Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, April 11, 2013

Persediaan Sebelum Menunaikan Umrah 1

10:43 PM Posted by Lobam , No comments
Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Penulis Jemputan di Ciklaili.com. Sila layari laman tersebut untuk mengetahui pelbagai info.

Menjadi tetamu Allah adalah merupakan impian setiap insan. Walau bagaimanapun tidak semua berkesempatan untuk menjadi tetamu pilihan. Ada antara kita yang punyai banyak wang, tetapi tidak punyai masa. Ada yang mempunyai keinginan yang tinggi tetapi kekurangan sumber kewangan. Malah ada yang mempunyai wang dan masa tetapi masih belum terbuka pintu hati untuk ke sana. Hanya mereka yang benar-benar menerima ‘kad jemputan’ sahaja yang akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Sebelum kita memulakan langkah, ada beberapa perkara yang perlu dipandang serius. Bersama ini saya sertakan tip persediaan sebelum menunaikan umrah. 

1. Travel Agency


Pilih travel agensi yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Testimoni pelanggan biasanya dapat dibaca melalui pencarian di Google. Selain itu harga juga memainkan peranan. Banyak faktor dalam penentuan harga yang ditawarkan oleh sesebuah agensi. Antaranya, status hotel sama ada berbintang tiga, empat atau lima, jarak hotel dari masjid serta perkhidmatan yang disediakan di tanah suci. 
Ada agensi yang menyediakan perkhidmatan umrah sebanyak tujuh kali ada juga yang lima kali malah ada juga tiga kali.  Ada Jemaah yang tidak kisah dengan jarak hotel dari masjid dan boleh berlebih kurang dalam sesetengah perkara, asalkan harga yang ditawarkan lebih murah.
Katakan syarikat A menawarkan harga RM 6000 manakala syarikat B menawarkan harga RM 5300. Selisih harga adalah RM 700. Nampak tidak banyak beza. Tetapi bayangkan jika Jemaah membawa 10 ahli keluarga. Jumlah perbezaan antara syarikat A dan B adalah sebanyak RM 7000. Dengan perbezaan harga sebegitu tinggi, Jemaah boleh membawa seorang lagi ahli keluarga.
Jadi, jika anda seorang yang cerewet pilihlah syarikat ternama dengan harga yang sedikit mahal. Jika tidak, pilihlah mana-mana syarikat dengan mempunyai rekod yang baik. 

2. Pakaian

Minimakan pakaian yang akan dibawa ke tanah suci bagi lelaki. Biasanya ketika di sana, jubah akan menjadi pakaian rasmi. Purata setiap lelaki akan membeli 2 pasang jubah untuk dipakai. Sehelai jubah lazimnya dipakai ketika solat untuk 2 – 3 hari. Jarang dilihat Jemaah Malaysia memakai baju T dan seluar slack ketika menunaikan solat. Bersama ini saya sertakan cadangan jumlah pakaian yang patut dibawa :
-          Baju T – 4 helai
-          Seluar khakis – 3 helai
-          Kain pelekat – 3 helai
-          Jubah ( jika ada ) – 2 helai
-          Baju Melayu – 1 helai
-          Baju pagoda – 2 helai
-          Pakaian dalam – secukup rasa
-          Kasut – Tidak perlu. Biasanya kasut hanya dipakai ketika pergi dan balik sahaja
-          Sepasang selipar yang tidak menutup jari kaki
 
Bagi kain ihram saya mencadangkan agar Jemaah membawa 3 helai. Jika ihram di bahagian bawah kotor, bahagian atas pakaikan di bawah dan ihram baru pakaikan di atas ( menutup badan ) manakala ihram yang kotor dibasuh. Begitulah seterusnya.

Mengapa Jemaah perlu meminimakan pakaian yang perlu dibawa? Jawapannya mudah, jika jemaah hadir dengan satu beg kecil biasanya beg akan ‘beranak’ selepas beberapa hari menjejakkan kaki di tanah suci. Untuk apa dibawa jika tidak pakai. Jadi bawa sahaja apa yang perlu.

3. Ubat 
 
Ubat adalah merupakan sesuatu perkara yang wajib dibawa. Kebiasaannya Jemaah akan menghidapi batuk dan selsema. Saya sarankan agar Jemaah membawa bekalan ubat-ubatan lebih sedikit. Jika kita tidak guna, boleh sahaja kita kongsikan kepada Jemaah yang lain. Antara ubat yang dicadangkan ialah :
-          Ubat batuk
-          Ubat selsema
-          Pil Chi Kit Teck Aun ( Sakit Perut )
-          Vicks
-          Panadol
-          Krim pelembab ( Tumit kaki akan merekah akibat terlalu banyak berjalan )
-          Pelembab bibir ( Bibir akan kering kerana panas atau kurang minum air )
 
4. Karung kasut

Karung kasut adalah merupakan antara perkara penting yang perlu dibawa. Jemaah perlu membawa selipar ke dalam masjid bagi mengelakkan selipar diambil orang. Memang ada sesetengah pihak mewakafkan plastik di dalam masjid, tetapi bukankah lebih baik kita mengurangkan penggunaan plastik. Lagi pun karung kasut ini hanya berharga RM 2.50 sahaja. 

5. Kurangkan ‘hand carry’ dan aksesori diri

Ketika menaiki pesawat, kurangkan barangan yang dibawa. Jika boleh semua barang dimasukkan ke dalam kargo melainkan barang yang penting sahaja. Jika Jemaah mengambil penerbangan terus mungkin tiada masalah. Masalah akan timbul jika Jemaah mengambil penerbangan transit. Leceh bila terpaksa mengusung barang-barang yang tidak penting turun naik kapal terbang. Lebih leceh lagi jika terpaksa menjalani pemeriksaan keselamatan berkali-kali.

Contohnya di Thailand. Penumpang terpaksa membuka semua aksesori untuk di ‘scan’. Hatta kasut juga perlu ditanggalkan. Yang tinggal hanya pakaian dibadan. Jika kita memakai aksesori berlebihan dan membawa barangan yang banyak tidakkah leceh untuk dibuka dan dipakai semula selepas diperiksa.

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment