bank Rakyat
Jabatan Khidmat Koperasi dan Usahawan
Bangunan Bank Rakyat, Jalan Tangsi
Peti Surat 11024, 50732 Kuala Lumpur
Tel : +603-2612 9568
Faks : +603-2612 9566
Emel : mohd.azrul@bankrakyat.com.my
 
SEKRETARIAT KADS1M - KPDNKK
Bahagian Gerakan Kepenggunaan,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan
No. 13, Persiaran Perdana, Presint 2,
62623 Putrajaya, Malaysia
Tel : +603-8882 5972 / 6181
Faks : +603-8882 5983
Emel : kads1m@kpdnkk.gov.my

Berbakti Di Puncak Bukit Broga

2:57 PM Posted by Lobam , 6 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait tercinta.


Menerima pelawaan daripada adik saya yang bertugas sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk mendaki Bukit Broga sesuatu perkara yang tidak mungkin saya tolak. Sudah lama saya mengimpikan untuk menjejakkan kaki di bukit setinggi 400 meter itu. Satu demi satu program dirancang sejak saya masih berada di sekolah tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan.


Kisah bermula apabila kami menerima tugasan untuk melakukan Community Setting dalam menyebarkan tentang bahaya dadah. Pelbagai usul telah dicadangkan oleh ahli kumpulan tetapi kesemuanya nampak biasa sahaja. Tidak ada satu program pon yang mempunyai wow factor. 


Saat buntu memikirkan program terbaik, tiba-tiba saya menerima panggilan daripada adik yang mempelawa saya untuk menyertai pendakian ke Bukit Broga bersama 66 orang pelajar sekitar Seremban dan Port Dickson. Ternyata pelawaan itu ibarat Bulan Jatuh Ke Riba.


Setelah berbincang, ternyata usul saya diterima ahli kumpulan. Bermulalah episod seterusnya iaitu penyediaan bahan edaran. Dengan kerjsama Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM, kami menerima bahan-bahan seperti brosur, poster dan bunting berkaitan dadah, rokok dan alkohol. 

Jam 4.20 pagi kami memulakan perjalanan dari Nilai ke Bukit Broga. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar 30 minit, menjadi lebih lancar memandangkan tidak banyak kenderaan di awal pagi.

Ini merupakan pengalaman pertama kami. Kawasan bermula pendakian yang terletak berhampiran Universiti Nottingham ini kelihatan lengang. Mungkin masih awal pagi atau bukan hujung minggu membuatkan kehadiran pendaki tidak berapa ramai. Tepat jam 5.00 pagi kami memulakan pendakian. 

Biarpun sudah ada track, pengalaman pertama kali membuatkan pendakian kami sedikit sukar. Keadaan gelap gelita juga sedikit sebanyak menyulitkan keadaan. Dengan bantuan 2 buah lampu suluh, bukit keras itu kami daki perlahan-lahan. 


Mengikut pembacaan saya, bukit ini mempunyai 3 puncak. Kebiasaannya, pendaki akan berhenti setakat di puncak kedua memandangkan pendakian ke puncak ketiga agak mencabar. Keadaan yang curam serta tanah yang licin membuatkan pendaki lebih selesa berada di puncak kedua.


Pendakian kami bergerak lancar. Hanya berhenti beberapa kali sekadar untuk melepas lelah. Sedar tidak sedar sudah 40 minit kami mendaki. Pendakian kami terhenti di puncak pertama. Di situlah saya bertemu dengan adik saya beserta ahli rombongannya seramai 75 orang. Memandangkan kawasan itu agak rata, kami memutuskan untuk berhenti di situ sementara menunggu Subuh menjelma. Tepat jam 6.00 pagi sayup-sayup kedengaran ayat suci Al-Quran dikumandangkan dari surau di kaki bukit. Perasaan sayu menjalar masuk ke seluruh urat nadi. Pada ketinggian ini, hampir seluruh kawasan sekitar Broga dapat dilihat berbalam-balam. Deretan lampu jalan yang menyinar membuatkan susana subuh begitu indah.


Tatkala azan subuh berkumandang di bawah, saya rasa terpanggil untuk melaungkan kalimah azan di puncak Broga. Dalam kegelapan subuh dan hembusan bayu sejuk yang menggigit tulang, kami sujud menyembah yang Esa secara berjemaah. Rekreasi bukan penghalang untuk beribadah. Jika diamati secara halus, rekreasi itu juga merupakan satu ibadah. Beza antara adat dan ibadat adalah niat kerana Allah.


Usai menunaikan solat dan zikir ringkas, kami bergegas mendaki hingga ke puncak kedua. Jarak antara kawasan lapang hingga ke puncak kedua tidaklah terlalu jauh. Sekitar lima minit pendakian sahaja. Tiba di sini kami bergabung dengan rombongan pelajar yang mengikuti kem. Saat ini sudah ramai pendaki yang tiba untuk terus mendaki ke puncak ketiga. 


Kami sepakat untuk berhenti di sini seketika sambil menikmati kemunculan sang mentari yang malu-malu untuk menunjukkan diri. 


Ternyata pagi ini mentari lebih rela bersembunyi di balik awan yang tebal dari menyebarkan sinaran ke serata bumi.


Peluang yang ada, tidak kami lepaskan. Langsung flyers dan brosur kami edarkan. Sedikit penerangan ringkas kami berikan kepada guru dan pelajar yang terlibat. Matlamat kami hanya satu, menyampaikan risalah anti dadah sambil beriadah di Bukit Broga. Ternyata mereka menerima dengan rasa gembira. 


Saat kemunculan mentari adalah saat yang begitu menyentuh hati. Ketika kita dimatikan seketika sewaktu tidur dan dibangkitkan semula sewaktu pagi, selayaknya kita bersyukur dan bangun sujud menyembah yang Esa. Kecantikan sinaran mentari mencecah bumi menyerlahkan keindahan Bukit Broga itu sendiri. Cahaya mentari yang menerobos awan gemawan menghasilkan jaluran sinar yang memukau pandangan. Indahnya ciptaan Ilahi. Beruntunglah bagi mereka yang berfikir.


Selepas beberapa ketika, kami meneruskan pendakian ke puncak terakhir. Ternyata pandangan di waktu siang lebih menyerlahkan kepayahan yang tersorok di dalam pekat malam. Hampir-hampir saya berputus asa untuk meneruskan pendakian. Mujur daya ditunjukkan dengan jalan yang kedua yang tidak kurang hebat cabarannya. Pendakian yang lebih curam tanpa bantuan akar yang menjalar membuatkan pergerakan saya begitu sukar. Berkat bantuan rakan-rakan alhamdulillah, saya di puncak Broga.


Usai memetik beberapa keping gambar, projek Community Setting kami teruskan. Flyers dan brosur kami edarkan kepada mereka yang berada di puncak. Mudah-mudahan sedikit sebanyak usaha ini akan menggetarkan hati mereka untuk menerima kenyataan bahaya najis dadah. Itu pun dengan izin Allah jua.


Sudah tiba saat untuk kami turun pulang. Ternyata aktiviti turun dari puncak Broga lebih melelahkan. Sewaktu siang kita dapat melihat segala mara bahaya yang merentangi perjalanan. Aduh. Susah benar perjalanan pulang ini. Jika sewaktu mendaki kita tidak dapat melihat jalan yang dilalui dek gelapnya malam. Tetapi di waktu siang, Nah, terbentang jelas apa yang ada di hadapan. Langkah kaki semakin sukar. Kadangkala terpaksa duduk menggelongsor. Hayunan kaki lebih berhati-hati agar tidak tersungkur. Selepas menempuhi segala kepayahan, akhirnya kami tiba di kaki Bukit Broga.


Jelas, Broga memberi pengalaman pendakian yang berbeza. Ini bukan kali pertama saya mendaki. Malah Gunung Datuk di Rembau serta Gunung Angsi di Kuala Pilah telah berjaya saya tawan. Mendaki di kawasan hutan yang tidak berapa hutan membuatkan semangat perlu digandakan.


Buat anda yang pertama kali ke Bukit Broga, apa yang perlu dibawa?

1. Lampu suluh.
2.Tiada syarat pakaian, cukup sekadar anda berasa selesa. Saya hanya memakai seluar jenas dan kemeja T.
3. Air untuk diminum.
4. Air untuk berwuduk. Sebaiknya wuduk sahaja di rumah. Setiap langkahan kita pasti diganjari pahala.
5. Sejadah untuk menunaikan solat subuh. Rugi rasanya jika dapat menikmati keindahan ciptaan Allah tanpa kita sujud kepada Allah.
6. Makanan ringan. Makanan yang dijual di sana agak mahal.
7. Bagi anda yang tidak tahan sejuk, pakai sahaja baju lengan panjang.
8. Kamera untuk menangkap gambar. Jika tidak, cukup hanya menggunakan telefon sahaja dan terus muat naik ke akun FB kerana ada talian telefon di puncak bukit sana.

Broga. Mung Tunggu Aku Datang Lagi.

Monday, March 10, 2014

The Muslim Show - Dakwah Kreatif Dakwah Berhikmah

9:44 AM Posted by Lobam 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berharga iaitu Iman dan Islam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Dakwah merupakan salah satu tuntutan dalam Agama Islam. Malah konsep Amar Makruf Nahi Munkar turut diceritakan melalui kalam Tuhan di dalam ayat 104 surah Ali Imran

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Dewasa ini, pelbagai cara digunakan dalam menyampaikan dakwah. Pelbagai medium digunakan secara meluas dan maksima untuk menyebarkan kebaikan. Malah dengan kecanggihan teknologi terkini, dakwah mampu menembusi segala macam gajet yang ada dan boleh dikongsi hanya dengan satu klik. Tetapi adakah dakwah kita mampu menarik minat orang ramai? Adakah semua orang senang dengan teguran yang kita tuliskan di laman sosial? Adakah dakwah kita sampai kepada golongan sasar?


Atas rasa tanggungjawab itulah, PTS Media Group tampil mengambil bahagian dalam penganjuran Seminar The Muslim Show, Dakwah Kreatif Era Baru. Seminar ini akan memberi pendedahan kepada umum dakwah secara kreatif dan inovatif menggunakan media yang ada. Selain itu, seminar ini juga dapat menggalakan penghasilan karya bermutu tinggi yang dapat disebarkan secara lebih universal di samping mendedahkan cara menghasilkan dakwah yang lebih kreatif dan universal kepada masyarakat.



Bukan itu sahaja, ia juga dapat mempertemukan medium dakwah dan elemen kreatif supaya setiap individu dapat menyampaikan dan menerima mesej. 

Seminar The Muslim Show  'Dakwah Kreatif Era Baru' membawakan  kartunis terkenal The Muslim Show Comic yang berasal dari Perancis. Para kartunis ini akan mengadakan perkongsian berkenaan cara dakwah secara meluas menerusi laman media sosial dan komik yang dihasilkan.


Selain itu, bagi memberi nilai tambah kepada seminar ini, para panel terkemuka Malaysia turut dijemput bagi membincangkan dan membawa satu resolusi mengenai medium dakwah era baru. Antaranya adalah Ustaz Don Daniyal, Ustaz Hasrizal Saifulislam, Ustazah Fatimah Syarha, Dr. Danial Zainal Abidin, Heliza Helmi dan ramai lagi. Tambah istimewa, Felixia Yeap, bekas model playboy yang kini sudah bertudung akan membuat penampilan khas dalam slot bersama para peserta. Ini bertujuan supaya dakwah ini dapat disampaikan kepada semua peringkat dan golongan masyarakat.


Seminar ini mengetengahkan trio pekomik dari siri The Muslim Show iaitu Noredine Allam, Greg Blondin. Selain itu, mereka juga merupakan pencipta komik berisiri ini yang turut mempunyai 490,036 like di Facebook seluruh dunia manakala diikuti lebih daripada 17,000 orang pengguna di Indonesia. Komik ini mengetengahkan kesederhanaan pada setiap ilustrasi namun tepat mengenai sasaran pembaca.


Bayaran yang dikenakan juga sangat munasabah. Bagi yang mendaftar seramai 10 orang dalam satu kumpulan RM110.00 dikenakan setiap seorang. Malah jika anda mendaftar sebelum 16 Mac, anda hanya perlu membayar RM130.00 seorang.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut sila layari laman sesawang PTS Muslim Show. Jumpa anda di sana.

Sunday, March 9, 2014

Menyulam Cinta Di Majlis Sepetang Bersama Blogger & Yeos 2014

10:32 PM Posted by Lobam 6 comments
Assalamualaikum.

Alhdmulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Meriah dan penuh ukhwah. Itulah perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan kemeriahan Majlis Sepetang Bersama Blogger & Yeos 2014 yang diadakan di Saloma Bistro and Theatre Restaurant Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan oleh Denai Hati Network dan ditaja oleh Yeos Malaysia itu berjaya mengumpulkan seramai lebih 350 orang blogger dari seluruh negara.


Program yang dianjurkan sejak tahun 2012, telah mengumpulkan ratusan blogger dari Malaysia, Brunei dan Indonesia. Penganjuran program yang memasuki tahun ketiga ini bertujuan mengeratkan silaturrahim antara blogger serta membina jaringan perhubungan serta perniagaan dalam memperkenalkan produk masing-masing.


Bagi saya yang baru pertama kali menyertai aktiviti seperti ini benar-benar memberi kenangan serta pengalaman yang sangat berharga. Berbicara dan bertentang mata bersama blogger hebat membuatkan diri ini terasa kerdil. Kalam taujihad yang dilontarkan benar-benar membongkar segala kekuatan dan menyentak emosi untuk terus menulis.


Teringat kepada kalam penulis prolifik Bahruddin Bekri melalui karyanya Padanya Ada Cinta,

Tulisan ini panjang umurnya. Selepas kita dibangkitkan, tulisan-tulisan inilah yang akan ditayangkan di Padang Mahsyar nanti. Jika baik penulisan kita maka baiklah keputusannya.

Ternyata pertemuan yang berharga ini benar-benar memugar semangat saya untuk menulis.

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Majlis yang dianjurkan dalam keadaan santai membuatkan seluruh jemputan terhibur. Tambahan pula penampilan khas persembahan nyanyian yang disampaikan oleh Retis #BoniKacak dengan lagu yang dicipta khas untuk peraduan Gaya Hidup Sihat Bersama Yeos membuatkan para hadirin seakan histeria. Kemunculan #BoniKacak ditunggu-tunggu ramai sekaligus menamatkan spekulasi yang berlegar di ruang atmosfera Saloma Bistro mengenai kemenangan beliau. Ternyata kelunakan suara #BoniKacak memberi kredit buat beliau sehingga dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga peraduan anjuran Denai Hati dan Yeos itu. 

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Pelbagai acara menarik telah diadakan. Antara yang ditunggu-tunggu ialah acara cabutan bertuah. Banyak hadiah menarik yang terdiri daripada gajet, pakej percutian, tajaan server sehinggalah kepada comforter menjadi idaman setiap hadirin yang hadir. Setiap kali acara cabutan bertuah, para peserta seakan terpaku di tempat duduk dan tumpuan mata tertancap di layar putih yang disediakan. Tepukan gemuruh para hadirin bergema di ruang udara setiap kali nama pemenang diumumkan. Ternyata para hadirin sangat terbuka dan memberi penuh kerjasama biarpun bukannya nama mereka yang disebut.

Antara permainan yang mendapat sambutan para hadirin ialah acara minum air Yeos paling cepat. Setiap peserta dibekalkan 2 kotak minuman kecil Yeos dan para pemenang dipilih berdasarkan kepantasan menghabiskan kedua-dua air kotak yang disediakan. Bagi blogger wanita, acara lebih ringan disediakan buat mereka iaitu meneka perasa minuman Yeos. Aksi-aksi para peserta benar-benar mencuti hati para jemputan.


Perkongsian ilmiah daripada para selebriti blogger juga menjadi acara yang ditunggu-tunggu. Kehadiran Red Mummy, Hazman Fadzil dan Zarul Umbrella benar-benar menggamatkan suasana. Mini forum yang dipengerusikan oleh bro Denai Hati memberi banyak input kepada para jemputan. Malah lambakan tip serta perkongsian menarik membuatkan para jemputan lebih bersemangat untuk meneruskan aktiviti blogging.


Perkongsian daripada blogger pelaburan hartanah Shafie Bustan dan blogger Santai Ben Ashaari sangat memberi inspirasi. Teringat akan kata-kata bro Ben, semua yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan cerita. Pada saya, sudah tentu cerita yang ditulis, diharap dapat memberi manfaat kepada semua.


Kemunculan pelakon popular Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang mewaili penaja Ephyra meredakan suhu sejuk di dalam dewan. Perkongsian yang menarik mengenai produk Ephyra membuatkan produk milik bumiputera ini lebih dikenali terutamanya melalui penulisan-penulisan promosi daripada blogger yang hadir. Malah testimoni yang diberikan oleh blogger kegemaran saya Eyriqazz memberi tambah nilai kepada produk ini. Perkongsian daripada pihak Lazada juga banyak memberi peluang kepada para blogger untuk bekerjasama. Mudah-mudahan laluan yang telah dibuka ini akan memberi jalan kejayaan.

Sumber : Twitter iLuvTour.com
Jika mahu didokumentasikan satu persatu, saya pasti entri ini akan panjang berjela. Saya yakin, kehebatan #SBBYeos2014 #SBB2014 juga telah diekspresikan oleh blogger-blogger hebat yang lain melalui entri yang lebih bertenaga dan menarik. Tulisan daripada saya blogger kecil ini sekadar penambah perisa yang sudah sedia enak.


Terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada penaja dan tahniah kepada semua penerima hadiah cabutan bertuah.

Meja Bertuah Nombor 1. Pemenang Motorola, Pemenang iPhone 5S, Pemenang Server, Pemenang Jersi Dan Pemenang Baucer Percutian
Oh ya, kata orang tidak sempurna majlis jika pulang dari #SBB2014 tanpa membawa pulang apa-apa. Syukur kepada Allah kerana penampilan sulung saya benar-benar memberi langkah kanan buat saya. Sehelai jersi Chelsea, dua kartun Yogurt Anggur Yeos, sebungkus mi Cintan, bekalan produk Ephira selama sebulan dan hadiah-hadiah kecil lain pembuka langkah saya untuk majlis hebat ini. 


Bagi saya sendiri bukan hadiah yang menjadi ukuran tetapi ukhwah yang baru disemai ini diharap akan membesar dan mengeluarkan hasil yang ranum untuk dinikmati bersama. Ya, HIDUP UNTUK MEMBERI. Tahniah Tim Denai Hati.

Gambar-gambar yang tidak dinyatakan sumber diambil menggunakan Samsung Galaxy Camera dan Telefon Lenovo Vibe X