Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, January 30, 2014

Mencari Hikmah Tsunami di Banda Aceh 1

5:54 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.


Menikmati halwa telinga bertajuk Aneuk Yatim dendangan Rafly membuatkan fikiran saya jauh melayang ke bumi serambi Mekah - Aceh. Setiap bait kata yang didendangkan dengan alunan 'jiwa' yang melankolik menjentik atma membawa perasaan jauh melayang. Setiap detik yang berlaku bergentayangan di birai mata ibarat sekeping tirai yang terpapar padanya setiap peristiwa dan wayang gambar yang memaparkan filem di atas kanvas putih.


Tatkala menjejakkan kaki ke Masjid Raya Baiturrahman, sang mentari seakan terasa ingin kembali ke pemakamannya dan jalur terik memancarkan warna jingga seakan malu untuk terus menyebarkan serakkan hawa panas ke seluruh bumi Banda Aceh. Saya tempempan melihat masjid yang menjadi bukti keagungan Allah ini. Air mula bergenang di tubir mata seakan menari untuk turun menelusuri pipi. Ternyata Baiurrahman ini masih berdiri megah selepas Aceh dipalit duka 9 tahun yang lalu. Kasih Allah kepada rumah-Nya menjadi mukjizat dalam perkembangan Islam seantero dunia. Tatkala seluruh binaan di sekelilingnya jatuh gugur mencium bumi, Baiturrahman tegak khali tetap utuh di permukimannya. Kecintaan Allah kepada rumah-Nya dirakam melalui lisan baginda rasul tercinta.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
Daripada Abu Hurairah r.a berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Bahagian negeri yang paling Allah cintai ialah masjid-masjidnya dan bahagian negeri yang paling Allah benci ialah pasar-pasarnya.
Sumber : http://hoesada165.blogspot.com/2013/06/10-bandara-udara-indonesia-dengan.html
Ini kali pertama kami menjejakkan kami ke bumi barakah ini. Saat pesawat memasuki ruang udara Aceh, kehijauan sawah padi menyambut kehadiran kami. Kedamaian dan ketenangan dapat dirasai sejak berada di awangan lagi. Sewaktu tayar pesawat mula bergolek mencecah landasan pacu lapangan Bandara Sultan Iskandar Muda, sejuta kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi kerana terpilih untuk mencari hikmah tsunami di bumi bertuah ini. Ruang dan peluang ini terbuka apabila menerima ajakan daripada adik ipar saya. Melihatkan masih ada sedikit rezeki untuk saya membawa anak dan isteri, pelawaan itu langsung diterima.

Perjalanan dari Bandara ( Bandar Udara ) ke kota Banda Aceh memakan masa sekitar setengah jam. Perjalanan kami dipayungi dengan pepohon yang merimbun di sepanjang perjalanan. Suasana itu memberi impresi pertama yang sangat menarik. Jalan raya yang bersih serta pohonan yang menghijau menambah keasyikan.

Sumber : http://namasayafi.blogspot.com/
Ketenanganku dicantas saat melewati tanah perkuburan terbesar mangsa tsunami di Aceh. Simbolik tsunami digambarkan dengan binaan pagar berbentuk gelombang dengan tulisan khat Kun Fayakun benar-benar memberi keinsafan. Seakan terdengar teriakan mangsa-mangsa tsunami seperti yang dipaparkan di dalam filem The Imposible mahupun ratusan rakaman yang ditayangkan di Youtube. Ada anak yang kehilangan ibu dan ada juga isteri kehilangan suami. Malah lebih tragis apabila seluruh keturunan dihapuskan dengan kederasan arus yang membadai.


Langsung terlintas di fikiran, APA SEBENARNYA MILIK KITA? Harta? Rumah? Anak yang ramai? Isteri yang cantik? Semuanya milik sementara. Harta yang diwarisi sejak 7 keturunan lebur menjadi kenangan. Anak-anak yang dibanggakan semua hanyut tidak dapat dikesan. Isteri yang cantik disalut dengan kemewahan, hilang tanpa kuburan. Aduh. Yang menjadi milik kita hanya harta yang kita belanjakan di jalan Allah. Untunglah jika banyak yang telah kita laburkan. Jika sedikit, itulah yang kita bawa untuk dijadikan bekalan.


Sahabat kami, Ustaz Azmi ada bercerita. Kebanyakan yang hanyut dan mati adalah mereka yang berada di rumah. Tidak hairan jika ramai wanita yang menjadi korban. Anak-anak kehilangan ibu dan suami kehilangan isteri. Hiba bila mengenangkan seisi keluarga lenyap sekelip mata. Tanpa sempat memohon maaf dan tiada kalam terakhir sebagai penutup bicara. Malah kuburan juga tidak bertanda. Semuanya sama.


Sewaktu bercanda di dataran Baiturrahman bersama anak-anak sementara menanti isteri dan keluarga menunaikan solat asar, saya sempat mendengar cerita dari saudara saya yang mengajar dan belajar di sana. Menurutnya Baiturrahman menjadi lambang kekuasaan Allah apabila air yang menggila yang membawa batuan dan kayu-kayan langsung tidak mencederakan Baiturrahman yang mulia. Menurutnya lagi, air yang pada waktu itu tingginya menutupi rumah satu tingkat langsung tidak menjengah ke ruang solat masjid. Seakan-akan masjid itu diangkat dan air yang lalu sekadar bermain-main di tangga. Jika mengikut akal manusia yang terbatas, dengan keadaan air setinggi itu agak mustahil jika air tidak menerobos masuk ke dalam masjid. Sudah ditakdirkan Allah, Baiturrahman dipelihara sebaik-baiknya. Bukan sahaja Masjid Raya yang dipelihara malah seluruh isi yang berlindung di dalam perutnya turut berada di bawah naungan Allah. Subhanallah. Malah diceritakan dari mulut ke mulut, seorang lelaki berbangsa Cina turut menjadi saksi keajaiban itu lantas membuka ruang kepada beliau untuk kembali kepada agama fitrah. Alhamdulillah.



Menurut penduduk setempat, gelombang yang melanda sekitar Baiturrahman tidaklah sekeras gelombang di kawasan-kawasan lain memandangkan kota Banda Aceh terletak sedikit jauh daripada pantai. Tetapi dengan kedalaman air setinggi sebuah rumah mampu merenggut nyawa sesiapa sahaja tanpa mengira batas usia. Malah Pasar Atjeh (Aceh ) yang terletak betul-betul di sebelah Masjid Raya juga mengalami kerosakan yang teruk. Timbunan batu dan kayu yang dibawa oleh arus yang kuat menyapu apa sahaja yang menghalangi pergerakannya.


Usai menunaikan solat asar kami sekeluarga bercanda di laman masjid yang tenang sementelah melihat kumpulan kanak-kanak dengan berpakaian seragam sekolah penuh kegirangan. Mereka berada di dalam usrah diketuai seorang naqib atau naqibah bertemankan papan hijau dan kapur. Rupa-rupanya selepas pulang dari sekolah mereka mengikuti pengajian agama di taman sekeliling masjid. Teringat saya kepada suasana seakan sama di Masjidil Haram. Seusai imam memberi salam berbondong-bondong kanak-kanak merapati tuan guru mereka seperti sang semut mengerumuni timbunan gula. Oh indahnya saat pada waktu itu. Saya kira, sekeras mana pun hati seseorang itu, jika dia melihat suasana kedamaian dan merasai  ketenangan di sekitar Baiturrahman pasti akan menjentik naluri kemanusiaan mereka.


Tambah meriah apabila anak-anak ditemani ibu bapa memenuhi masa senggang dengan memberi makan ikan yang berada di kolam hadapan Masjid Raya. Kelihatan juga para penjual dengan barang makanan yang pelbagai rupa memujuk para wisata dan penduduk lokal membeli barang dagangan mereka.



Tertarik kami kepada satu makanan tradisi yang dinamakan Pempek. Makanan asli Palembang yang berasaskan ikan itu rasanya seakan keropok lekor tetapi diimrpovisasi dengan rasa sesuai dengan lidah penduduk tempatan. Harganya pula sekitar 3,000 rupiah sahaja. Selain itu kami juga menikmati apam balik Indonesia. Rasanya jauh lebih enak berbanding apam balik di Malaysia ditambah pula dengan perasa seperti kacang hitam, coklat dan sebagainya. Saya sangat mencadangkan agar anda mencuba makanan  ini jika ke sana.

Suasana masjid lebih hidup pada waktu malam. Bukan sahaja ceramah yang disampaikan menarik minat jemaah tetapi persekitaran masjid sendiri ibarat pesta. Kanak-kanak riang gembira berlari tanpa kenal erti penat dan ibu bapa tenang berbual mesra.



Selepas menunaikan jamak taqdim maghrib dan isyak kami bertolak untuk menjamu selera. Pilihan kami sudah tentu makanan panas atau makanan masak segera. Tetapi pada waktu malam agak sukar mencari restoran sedemikian. Akhirnya Restoran Bunda Minang Melayu yang terletak kurang 1 km dari Masjid Raya menjadi pilihan kami. Cara hidangannya sama seperti restoran kebanyakan sama ada di Jakarta mahupun di Bandung. Lauk pauk dihidang di atas meja dan kita hanya membayar apa yang dimakan sahaja. Pelbagai jenis masakan yang dihidang. Jujurnya bagi saya masakan di restoran ini kurang enak. Mungkin lauknya dimasak pada waktu pagi dan dibawa hingga ke malam. Ada sesetengah lauk seperti paru berlado terasa sangat keras. Ternyata kami membayar harga yang tidak berbaloi. 500,00 rupiah atau sekitar RM 150.00 untuk 10 orang. Jika dihitung seorang dikenakan bayaran sekitar RM 15.00 tetapi memandangkan apa yang kami makan tidak padan dengan harga yang dibayar masing-masing terasa sangat ralat. Bukan wang yang menjadi ukuran tetapi kepuasan menikmati hidangan itu yang diutamakan. Biarlah harganya 1 juta rupiah sekalipun asalkan apa yang dimakan berbaloi dengan apa yang dibayar.

Sesudah itu kami meneruskan perjalanan dengan menelusuri kota Banda Aceh menyebak sisi kehidupan malam warga kota Serambi Mekah. Ternyata kehidupan malamnya sama seperti kota-kota yang lain tetapi tiada pusat-pusat hiburan dibenarkan beroperasi di sana. Selepas beberapa ketika kami langsung pulang ke hotel untuk melelapkan mata.

Selepas menghenyakkan diri di atas tilam empuk, mata saya masih belum diserang kantuk. Mungkin perubahan suasana persekitaran menyebabkan saya sukar untuk tidur. Memandangkan malam dikira masih muda, langsung saya menyarung seluar dan keluar mencari apa yang saya hajati.

Dengan menaiki beca motorsikal saya membelah malam bersama supir yang peramah. Menurutnya, disebut tsunami sahaja, bulu romanya sudah menegak. Apatah lagi mula bercerita. Katanya saat dilanda tsunami, beliau terapung entah berapa lama. Tangannya sempat memaut seorang kanak-kanak kecil tetapi pegangan itu terlepas tidak berapa lama. Yang pastinya anak itu lemas dan mati di hadapan matanya. Saya sendiri dapat merasakan yang supir itu sangat rasa tertekan. Ada riak bersalah di wajahnya.

Lokasi pertama yang saya tuju ialah Zikraa. Antara toko buku yang besar di Banda Aceh. Pemburuan buku Rantau 1 Muara karya A.Fuadi dan 99 Cahaya di Langit Eropa karya Hanum Rais tidak saya ketemu. Hari pertama misi saya tidak berjaya. Insya-Allah esok masih ada.

Jumpa lagi di bahagian kedua. Insya-Allah.

2 comments:

  1. wah muiz kagum aku dgn penulisan ko..tak reti aku nak tulis macam ni weh...walaupun banyak cerita nak cerita psl tsunami kat blog...hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab menulis gaya bahasa inilah episod kedua masih belum terbit. Susah nak menjalin ayat, Hehehe.

      Delete