Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, November 23, 2013

Cara Memilih Durian Yang Baik

12:57 AM Posted by Lobam , , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi.

Minggu lepas saya berpeluang untuk pulang ke kampung mertua di Seri Iskandar. Dari Sungai Besar, banyak jalan yang boleh digunakan untuk ke sana. Saya memilih laluan Seberang Perak sebagai laluan utama. Pasti ada sebab mengapa saya pilih laluan itu.


Ya, di sekitar Sungai Besar dan selatan Perak musim durian sudah menjelma. Ketika melalui laluan di Seberang Perak membawa ke Pasir Salak dan Kampung Gajah bau durian mencuri masuk ke dalam kereta. Ternyata aroma durian kali ini benar-benar menjentik nubari.

Ada antara kita yang tidak tahu memilih durian mana yang mempunyai isi yang baik. Bila pulang ke rumah, alangkah kecewanya bila melihat durian yang dibeli tidak seperti yang diharapkan.

Saya ada bertanya kepada beberapa orang yang arif tentang durian, bagaimana cara untuk memilih durian yang baik. Di sini saya kongsikan beberapa tips seperti apa yang telah diceritakan.

1. Jika durinya besar dan jarang ini bermakna isinya kering dan rapat dan begitulah sebaliknya.

2. Isi duiran juga boleh dinilai melalui baunya. Jika baunya manis dan harum insya-Allah isinya juga pasti menarik.

3. Elakkan membeli durian yang telah merekah. Secara logiknya durian yang merekah bererti sudah terlalu masak. Jika terlalu masak isinya tidak segar.

4. Ketuk tepuk durian dengan benda tumpul. Durian yang masak akan menghasilkan bunyi yang jitu ( susah untuk diterangkan bagaimana bunyinya ). Kita ambil contoh, perut kosong jika ditepuk bunyinya kosong. Tetapi jika perut yang penuh bila ditepuk bunyinya padat. Begitu juga dengan buah durian ( cuba sendiri jika mahu dengar bunyinya )

5. Saya lebih gemar membeli buah yang mahal sederhana mahal berbanding buah longgok yang dijual murah. Biasanya saya, isteri dan anak akan makan sekitar 2 hingga 3 biji sahaja. Kita bukan mahu makan sampai kenyang. Kadang-kadang jika buahnya bagus, sebiji sudah memadai. Saya kira dengan melabur lebih sedikit, saya boleh mendapat buah yang berkualiti berbanding buah longgok yang dijual dengan harga RM 10 yang mana rata-rata hanya sebiji dua sahaja yang boleh dimakan. 

6. Kami lebih gemar menikmati durian di tempat jualannya. Bagi saya ini cara yang lebih praktikal. Mana taknya, jika buah tidak elok penjual akan terus menggantikannya tanpa banyak soal ( biasanya penjual tidak suka cara begini ) Saya pernah membeli buah yang harganya RM 7 sebiji. Sayangnya buah yang disangka elok rupanya keras ( mangkar ). Terus si penjual membelah sebiji durian lagi. Saya hanya perlu membayar RM3 sahaja untuk buah yang kedua. 

Sedikit tambahan. Saya pernah terbaca cara untuk mengurangkan bau durian di dalam kereta. Selain menggunakan daun pandan, saya pernah cuba petua belah ( bila disebut belah, potongannya mesti dari atas ke bawah ) tangkai durian menjadi 4 dan letakkan di dalam plastik yang berisi buah durian. Alhamdulillah ternyata petua ini berhasil. Kalau anda cuba tapi tak berhasil, jangan salahkan saya ya.

Selamat menjamu durian ^_^

Friday, November 22, 2013

Produk Kosmetik Yang Dibatalkan / Diharamkan Penjualannya

8:38 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Kini pelbagai produk kecantikan membanjiri pasaran. Dengan testimoni yang pelbagai, produk-produk ini berjaya menarik perhatian para pembeli. Tambahan pula laman sosial Facebook menjadi ruang yang ampuh bagi mempromosikan produk ini.

Tetapi sedarkah kita produk yang murah dan menarik ini sebenarnya boleh mendatangkan kesan yang mudarat kepada pengguna lebih-lebih lagi produk ini tidak mendapat kelulusan daripada pihak yang berkenaan. Malah ada antara produk-produk ini telah pon diharamkan penjualannya.

Untuk itu, orang awam diminta untuk mengelak dan membeli produk-produk yang disenaraikan. Produk yang mengandungi bahan terlarang serta racun berjadual mampu memberi kesan yang negatif kepada pengguna.

Produk-produk yang tersenarai tidak lagi dikilang / diimport / dijual di Malaysia.

2013







Senarai ini dikemaskini pada Julai 2013


Sunday, November 17, 2013

Warkah Terakhir Buat Isteriku

5:09 PM Posted by Lobam 2 comments
WARKAH TERAKHIR BUAT ISTERIKU

Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

"MENEMUI kekasih hati Abang Nur Asma’ Abang masih ingat lagi satu kejadian yang membuka lembaran baru dalam hidup abang.

Di taman KLCC pada suatu petang yang hening, tatkala burung berterbangan riang, seusai abang menunaikan solat Asar. Sewaktu Abang ingin melangkah keluar daripada masjid, Abang telah bertembung bahu dengan seorang gadis yang dalam keadaan tergesa-gesa.

Pada pengamatan Abang gadis itu berperwatakan liar dan hidup dalam suasana bebas tidak terkawal kerana pabila terlanggar bahu dengannya, Abang pula dikatakan buta. Tidak langsung menunjukkan adab dan sopan adat ketimuran seorang wanita Melayu. Tanpa disedari sewaktu berlakunya pertembungan yang tidak diduga itu telefon genggam gadis itu terjatuh.
    
Selepas bertemu di suatu tempat yang telah dijanjikan, gadis itu mendapat semula telefonnya yang tercicir. Abang dan gadis itu bertukar-tukar nombor telefon. Bermula dengan sms terima kasih lalu membawa kepada satu hubungan yang sukar untuk dihuraikan. Hubungan yang mungkin lebih daripada seorang sahabat.
    
Tetapi, masakan Abang dapat menerima gadis tersebut sebagai bidadari hidup Abang. Abang Azhari. Tidak mungkin seorang Azhari boleh berkahwin dengan wanita yang sebegitu. Apa kata orang kampung nanti. Tercalarlah kredibiliti Abang sebagai seorang yang faqih agama, berkahwin dengan wanita yang tidak sekufu. 

Astaghfirullahhalazim… Ya Allah ampunilah hamba-Mu ini. Sepatutnya wanita sebegitulah harus Abang jadikan isteri agar mudah untuk Abang didiknya nanti. Pada waktu itu Abang ego. Ego pada diri. Bangga sebagai seorang Azhari.
    

Abang bertekad. Mungkin susah tetapi semuanya pasti dengan pertolongan Allah. Abang ingat lagi sewaktu Abang menyuruh gadis itu menukar cara pemakaiannya daripada jeans ketat dan t-shirt tidak berlengan kepada baju kurung yang lebih menonjolkan budaya ketimuran dan keayuan wanita Melayu, wanita tersebut berkeras. Budaya itu budaya kampung, tidak up to date, masakan perempuan kota ingin berpakaian seperti wanita desa, apa pula kata-kata rakan nanti jawabnya sombong.
    
Tetapi Abang tegurnya secara berhemah. Dengan lembut tutur kata Abang berkata padanya bahawa menutup aurat bukanlah satu budaya, tetapi ia adalah tuntutan Agama. Islam tidak melarang umatnya untuk bergaya tetapi mesti kena dengan batasnya. Abang terangkan padanya tentang cara-cara pemakaian tudung yang dianjurkan oleh Islam dan hikmah menutup aurat. Abang bacakan padanya ayat 31 surah An-Nur. Pada mulanya, nampak berat untuk gadis itu menerima teguran yang diberikan, tetapi atas dasar agama itu nasihat Abang tidak berputus asa. 

Alhamdulillah, walaupun berat, gadis itu masih tetap ingin cuba untuk berubah. Kini tiada lagi jeans dan t-shirt tetapi yang menyaluti tubuh mongel gadis tersebut hanyalah baju kurung. Tetapi tidak manis baju kurung tidak dipadankan dengan tudung kepala. Tidak sesuai baju kurung itu hanya dipadankan dengan rambut yang menggerbang. Kali pertama gadis itu menutup rambutnya yang panjang mengurai itu dengan jilbab labuh yang Abang hadiahkan kepadanya, memang nampak begitu janggal dan rasa ketidak selesaan itu mula menyapa. Tapi ia lebih selesa setelah sudah terbiasa.
    

Kini lengkaplah sudah pakaian yang berciri Islam yang sentiasa membungkus tubuh gadis itu. Kadangkala digayakan pula dengan jubah yang sungguh indah. Syukur, semuanya atas pertolongan Allah.
    
Sayang,
Bagi Abang tidak cukup rasanya pakaian sahaja yang baik, tetapi tidak pada kelakuan akhlaknya. Pakaian yang baik tidak menggambarkan pekerti akhlak si pemakai. Gadis itu Abang ajar dengan akhlak seindah Sayyidah Fatimah. Abang bersyukur kerana gadis itu sendiri yang ingin berubah, tanpa perlu dipaksa. Abang hanya mendorong sahaja. Kehidupan yang bebas, terkinja-kinja menari di kelab malam, t-shirt dan jeans, hilai tawa yang bersiponggang yang dahulu menjadi pujaan dan raja di hati semuanya telah ditinggalkan, solat lima waktu yang pada suatu ketika dahulu dibiarkan sepi kini menjadi rutin harian. Mengaji dan puasa sunat juga tidak pernah ditinggalkan. 
    
Sayang,
Pastinya jawapan siapakah gadis itu sudah terjawab. Tidak lain tidak bukan itulah Nur Asma’ Hji Bakri yang kini menjadi permaisuri di hati dan bakal bidadari Abang di Syurga yang abadi. Insya-Allah. Sayang, tanpa disedari sudah empat tahun kita mendirikan mahligai bahagia. Abang bersyukur kerana dikurniakan penawar di mata penyejuk di hati semuliamu Asma’. Abang juga bersyukur kerana selama empat tahun kita melayari bahtera tiada satu pun ribut badai yang melanda. Abang gembira kerana dikurnia anak kapal yang setia sepertimu dan diserikan pula dengan qurratul a’yun kita yakni Humairah, Insyirah dan Wajdi. Abang sentiasa mengharapkan agar penyambung zuriat kita dan pewaris harta kita mewarisi akhlak semulia Sayyidah Fatimah dan lelaki sehebat Saidina Ali. Itulah harapan Abang. Doa abang agar merekalah yang akan menjadi tonggak dalam membangunkan semula Islam yang kian luntur dalam jiwa Umat Islam kini. Merekalah harapan abang, harapan Sayang, harapan bangsa dan harapan semua.
    
Tetapi sayang, abang tidak dapat melihat mereka membesar di hadapan mata abang. Tidak dapat Abang didik dengan tangan Abang dengan sempurna., tidak dapat Abang curahkan dengan kasih sayang Abang dengan secukupnya. Mungkin takdir telah mencatatkan yang Abang tidak mampu melihat Islam gemilang hasil pengembelingan tenaga daripada mereka.
    
Sayangku Nur Asma’,
Kau didiklah putera dan puteri kita dengan akhlak semulia Rasulullah, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya : Terputus amalan seseorang itu setelah dia mati kecuali dengan tiga perkara.
    
Ketahuilah olehmu sayang, antara tiga perkara yang disebutkan itu ialah doa daripada anak-anak yang soleh. Sayang, hanya itulah yang akan kita dambakan setelah kita menemui Rabbul Jalil kelak. Doa anak yang soleh itulah yang akan menyelamatkan kita. Abang pasti, Abang tidak akan sempat untuk menjadikan mereka anak yang soleh. 

Abang yakin di atas pundak Sayanglah Abang hamparkan segala harapan dan impian kita. Segala-gala impian yang pernah kita impikan dahulu. Abang minta maaf kerana terpaksa membiarkan Sayang mengemudi bahtera ini seorang diri. Sesungguhnya itu bukanlah kehendak Abang. Carilah nakhoda baru jika diperlukan. Pastikan anak-anak kita tidak mati kelemasan disebabkan bahtera yang karam.
    
Sayang,
Pastinya Sayang tertanya-tanya mengapa Abang berkata sedemikian. Berat untuk abang katakan, bak kata pepatah diluah mati emak ditelan mati bapa. Tetapi inilah yang harus kita telan. Ketahuilah olehmu, Abang menghidap barah paru-paru yang krtikal. Sudah lama Abang menanggung penyakit ini tetapi Abang tidak sanggup untuk memberitahumu kerana risau ianya akan mengganggu hidupmu. Abang hanya dapat meneruskan kehidupan ini untuk beberapa bulan sahaja lagi. Kemudian kita akan berpisah. Berpisah buat selama-lamanya.
    
Ya Allah. Betapa sedihnya hatiku, setelah Kau kurniakan aku keluarga yang bahagia, isteri yang telah aku corakkan dengan acuan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Mu dan setelah kau kurniakan aku qurratul a’yun penyejuk mata, kini Kau akan mengambil aku daripada mereka. Ya Allah. Aku sabar dan aku tabah. Kerana untuk menemui-Mu itulah yang kudambakan. Tetapi aku terkilan, kerana aku tidak akan dapat bersama mereka yang amat aku cintai lagi. Akanku pastikan, mereka akan menerima sepenuh perhatian daripadaku hanya untuk beberapa bulan sahaja lagi sebelum aku menemui-Mu kelak. Aku pasrah dengan takdir-Mu Ya Allah.
    
Cintaku Nur Asma’
Abang harap kau dapat menerima takdir ini sepertimana Abang dapat menerima perpisahan yang bakal berlaku. Semoga cinta yang telah lahir ini akan membawa kita ke Syurga. Syurga yang abadi buat selamanya.

Yang mengasihimu
Abang..

Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
Telah diterbitkan di dalam Legend Comic di Mesir(2005)
Telah diterbitkan di dalam Antologi Cinta Dan Rona Kinanah(2006)

Heroin Dan Kesannya

5:01 PM Posted by Lobam , , , No comments

RESPONDEN
Pada 5 Oktober 2013 yang lalu, saya telah mengunjungi Rumah Teduhan Kasih yang beralamat di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh untuk menjalankan beberapa kajian. Kajian ini merupakan salah satu usaha dalam mengkaji sejarah penagihan responden dan kesan farmakokinetik klien terhadan dadah yang diambil.
Responden seorang lelaki bernama Mohd Rizal (bukan nama sebenar) Responden berusia 30 tahun dan  berasal dari Kemaman Terengganu. Ibu bapa responden sudah agak berusia di mana bapa responden berusia dalam lingkungan 70an manakala ibunya pula berusia sekitar 60an.
Responden merupakan anak ke sembilan daripada sepuluh orang adik beradik yang terdiri daripada 5 lelaki dan 5 perempuan. Responden telah menamatkan pendidikan di peringkat rendah sehingga darjah 6 dan menamatkan pendidikan di peringkat menengah sehingga tingkatan 5 dan menyambung pelajaran ke peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Tidak hairanlah jika responden mempunyai kemahiran yang baik dalam bidang pembinaan dan mekanikal.

SEJARAH PENGGUNAAN DADAH DAN BAHAN PSIKOAKTIF
            Responden mula terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 14 tahun lagi. Pada ketika itu responden berada di tingkatan 2 sekolah menengah. Bermula dengan menghisap rokok secara sosial responden telah melangkah ke hadapan dengan mencuba ganja. Daun ganja dihisap bersama dengan rokok untuk mendapatkan kesan yang efektif.
Selepas 2 tahun responden terlibat dengan ganja iaitu pada usia 16 tahun, responden cuba berjinak-jinak pula dengan syabu dan alkohol. Memandangkan kesan syabu kurang memuaskan, responden beralih pula kepada heroin pada tahun yang sama. Responden berterusan menagih heroin sehinggalah berusia 30 tahun. Pada tahun 2001 responden juga disahkan menghidap penyakit Hepatitis C dan telah dirawat di Hospital Kuantan pada masa itu. Ini bermakna sehingga tahun 2013, responden telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah selama 16 tahun. Satu jangka masa yang cukup lama.

SEJARAH PERUNDANGAN
            Responden pernah dipenjara di Penjara Penor, Kuantan atas kesalahan jenayah dadah dan telah dibebaskan pada tahun 2013. 39A(2) penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.Sejurus dibebaskan, responden telah dihantar ke Rumah Teduhan Kasih Sungai Buloh, Selangor. Klien juga dikehendaki untuk melaporkan diri ke AgensiAnti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berhampiran setiap bulan.

PENGENALAN KEPADA HEROIN
Heroin adalah dadah narkotik yg dihasilkan melalui proses abstrak daripada Morfin. Ia berbentuk ketulan-ketulan kecil, kebiasaannya berwarna unggu, coklat, merah jambu, putih, kelabu, oren dan kuning karat menandakan kawasan yang dikuasai oleh sesebuah sindiket pengedaran itu . Heroin juga dikenali atau dipanggil Fit, Ubat, Brown, Pek hoon, Pak ei, minyak, tepung dan lain-lain.
Narkotik adalah dadah yang dihasilkan daripada candu, sama seperti Morfin dan kodein yg digunakan untuk tujuan perubatan dalam mengurangkan kesakitan. Heroin juga seperti dadah narkotik lain apabila digunakan secara berterusan bagi jangkamasa panjang akan mengakibatkan kesan kebergantungan (dependence) dan penagihan yang kronik. Undang-undang di Malaysia mengharamkan memiliki atau menggunakan dadah heroin.
Menurut Wikipedia, Heroin atau diasetilmorfin (INN) ialah opiod separa-tiruan yang merupakan terbitan 3,6-diasetil (oleh itu, heroin ialah diasetilmorfin) yang disintesiskan daripada morfina melalui proses pengasetilan.
Bentuk hablur putih biasanya merupakan garam hidroklorida, iaitu diasetilmorfin hidroklorida. Heroin sangat menagihkan, dan penggunaan kronik mengakibatkan toleran yang agak tinggi berbanding bahan-bahan yang lain, walaupun penggunaan sekali sekala tanpa sebarang simptom penarikan (withdrawal symptoms) pernah diperhatikan. 
Di peringkat antarabangsa, heroin dikawal di bawah Jadual I dan IV bagi Konvensyen Tunggal Drug Narkotik. Pengeluaran, pemilikan, atau penjualan heroin di Amerika Syarikat adalah haram, tetapi di bawah nama diamorfina, heroin ialah drug preskripsi yang sah di United Kingdom.

FAKTA SAINTIFIK
Getah dari bunga candu dimasak hingga menjadi candu mentah, kemudian diproses menjadi Morfin dan seterusnya Heroin. Struktur molekul Heroin adalah menyerupai endorphin semulajadi yang terdapat didalam sel otak, ia akan mengelirukan sel-sel otak yang bertindak dan mengeluarkan endorphin semulajadi. Pengeluaran endorphin dalam kuatiti yang banyak akan mengurangkan sensasi kesakitan, mengakibatkan merasa teruja dan tenang. Pengambilan dadah Heroin secara berlebihan boleh mengakibatkan kematian secara mengejut (Overdose).
Terdapat juga heroin dalam bentuk sintetik (tiruan) termasuk ; Methadone, dihydrocodeine (DF118/painkiller), penthidine dan temesgesic. Dadah ini juga menghasilkan kesan serta penagihan yang sama seperti Heroin. Menggunakan dadah jenis sintetik ini juga akan mengakibatkan penagihan yang kronik, kesan penagihannya adalah lebih teruk dan tinggi berbanding dadah Heroin sebenar.

KESAN DAN AKIBAT
Apabila Heroin masuk kedalam darah dan otak ia akan mendatangkan kesan, sensasi kebas, perasaan teruja, merasa tenang dan selesa. Diambil pada kadar dos yang sederhana, ia akan mengakibatkan perasaan cergas dan bertenaga. Diambil dengan dos yg tinggi (bergantung kepada tahap toleransi individu) akan mengakibatkan perasaan terlalu selesa dan menjadi mengantuk. Kebiasaannya kesan dadah ini akan berlarutan antara 4 ke 8 jam. Pengambilan dos secara berlebihan akan mengakibatkan menjadi tidak sedar, koma dan maut.
Apabila seorang penagih tidak mendapat heroin (4 ke 8 jam daripada pengambilan terakhir) tubuh badan akan merasakan simtom ketagihan / gian (withdrawal) yang teruk. Penagih Heroin akan melalui kesakitan dan penderitaan fizikal dan psikologi yang teruk. Bermula dengan sering menguap, kerap bersin diikuti dengan bulu roma menjadi meremang, seram sejuk dan mata berair. Merasakan mual dan muntah, kegatalan tekak, kejang dan sakit perut, cirit birit, kesakitan sengal disendi, kegelian dalam tulang belakang dan kaki,kekejangan otot tidak terkawal. Merasakan amat tidak selesa, sekejap panas dan sekejap sekejap sejuk, merasa amat lesu, pemikiran bercelaru, tidak menentu, keliru, mudah marah, halusinasi serta susah untuk tidur dan hilang selera makan. Kebiasaannya kesan ketagihan ini berlarutan antara 3 hingga 7 hari dan kesakitan tersebut kian mengurang. Pada peringkat awalnya, ke semua kesakitan tersebut dating dengan serentak, ini yang membuatkan penagih Heroin menanggung penderitaan yang amat sangat hinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menghilangkan ketagihan/gian tersebut.
Kesan jangka panjang termasuk, penurunan berat badan/kurus, hilang ingatan (jangka dekat), kerosakan urat (bagi yg menggunakan jarum suntikan) buasir kronik, penyakit kulit dan jangkitan bacteria dan virus (jangkitan TB,Hepatitis & HIV/AIDS). Kebanyakan penagih Heroin juga mengalami kesan panjang dari segi psikologi.

TANDA-TANDA
Kebanyakan penagih Heroin tegar mudah dikenalpasti melalui penampilan mereka yang tidak kemas dan terurus. Berpakaian selekeh, fizikal yang kurus, kulit badan yang kering dan pucat, Mata merah layu dan retina membesar.
Tanda fizikal termasuk kesan suntikan, jari atau tangan kesan terbakar, mata yg selalu merah dan layu, tubuh badan yg ketara kurus.
Tanda tingkah laku; kelihatan khayal, mengantuk, tergaru-garu, kerap dan banyak merokok, mengasingkan diri dan mengelak dari pergaulan keluarga atau sosial. Sering bersama kumpulan atau kawan yg menggunakan dadah atau berada dikawasan sarang penagih dan selalu memerlukan wang.

Barangan, peralatan dan kelengkapan seperti; tiub straw kecil atau paket plastik yg mengandungi bahan ketulan kecil atau serbuk. Kertas timah rokok yg terbakar, aluminium foil, kesan terbakar di bucu atau tepi meja atau sinki dalam bilik air, pada perabut atau kesan terbakar bawah penutup botol serta jarum suntikan.





Tuesday, November 5, 2013

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret - Zabidi Mohamed

10:21 AM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat tidak bertepi sehingga kita masih lagi bernafas di tahun 1435H. Selamat tahun baru saya ucapkan kepada semua pengunjung Kisah Seorang Lobam.



Apabila menyebut Catatan Penglipur Lara Sang Majistret langsung fikiran saya terarah kepada seorang penulis yang cukup berbakat iaitu Tuan Zabidi Mohamed. Beliau merupakan seorang Majistrit ( Bekas Majistret maksud saya ) bermula tahun 1986 sehingga 1989.

Buku yang diterbitkan Galeri Ilmu Sdn. Bhd pada tahun 2012 ini merupakan satu catatan kisah lucu sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Majistret. Terdapat 4 kisah lucu yang diceritakan secara santai untuk tatapan pembaca. Biarpun menggelikan hati tetapi terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil.

Antara kisah yang diangkat di dalam buku ini ialah :

1. Kisah Di Penjara Pudu
2. Kisah Seludup Beras Siam
3. Kisah Lucu Seorang Pensyarah Di Mahkamah
4. Kisah Di Rumah S.U Politik MB

Bagi saya Kisah Lucu Seorang Pensyarah Di Mahkamah adalah kisah terbaik. Biarpun penuh dengan sindiran tetapi sarat dengan nilai-nilai tarbiah.

Jom kita ikuti blurp yang disediakan :

"Zaaapppss," bunyi rotan apabila dihayunkan.
"Ayoyo! Amma!" jerit pesalah India itu sambil menangis menyangka rotan itu sudah mula dihayunkan kepadanya.

"Oi!belum mula lagilah!" jerit pegawai penjara yang memegang rotan itu sambil disambut gelak ketawa semua pegawai penjara yang ada di situ. Kami majistret juga semua ketawa.

***
Jurubahasa memandang ke arah saya. Saya tidak memberi sebarang reaksi.
"Nak mengaku salah atau nak bicara?" tanya jurubahasa itu lagi.
Sambil menggosok gigi dengan kayu suginya pensyarah itu menjawab dengan nada penuh yakin, tetapi dengan gaya yang agak sombong, "Saya mengaku pun tak nak, bicara pun tak nak. Ini semua kuasa Allah!" .Jurubasa terkedu.

***
"Saya dengan berpandukan kepada peruntukan di bawah Akta Kastam menjatuhkan hukuman penjara sebanyak... ."
"Gedebummm." Saya berhenti membaca hukuman. Mak cik yang tadinya berdiri di kandang pesalah sudah tidak kelihatan.
"Tuan! Mak cik tu pengsan tuan!" jerit jurubahasa sambil bergegas membuka pintu kandang pesalah untuk pergi melihat keadaan mak cik yang sudah terbaring dalam keadan terkulai tidak sedarkan diri itu. Mahkamah menjadi riuh-rendah.

Apa yang boleh saya katakan terhadap karya ini ialah, mengapa penulis hanya menghidangkan 255 mukasurat sahaja buat tatapan pembaca? Ruginyaaaa.


Friday, November 1, 2013

Saguhati Peraduan Menulis Khutbah Jumaat Anjuran JAIS

7:55 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kurniaan rezeki kehidupan serta nikmat beragama Islam. 

Bulan Ramadhan lalu saya ada menyertai peraduan Menulis Teks Khutbah Jumaat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor. Hari ini saya menerima keputusannya. Lima kali pihak penganjur menghubungi saya. Kebetulan telefon saya habis beteri. Mungkin tidak dapat dihubungi melalu panggilan saya dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas. Syukur Ya Allah. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada sambutan Maal Hijrah di Masjid Shah Alam selasa nanti.

Saya kongsikan teks khutbah Jumaat yang telah saya karang. Tulisan jawi tidak dapat dikongsi atas sebab teknikal.



Puasa Membentuk Peribadi Muslim
Oleh : Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ramadan merupakan satu bulan yang cukup bererti bagi seluruh Umat Islam. Pelbagai peristiwa besar telah berlaku di bulan Ramadan al-Mubarak. Malah sejarah ini terjadi semenjak sebelum penghijrahan Rasul sehinggalah selepas Baginda dan para sahabat berhijrah. Antara peristiwa yang paling besar berlaku dalam bulan Ramadan ialah pensyariatan oleh Allah kepada seluruh umat Islam akan ibadah puasa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “PUASA, MEMBENTUK PERIBADI MUSLIM

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Puasa dari segi bahasa membawa maksud menahan diri, manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehinggalah terbenamnya matahari yang disertakan dengan niat. Secara umumnya, puasa di bulan Ramadan hanya difardukan pada tahun kedua hijrah. Puasa bukan hanya difardukan kepada umat Nabi Muhammad sahaja malah kewajipan berpuasa telah disyariatkan kepada umat-umat yang terdahulu sebelum kita seperti yang telah terlakar dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang telah saya bacakan pada permulaan khutbah tadi. Pensyariatan berpuasa juga telah disebut di dalam hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud :

  Islam dibina di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan ”.

Sewajarnya kita perlu sedar, puasa sebenarnya mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi. Ibarat lumpur yang gelap, siapa sangka di dalamnya terdapat butiran mutiara yang berharga. Orang yang berpuasa dapat melatih diri dan anggotanya agar menjadi orang yang sabar. Orang yang mempunyai sifat sabar pastinya akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat dan hikmah berpuasa. Orang yang sabar tidak akan berputus asa dalam mengejar kecemerlangan demi membangunkan negara.

Bagi mereka yang berpuasa, Allah telah menyediakan ganjaran yang terbaik buat mereka. Malah Allah telah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”.(Riwayat Bukhari)

Antara hikmah lain berpuasa di bulan Ramadan ialah

Pertama: Puasa mampu menjana kekuatan rohani dan jasmani. Dr. Allan Cott dalam bukunya Fasting: The Ultimate Diet menyenaraikan banyak kelebihan puasa daripada sudut sains. Antara kelebihannya ialah :
1. Menurunkan tekanan darah.
2. Mengawal kadar lemak.
3. Menajamkan fungsi deria, otak dan minda.
4. Meredakan stress
5. Memberi kita kekuatan mengawal.

Jelas di sini bahawa perbuatan berpuasa ( menahan lapar dan dahaga )  mampu menyihatkan tubuh badan. Lebih indah kiranya perbuatan menahan lapar dan dahaga itu disertakan dengan niat yang ikhlas dan disulami rasa keimanan pasti akan membuahkan hasil yang lumayan.
Kedua : Puasa merupakan benteng atau perisai yang mampu melindungi manusia daripada perbuatan dosa dan maksiat. Sepertimana saranan Nabi kepada anak-anak muda yang belum mampu untuk berkahwin agar berpuasa, supaya dapat menundukkan hawa nafsu yang menggila.

Sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Nasai
Puasa adalah pelindung

Dan yang Ketiga : Puasa dapat melahirkan sifat-sifat terpuji dan mulia seperti pemurah, toleransi, tabah dan simpati sekaligus dapat meruntuhkan sikap keegoan yang bersarang dalam hati.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
            Pada tahun 1972, Dr. Yuri Nikolayev dari Moscow Research Institute of Psychiatry berjaya merawat 7000 pesakit yang menghadapi pelbagai masalah psikologi. Antaranya schizophrenia dan neurosis ( kemurungan ). Hakikatnya puasa menjadikan minda kita lebih cerdas dan tubuh lebih cergas seperti mana sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Naiim maksudnya

Berpuasalah supaya kamu sihat”

Seorang insan yang mempunyai tubuh badan yang sihat pasti memudahkannya untuk menunaikan ibadah dengan sempurna. Tubuh badan yang sihat mempunyai hubungan rapat dengan pemikiran yang sempurna. Ternyata akal yang cerdas terletak pada tubuh badan yang cergas.

Sidang Jemaah Yang Dihormati Sekalian

            Ibadah puasa adalah merupakan ibadah rahsia. Jika solat, pasti nampak pergerakannya. Jika bersedekah, pasti nampak wangnya. Jika membaca al-Quran pasti nampak perbuatannya. Tetapi jika kita berpuasa, apa buktinya? Tiada bukti yang jelas menunjukkan seseorang itu sedang berpuasa. Jika lapar dan dahaga serta letih menjadi kayu pengukur, mereka yang tidak berpuasa juga merasai perkara yang sama. Seperti mana firman Allah melalui hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya :

“Sesungguhnya amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa maka dia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya”

            Selain berpuasa, kita dituntut untuk mengindahkan bulan Ramadan dengan ibadah-ibadah sunat. Ibadah-ibadah inilah yang akan menampung segala kekurangan yang ada dalam puasa kita. Antara perkara sunat yang dituntut ialah :
Pertama : Menundukkan pandangan dan mengawalnya daripada melihat sesuatu perkara yang berunsur maksiat.
Kedua :  Memelihara lidah daripada bercakap kasar, berdusta, mengumpat serta berkata perkara-perkara yang keji.
Ketiga : Memelihara pendengaran daripada mengdengar perkara-perkara yang lagha.
Dan Keempat : Memelihara angota-anggota lain seperti tangan dan kaki daripada melakukan perbuatan dosa atau sebarang kemaksiatan kepada Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan-perkataan dusta dan perbuatan ( berbuat dusta ) maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya “

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Puasa juga mampu untuk mendidik hati yang lemah dan penuh sifat haloba. Ibadah puasa sebenarnya menjadikan kita lebih menginsafi atas kesusahan orang lain. Lantas, kita diseru untuk memperbanyakkan sedekah agar mereka yang berada di dalam kesusahan turut merasai nikmatnya Ramadan. Firman Allah dalam surah at- Taghaabun ayat 16:
Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

Jika kita menunjukkan tauladan yang baik, nescaya tauladan yang baik itu akan diikut oleh orang yang melihatnya. Hidup ini ibarat boomerang, apa yang kita lontar ianya pasti akan kembali kepada kita. Sifat pemurah banyak diceritakan melalui hadis Nasi s.a.w. Malah memberi makan kepada mereka yang berpuasa turut mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah s.a.w turut menaqalkan hadis seperti yang direkodkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud :
”Barang siapa memberi makan ( bagi berbuka puasa ) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya dibalasi keampunan kepada dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka jahanam. Dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa sedikitpun mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu.”
Maka sahabat-sahabat berkata :
”Ya Rasulullah, tidak semua kami mempunyai sesuatu yang dapat berikan kepada orang yang berpuasa bagi berbuka.”
Jawab Rasulullah :
Allah mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu bagi dia berbuka puasa”
Ternyata memberi makan kepada orang yang berbuka puasa akan diganjari pahala seperti mana orang yang berpuasa tanpa sedikitpun mengurangkan pahala orang berpuasa itu. Atas dasar itulah, ibadah puasa mampu mendidik hati agar lebih menyayangi sesama insan. 

Muslimin Yang Diredai Allah,

Perjalanan Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Setelah Ramadan melewati perhentian Rahmah dan Maghfirah, kini stesen Keampunan dan Terlepas Dari Api Neraka bakal muncul menjelma. Selama tiga puluh hari kita berpuasa, pernahkah kita terfikir. Adakah puasa kali ini mampu menjadikan diri kita sebagai seorang mukmin yang sejati? Adakah puasa kali ini mampu melepaskan kita daripada api neraka? Mampukah puasa kita pada tahun ini menandingi takat kesempurnaan puasa-puasa kita pada tahun yang lalu? Adakah kita layak untuk mempersembahkan puasa kita pada tahun ini kepada Allah? Jika ya, ternyata puasa kita mampu untuk mencegah diri daripada kemungkaran. Jika tidak, bagaimana akan kita bawa diri seusai melewati madrasah Ramadan dan menempuhi 11 bulan yang penuh pancaroba sebelum kita menemui Ramadan tahun hadapan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

Maksudnya: Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.



Jumlah perkataan : 1247 patah perkataan
Jumlah mukasurat : 7 muka surat
Rujukan :
1. Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 2 Kementerian Pelajaran Malaysia
2. Menghayati Ramadan Al-Mubarak, Ab Razak Mat Saat, PEKDIS SPI, JPN Kelantan
3. Travelog Ramadan al-Mubarak, Syahrul Nizam Junaini, PTS Islamika Sdn. Bhd.
4. Sekolah Kehidupan, Habin Faisal Mohamed, HFZ Group Sdn. Bhd.
5. 101 Rekreasi Hati, Dr Zahazan Mohamed & Nik Wafdi Nik Jaafar, Telaga biru Sdn. Bhd.
6. Teks Khutbah Jumaat JAKIM 19 julai 2013.
7. Tulisan Jawi serta format khutbah diambil daripada Teks Khutbah JAKIM – MaghfirahMu Inspirasiku.