Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Wednesday, January 22, 2014

Cerpen Terima Kasih Guru

9:02 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berharga iaitu Iman dan Islam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait baginda.


Sebelum ini saya ada menulis satu entri mengenai Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia. Pada majlis itu saya telah memenangi hadiah saguhati Sayembara Penulisan Kreatif ( Cerpen Berunsur Islam ) Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ratusan penyertaan telah diterima dan 13 cerpen terbaik telah dipilih.

Pemilihan yang yang ketat melibatkan juri-juri yang hebat. Antaranya ialah :


Penerima Anugerah Sea Write 2010 iaitu Tuan Zainal Palit ( Zaen Kasturi ) selaku ketua juri.


Pemenang Hadiah Sastera Utusan - Public Bank lima kali, Profesor Madya Mawar binti Shafie.


Panel Penilai Sayembara Menulis Esei dan Cerpen, Tuan Hj Azman bin Hj Ahmad ( Ibn Ahmad al-Kurauwi)


Panel Syariah dipantau oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Dr. Zulkifli bin Mohammad al-Bakri

Saya kongsikan di sini cerpen yang bertajuk, Terima Kasih Guru. Semoga ada manfaatnya.


Terima Kasih Guru
Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
PAGI ini aku ke kuliah seperti selalu. Biasanya aku menaiki tremco- sejenis van membawa penumpang. Tetapi sejak seminggu yang lalu, aku memilih untuk menaiki keretapi. Perjalanan daripada Bandar Shibin el-Kom ke Kota Tanta yang mengambil masa selama satu jam  memaksa aku bertolak seawal jam 7 pagi, untuk memastikan aku sampai ke kuliah sebelum jam 9. Berada di puncak waktu perubahan musim sejuk kepada panas tidak begitu menyeksakan. Udaranya yang nyaman, tidak terlalu sejuk dan panas bukan menjadi penghalang untuk aku bersiap di awal pagi. Walaupun mentari masih malu menampakkan diri tetapi bandar Shibin yang menampung hampir empat ratus ribu penduduk ini sudah mula sesak. Penumpang sudah memenuhi mahattoh qodim.
Gerabak terakhir aku dekati. Aku terpaksa mengasak sekumpulan pemuda arab untuk menaiki keretapi. Bukan tidak mahu beratur, tetapi itu bukan budaya masyarakat Mesir. Jika aku tunjukkan sikap berlemah lembut dan bersopan santun yang ada pada diri setiap rakyat Malaysia pasti aku tidak mendapat tempat di dalam tren. Mata meliar mencari tempat. Mungkin ada. Ekor mata memandang tepat pada seorang wanita tua yang duduk dan diletakkan disebelahnya sebungkus sayuran. Alhamdulillah setelah meminta izin aku dibenarkan duduk. Bungkusan sayuran itu diletakkan di bawah.  Jika tidak, pasti aku terpaksa berdiri dalam menempuhi perjalanan ke Kota Tanta yang memakan masa hampir satu jam itu. Seusai membayar tambang sebanyak 75 piasters, aku terus membuka al-Quran yang sentiasa dibawa kemana-mana. Tren mula bergerak.
Sedang asyik aku menghafaz Al-Quran, ketenangan aku tiba-tiba dicantas. Di hadapanku berdiri seorang pemuda berbangsa arab sambil menyuakan sebungkus tisu kepadaku. Hampir sepanjang seminggu permusafiranku akan terjumpa dengan empunya wajah yang kacak ini, saling tidak tumpah seperti penyanyi hebat Mesir-Amru Diab. Kecantikan yang tersembunyi di sebalik kecomotan. Mungkin umurnya dalam lingkungan awal 20-an dugaku. Tapi malang nasibnya, pemuda itu hanya menjual tisu. Astaghfirullahalazim. Lain pula yang aku fikir. Tanpa berlengah aku menyeluk saku lalu memberinya wang sebanyak 50 piasters tanpa mengambil tisu yang diberi. Pemuda itu pun berlalu. Pergi ke penumpang yang lain pula. Pada riak wajahnya tergambar keperitan hidup yang ditanggungi. Bukan sekali, malah sudah seminggu aku menatap wajahnya yang kusam itu. Bukan tidak ada orang yang meminta sedekah dengan menjadikan tisu sebagai alasan tetapi rutin pemuda itu begitu memberi kesan padaku.
Aku memasukkan semula Al-Quran ke dalam poket baju melayu. Kopiah yang tersarung kemas di kepala aku letakkan di paha. Lantas rambut lebatku terbang mengurai mengikut tiupan pawana yang membelai. Angin yang menderu begitu asyik sehingga membawaku mengimbau kenangan lama.
            Tiba-tiba kapal terbang kertas hinggap di kepala. Muncungnya tepat mengenai kening sebelah kiriku. Bingung. Mata meliar mencari dari manakah tempat perlepasannya. Di hadapan kelas, Cikgu Maimunah- guru mata pelajaran Bahasa Melayu, berbadan gempal dan hujung tudungnya selalu dililit di leher, sedang menulis nota di papan hitam. Dalam keripuhan mencari siapakah yang membaling kapal terbang kertas itu, tiba-tiba Cikgu Maimunah berpaling ke belakang. Kapal terbang kertas yang ku pegang kejap tidak sempat disorokkan. Lalu teriakan yang maha hebat bergema.
“ Razman!!! Masih bermain kapal terbang kertas?” pandangan matanya dilempar ke arahku. Langkahnya dihayun pantas. Sudah dapatku agak kemana arah hayunan langkah kakinya. Lantas dua jarinya yang besar itu mendapatkan telinga capangku lalu dipulasnya.
“ Ini bukan kali pertama. Kamu selalu leka ketika pengajaran sedang dijalankan. Banyak main. Tidakkah kamu terfikir tentang SPM yang bakal menjelma. Jika ini sikap kamu, terimalah balasannya nanti” panjang lebar ceramahnya. Matanya masih tepat memandangku. Tangannya dicekak ke pinggang. Jelas sekali kelihatan dadanya berombak turun dan naik menahan kemarahan.
“ Tapi cikgu, saya tidak bersalah” aku cuba mempertahankan diri tetapi kata-kataku dicantas dengan jegilan matanya.
“Saya hanya...” suaraku melirih hiba. Aku faham dan tahu dia sedang marah. Aku bukanlah seorang yang jahat tetapi mungkin sedikit nakal. Mataku semakin redup. Pandangan diturunkan dan meletakkan penglihatanku ke arah muncung kasut. Tiba-tiba malu menguasai diri. Masakan tidak, diherdik di hadapan pelajar-pelajar lain di dalam kelas satu perkara yang menyakitkan.
Sesekali tren yang aku naiki terhuyung-hayang. Angin yang menerobos melalui jendela yang terbuka sedikit mengganggu dan  menambahkan kesejukan pagi yang menggigit tulang. Mungkin faktor kelajuan tren membuatkan kesejukan juga menjadi luar biasa. Tingkap ku jatuhkan sedikit. Lantas tangan ku silang dan dirapatkan ke dada. Memori bersama Cikgu Maimunah kembali bertandang.
Kejadian itu benar-benar memberi tekanan. Dendamku kepada Cikgu Maimunah semakin membara. Api amarahku meluap-luap ditambah pula dengan tiupan halus syaitan durjana. Aku mula membenci Cikgu Maimunah. Apa yang keluar dari mulutnya ku anggap dusta. Meskiku tahu bahawa setiap sesuatu yang luncur dari mulut seorang guru itu ibarat mutiara. Benci, benci, benci. Hanya itu yang ku tahu.
Pernah dahulu aku menghasut beberapa orang pelajar untuk tidak menyertai Cikgu Maimunah dalam aktiviti pengajaran dan pembelajarannya. Tengah hari itu, bilik kaunseling yang terletak di hujung sebelah kanan tingkat satu menerima kehadiran  kami. Aku pastikan kami tiba di bilik kaunseling sebelum Cikgu Maimunah bertandang ke kelas. Di hadapan guru bimbingan dan kaunseling kami luahkan segala apa yang terbuku di hati. Cikgu Maimunah tidaklah sejahat seperti yang kami ceritakan. Mungkin kerana benci dan dendam maka kejahatan Cikgu Maimunah direka menjadi hebat. Mungkin sekejam Bawang Merah- satu watak dongeng yang begitu popular hingga ke hari ini.
Setelah berakhirnya masa yang diperuntukkan untuk Cikgu Maimunah mengajar, kami pulang semula ke kelas. Hari ini aku berjaya untuk tidak bertemu dengan guru Bahasa Melayu yang garang itu. Aku puas. Rancanganku berhasil. Masalahnya bagaimana untuk aku berhadapan dengannya esok hari?
Keretapi berhenti sebentar di Quaisna. Penumpang turun dan naik silih berganti.  Tetapi yang naiknya makin berkurangan. Kurang setengah jam Kota Tanta akan aku jejaki. Aku mengeluarkan semula Al-Quran yang tersimpan rapi di dalam poket baju melayu. Satu persatu kalam tuhan itu aku zikirkan. Selang beberapa ayat lidahku kelu seketika. Perasaanku kuat untuk terbang kembali kepada Cikgu Maimunah.
Hari-hari yang mendatang penuh dengan kebecian. Kebencian yang entah bila akan surutnya. Hari-hari yang mendatang juga penuh dengan helah dan tipu daya. Tipu daya untuk tidak menyertai pembelajaran bersama sahabat-sahabat lain untuk matapelajaran Bahasa Melayu. Sedar ataupun tidak Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia makin hampir. Aku harus berusaha keras memandangkan keputusan peperiksaan percubaan tidak begitu memberangsangkan. Terutama matapelajaran yang amat aku gemari tetapi tidak pada gurunya-Bahasa Melayu. Aku hampir-hampir gagal dalam matapelajaran itu. Entah di mana silapnya aku sendiri tidak mengerti. Semua saranan yang diberikan oleh penceramah jemputan pada seminar peperiksaan yang lalu telah aku gunakan. Memang bukan rezeki aku. Aku nekad. Usaha harus berganda, persiapan rapi perlu bermula.
Setelah beberapa bulan, keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan. Aku terpana setelah slip berada di dalam genggaman. Resah, gelisah, takut dan risau berbaur menjadi satu. Setelah slip dibuka aku terkesima. Khali. Umpama seketul batu dihempap di kepala. Aku gagal. Bukan semua, tetapi satu- Bahasa Melayu. Keputusan peperiksaanku cacat kerana gagal di dalam bahasa ibundaku. Malang bagi seorang yang berbangsa Melayu gagal menguasai bahasa ibundanya sedangkan bangsa lain makin laju dalam memacu penguasaan Bahasa Melayu.
Aku pulang dalam keadaan tertekan. Sepatutnya hari ini menjadi hari gembira buat seisi keluargaku. Tetapi malangnya harapan berkecai umpama kaca dihempas ke lantai. Berderai. Menjadi butiran lalu terbang dibawa pawana. Teringatku pada dosa-dosa lalu. Terutama pada seorang guru- Cikgu Maimunah. Mungkin ini kifarah yang telah Allah berikan atas kesilapan dan keterlanjuran pada budi seorang guru.
Sekolah. Aku kembali padanya. Demi meleraikan sebuah kekusutan. Kekusutan yang sudah lama aku rungkaikan. Cuma hari ini aku ingin menamatkan puing-puing dendam yang kini tinggal kenangan. Langkah ku hayun lemah menuju ke tangga. Tangga di sebelah kanan ku daki lalu langkah ku pacu menuju ke bilik guru. Mata meliar mencari letaknya tempat bersemayam seorang guru yang agung.  Cikgu Maimunah ku temui. Sambil berlutut tangannya ku genggam erat. Laju meluncur kalimat kemaafan buat mengenang budi seorang guru yang luhur. Birai mata sedikit berair. Hampir sahaja manik-manik jernih itu meluncur laju menuruni pipi mulusku. Mujur sahaja sebak di dada ini tidak terburai. Itulah ego seorang lelaki. Meskipun begitu, aku tetap ikhlas. Mengaku akan kesalahanku- keterlanjuran kata serta kebiadaban budi pekerti. Maafku disambut mesra. Terpatri sebuah kata “kemaafan anda diterima”. Begitu indah rasanya hidup ini setelah bebanan yang dikendong terburai. Batu yang melekat di kepala bagai tercabut serta merta. Luhurnya budi seorang guru. Masih bisa tersenyum walaupun hati pernah dibenci. Masih mampu memberikan kemaafan walaupun hati tercalar luka. Bagaikan bukan Cikgu Maimunah yang ku kenali. Keras hatinya, tegas dan penuh disiplin. Hari ini sifatnya seakan berubah. Dia ibarat seorang ibu yang sedang menenangkan deraian tangisan seorang anak kecil. Penuh kelembutan. Dalam kelembutan itu juga terpacul kalam dari mulutnya “ Ambil semula kertas ulangan Bahasa Melayu untuk bulan Julai. Insya-Allah mudah-mudahan kamu berjaya Razman”. Seakan meresap semangat baru. Meluncur laju melaui pembuluh darah dan dibawa ke seluruh jasad. Aku nekad. Bahasa Melayu akan ku ulang semula.
Setelah selesai mengambil peperiksaan ulangan beberapa bulan yang lalu. Kini sepucuk surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia bertandang ke kediamanku. Debaran hati memuncak semula. Menanti apakah keputusan yang bakal diterima. Akhirnya usaha serta keberkatan dan keredhaan seorang guru, tidak Allah persiakan. A satu untuk matapelajaran Bahasa Melayu. Sinaran mentari hidupku menampakkan semula wajahnya. Setelah beberapa bulan redup menghiasi pandangan. Jalan kejayaan untuk aku menempa lebih kecemerlangan kini terbuka luas. Dengan nasihat serta berkat seorang yang ku anggap ibu, akhirnya aku diterima untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah untuk tahun yang berikutnya. Sebuah kolej yang namanya sekian lama terpahat dalam lakaran sejarah kejayaan. Kejayaan di bidang akademik dan kejayaan dalam pembentukan sahsiah serta pengemblengan modal insan yang berjiwa hadhari. Tahun berikutnya aku mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia demi memastikan untukku melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah berjaya.
Kini Kota Tanta aku jejaki. Berhenti di Mahattah Qitor dan menaiki bas menuju ke sebuah tempat bernama Suberbay. Terngiang semula kata-kata semangat dari guru-guru di tanah air. “Majukan diri kemudian barulah boleh memajukan bangsa dan agama” Kata-kata azimat itulah yang ku susun menjadi rantaian kalung yang berharga. Tanpa mereka, pasti aku akan menjadi seperti penjual tisu yang ku jumpa di tren tadi. Dengan langkah yang gagah umpama pahlawan yang bersedia ke medan perang aku menuju masuk ke Universiti Al-Azhar cawangan Tanta .Terdetik di hati- Teima Kasih Guru.

Glosari
Mahattoh Qodim      -           Stesen lama
Kifarah                       -           Denda kerana melanggar hukum atau peraturan agama
Mahattah Qitor          -           Stesen keretapi

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment