Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, May 9, 2013

Tip Temuduga Buat Lepasan SPM 1

10:41 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan segala nikmat, selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta. Salam Sayyidul Ayyam buat semua.

Bulan April dan Mei merupakan bulan yang penting buat para pelajar lepas SPM. Mana tidaknya, pasti ramai pelajar yang berjaya dalam peperiksaan lalu menerima pelbagai tawaran pengajian. Ada yang diterima terus ada juga yang terpaksa menghadiri temuduga. Kali ini saya akan kongsikan beberapa tip temuduga buat rujukan para pelajar.

Sebelum Temuduga

1. Cetak Semua Borang Yang Diperlukan.


Memandangkan zaman sekarang semua urusan dibuat melalui dalam talian, para pelajar perlu muat turun semua perkara yang berkaitan kemudian cetak. Pastikan tidak ada yang tertinggal. Selepas dicetak barulah diasingkan mengikut urutan.

2. Fotostat Semua Sijil

Para pelajar dinasihatkan agar membuat salinan SEMUA sijil yang ada. Jangan tinggal satu pon. Sijil-sijil ini sangat penting biarpun bagi kita tiada nilai. Jangan lupa untuk membuat pengesahan bagi setiap sijil yang telah di fotostat.  
Siapa yang boleh sahkan sijil? Pengetua, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Kokurikulum, Ketua Kampung dan ADUN. Untuk lebih mudah, saya cadangkan agar tinggalkan salinan sijil di pejabat sekolah dan datang semula pada keesokan hari. Khuatir para pentadbir sibuk dan kita terpaksa menunggu lama.

3. Susun Sijil Di Dalam Folder Lutsinar

  
Para pelajar dinasihatkan agar menyusun semua SIJIL ASAL di dalam folder lutsinar untuk memudahkan urusan semakan. Susun mengikut keutamaan. Biasanya dimulai dengan surat beranak, sijil berhenti sekolah, sijil peperiksaan bermula dengan UPSR, PMR, SMA, SPM sehinggalah ke peringkat tertinggi.
Saya juga mencadangkan jika para pelajar mempunyai sijil yang banyak, asingkan sijil-sijil berkenaan di folder yang lain. Ini bermakna para pelajar akan mempunyai 2 folder. Satu folder untuk surat beranak, sijil peperiksaan dan sebagainya dan satu folder lagi untuk sijil-sijil akademik mahupun kokurikulum.
Sijil-sijil ini sangat penting. Pernah terjadi, seorang pelajar disuruh berkawad kerana memiliki sijil kawad peringkat kebangsaan. Dengan persembahan kawad di bilik temuduga itu, dia langsung diterima.

4. Susun Borang Mengikut Senarai Semak


Pastikan borang dan sijil disusun mengikut senarai semak. Contohnya nombor 1. Borang KPM... Susun mengikut susunan 1 hingga akhir. Kemudian klipkan dan bawa bersama folder yang telah siap disusun.

5. Gambar

Sesetengah borang memerlukan calon melekatkan gambar. Pastikan gambar adalah gambar TERBARU. Rambut hendaklah disisir rapi dan memakai pakaian yang kemas. Sebaiknya memakai kemeja bagi lelaki. Elakkan membuat rambut 'pacak'. Perkara pertama yang dinilai oleh penemuduga ialah kekemasan diri.

6. Tulisan

Ada borang yang meletakkan syarat secara spesifik iaitu menggunakan pena mata bola berdakwat HITAM . Baca dengan teliti agar tidak tersalah. Pastikan juga font tulisan anda boleh dibaca.

7. Sampul Surat

Masukkan salinan sijil yang telah disahkan di dalam sampul surat agar sijil tidak kotor. Bawa bersama sampul surat berisi salinan sijil dan folder semasa hari temuduga nanti.

Saya kira cukup setakat ini dahulu. Saya akan kongsikan lagi Tip semasa temuduga di lain entri. Terima kasih kerana sudi membaca.

Baca juga entri :

Tip Temuduga Buat Lepasan SPM 2

3 comments: