Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, February 26, 2013

#TSDayOut - Skytrex Adventure Atasi Ketakutan Anda

10:01 PM Posted by Lobam , , , No comments
Assalamualaikum.

Syukur kepada Ilahi atas kurniaan tidak bertepi, selawat dan salam buat Sayyidina Nabi.

Pertama kali menerima email menyatakan saya terpilih untuk menyertai #TSDayOut edisi Skytrex Adventure sangat mengujakan. Apatah lagi bila mengetahui yang kami bakal melakukan aktiviti ekstrem yang tidak pernah terbayang sebelum ini. Debaran semakin kencang, terasa bulu roma tegak berdiri apabila mengetahui yang kami akan 'terbang' 17 meter dari aras bumi dan melaksanakan 27 aktiviti. Kekuatan fizikal dan mental kami benar-benar akan diuji . 


Seawal jam 5.30 pagi saya sudah bangun untuk mempersiapkan diri. Usai solat subuh, kereta saya pandu menuju ke destinasi. Biarpun sudah 6 tahun mendiami bumi bertuah Sungai Besar, Shah Alam nampaknya masih asing di mata saya apatah lagi Taman Botani Negara. Perjalanan dipermudahkan dengan bantuan GPS. Rupanya Taman Botani Negara juga dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah. Syukur saya kembali selepas berbelas tahun tidak ke mari.

Kami dibawa menaiki kenderaan yang disedia khas. Seramai hampir 30 orang memenuhi perut bas. Masing-masing nampak teruja. Ada yang pertama kali ada juga peserta yang setia. Wajah dimaniskan, senyuman diukir, salam dihulur tanda persahabatan baru bermula. Bagi saya yang baru pertama kali, pasti nampak sedikit asing. Masa inilah untuk menambah kenalan yang terdiri daripada pelbagai jantina dan bangsa.


Setibanya kami di tapak aktiviti - Skytrex Adventure kami diperkenalkan dengan En Azlan, pemilik Skytrex Adventure yang peramah. Serba sedikit tentang aktiviti yang akan dijalankan diterang secara lanjut. Perasaan teruja semakin memuncak. Tambahan bila melihat kumpulan lain yang sudah bermula lebih awal. Terasa gatal sahaja kaki ini untuk memanjat.


Selepas memakai peralatan keselamatan, kami diajar cara-cara menjalankan aktiviti ini. Saya menjadi peserta keempat yang mencuba. Sangat teruja. 


Kini tibalah masanya untuk merealisasikan segala impian. Jika beberapa hari lalu, terbayang-bayang di fikiran apa yang bakal saya lakukan. Kini saya sudah berada di sini dan sedia untuk beraksi.

Tangga setinggi 17 meter saya daki. Satu persatu anak tangga saya jejaki. Semakin lama pendakian semakin perlahan. Ternyata saya tewas. Belum separuh anak tangga didaki, saya sudah berhenti untuk melepas lelah. Ternyata ujian pertama begitu getir. Kata-kata semangat yang dilontar daripada rakan diatas menjadi bekal untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah pelantar setinggi bangunan tiga tingkat itu berjaya saya jejaki.

Setelah memeriksa peralatan keselamatan benar-benar selamat untuk digunakan, saya meneruskan ujian kedua. Ternyata ujian kedua mampu saya tempuhi. Biarpun lelah, langkah perlu maju ke hadapan. Langkah saya susun, gerak saya atur satu persatu halangan saya lalui. Ternyata ujian ini benar-benar menguji ketakutan. Kepala senak memikir melawan segala perasaan. Adakah perlu diteruskan atau hanya menyerah sahaja. Tambahan pula beberapa check point menyediakan 'tangga kecemasan'  sebagai alternatif jika peserta menyerah kalah. Saya nekad. Bukit Cerakah tidak akan saya tinggal tanpa menghabiskan halangan yang tersedia.

Setibanya di satu check point, instructor memberi pilihan sama ada untuk menggunakan jalan pintas iaitu dengan cara flying fox atau mencuba halangan earthquake. Nekad saya memilih earthquake


Selepas cuba melangkah, ternyata cabaran ini paling sukar. Menggigil kaki saya di 'atas udara'. Hanya bergantung harap kepada sebatang paip yang diikat dengan dua utas tali dan peralatan keselamatan yang disangkut pada seutas wayar. Oh, ini benar-benar kerja gila. Kaki terhayun ke depan dan belakang. Bulu roma semakin galak berdiri. Darah terasa menyirap ke kepala. Tiada apa yang terbit di fikiran melainkan saya perlu berpatah balik. Bila difikirkan berpatah balik lebih sukar dari meneruskan langkah, langsung saya ubah fikiran. Biarpun saya terpaksa berfikir di luar kewarasan fikiran pada waktu itu saya tekad, langkah perlu diteruskan. Sukarnya kaki melangkah. Kaki tidak boleh berdiri serentak di paip yang sama. Jika tidak pasti kita akan terbuai. Silap langkah akan terjatuh. Perlahan-lahan kaki melangkah biarpun terasa lembik lutut akhirnya saya berjaya juga.

Satu lagi cabaran yang tidak kurang ekstremnya dari earthquake ialah monkey jump. Hati bertambah gelisah bila melihat rakan wanita di hadapan saya jatuh tergantung. Mujur pada waktu itu tangannya sempat mencapai tali. Kebetulan pula rakan itu jatuh di permulaan cabaran, langsung dibantu oleh instructor  yang bertugas.


Aktiviti yang paling saya gemari ialah flying fox. Penutup bagi segala cabaran peserta akan melalui aktiviti  flying fox sepanjang 100 meter. Terasa bebas apabila meluncur di udara sambil menjerit untuk melepaskan tekanan. Puas, sangat puas.


Jom kita layan beberapa lagi keping gambar yang ekstrem.


 







Yang terakhir. Inilah acara yang ditunggu-tunggu. Sukur saya telah dipilih cebagai pemenang dalam cabaran fotografi yang diadakan serentak semasa acara berlangsung. Habuannya, RM250 tunai untuk dibawa pulang. Terima kasih Tourism Selangor atas pengalaman yang saaaaangat berharga ini. #TSDayOut Skytrex Adventure benar-benar memberi impak yang mendalam buat diri saya. Sekarang saya sudah kuat dan bersedia untuk atasi ketakutan yang ada. Double thumbs up untuk Tourism Selangor. Lepas ini pilih saya lagi ya @}------- untuk Renuga dan Tim #TSDayOut. Informasi mengenai Skytrex boleh dibaca melalui entri Memacu Adrenalin di Skytrex Adventure Shah Alam

Sebahagian gambar adalah milik Rasyidi Awaludin dari No Photoshop Required

Sunday, February 24, 2013

Le Tour De Langkawi Menggamit Memori Silam

9:46 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang melimpah ruah, selawat dan salam buat Sayyiduna Rasul tercinta.

Syukur alhamdulillah. Setelah seminggu bertungkus, cuti hujung minggu adalah saat yang paling dinanti-nanti. Pasti ramai yang menghabiskan masa bersama keluarga hari ini. Begitu juga dengan saya. Tetapi hari ini agak istimewa. Mana taknya, Sungai Besar menjadi laluan perlumbaan Le Tour De Langkawi 2013 peringkat ke empat dari Tapah ke Kapar, Klang.


Bila mengingatkan tentang LTDL, pasti memori semasa menuntut di SMKA Pedas, Negeri Sembilan bertandang kembali. Ibarat tayangan gambar yang terpancar di papan layar satu persatu tergambar di memori. Memandangkan sekolah kami terletak di tepi jalan, setiap kali LTDL kami akan berbaris di sepanjang bahu jalan untuk menyambut pelumba-pelumba yang melalui trek perlumbaan. Dengan perasaan gembira kami mengibarkan jalur gemilang dan melambai-lambai menggunakan 'tangan besar' yang disediakan. Saat para pelumba melintasi barisan, kami akan bersorak dan bertepuk tangan memberi semangat buat mereka. Ternyataan saat-saat itu sangat membahagiakan. Tetapi semuanya hanya tinggal memori. Sudah 13 tahun alam persekolahan ditinggalkan. Semakin hari usia semakin memanjat tua.

Hari ini, peristiwa itu berulang kembali. Dengan rasa teruja saya bersama ratusan warga Sungai Besar memenuhi sepanjang jalan di pekan yang sedang membangun. Setelah 6 tahun mendiami kawasan permai ini, baru hari ini berkesempatan mengulangi aktiviti yang pernah saya lalui dahulu.


Seawal jam 11 pagi kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu memenuhi bahu jalan sedangkan jangkaan pelumba melintasi kawasan kami adalah sekitar jam 12 tengah hari. Trafik juga semakin perlahan. Sekitar jam 11.20 pagi jalan semakin sesak. Boleh dikatakan trafik tidak bergerak. 11.25 pagi kedengaran siren polis memecah suasana. Gerombolan kereta yang membawa nama penaja-penaja besar mula kelihatan. Mereka berhenti dan mengedarkan barang-barang tajaan seperti air mineral, 'tangan besar' dan banyak lagi. Lagu LTDL juga dikumandangkan melalui speaker yang diletakkan di atas kereta.





Pada jam 12.14 tengah hari kelompok pelumba pertama kelihatan melintasi kawasan kami. Ketibaan mereka disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.






Beberapa minit kemudian para penonton bersurai dan trafik kembali lancar selepas satu jam tersekat dalam kesesakan.

Jelas, perlumbaan LTDL hari ini mengembalikan kenangan alam persekolahan dahulu. Benarlah, seperti kata Imam Ghazali
Imam Ghazali = ” Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?”
Murid 1 = ” Negeri Cina “
Murid 2 = ” Bulan “
Murid 3 = ” Matahari “
Murid 4 = ” Bintang-bintang “
Iman Ghazali = ” Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun keadaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama”.
Keputusan peringkat keempat Tapah - Kapar boleh dilihat di sini






Memacu Adrenalin Di Skytrex Adventure Shah Alam

12:22 AM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur atas kurniaan rezeki yang melimpah ruah serta selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta.

Beberapa hari lalu telah saya lakarkan kegembiraan kerana terpilih untuk menyertai #TSDayOut yang bakal dijalankan melalui entri ini. Alhamdulillah hari ini telah selesai program anjuran Tourism Selangor yang berlangsung di Skytrex Adventure Pusat Botani Negara yang terletak di Shah Alam. Program yang melibatkan seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada penggemar Facebook dan Twitter Tourism Selangor beserta blogger handalan ini benar-benar mencabar keupayaan fizikal dan mental para peserta.


Secara umumnya pengembaraan Skytrex menyediakan aktiviti luar berkonsepkan eko-rekreasi dengan penerapan nilai pendidikan melalui aktiviti-aktiviti hijau, yang mengkehendaki para peserta 'terbang' dari pokok ke pokok melalui halangan di udara pada ketinggian 5 meter hingga 22 meter.

Aktiviti ini memberi peluang kepada para penggemar aktiviti lasak melihat alam melalui dimensi yang berbeza iaitu melalui pandangan mata burung. Jelas, anyaman antara keterujaan dan ketakunan membuatkan aktiviti ini menjadi lebih menarik dan hebat.

Skytrex yang pada asasnya menggabungkan perkataan "Sky" dan "Trek", menggambarkan kesempurnaan aktiviti yang dijalankan di taman - Pengembaraan melalui "langit" hutan. Siapa sangka, di tengah-tengah pembangunan Bandaraya Shah Alam terselit permata kehijauan yang mendamaikan. 

Skytrex menyediakan 3 circuit yang berbeza dari segi cabarannya.

1. The Extreme Challenge
Cabaran terbesar daripada 3 litar yang ada. Mempunyai 34 cabaran halangan ekstrem buat pengemar aktiviti lasak yang hati kering. Dengan platform setinggi 22 meter dari tanah menjadikan ini adalah satu pengalaman yang pasti anda tidak akan lupa. Atasi ketakutan anda mencuba The Extreme Challenge. Pasti berbaloi.

2. The Big Thrill
Litar pertengahan ini mempunyai 27 cabaran dengan platform setinggi 17 meter dari tanah. Ini adalah satu pengalaman menyeronokkan.

3. The Little Adventure
Litar ini disediakan untuk mereka yang baru berjinak dengan dunia aktiviti lasak. Menikmati 23 halangan pada ketinggian 5 meter sangat sesuai buat para beginner. Merentasi dari pokok ke pokok dengan pelbagai halangan dan diakhiri dengan flying fox merentasi tasik membuatkan jiwa meronta untuk mencuba ke tahap yang lebih mencabar.

Bagi anda yang ingin mengetahui tentang Skytrex Adventure, klik gambar di bawah untuk paparan lebih jelas.





Oh ya, Skytrex Adventure hanya beroperasi sepenuhnya pada hujung minggu.H
ari biasa hanya untuk peserta berkumpulan sahaja dan tidak dibuka kepada individu. Anda boleh hadir terus ke Taman Botani Negara atau hubungi pihak Skytrex Adventure untuk tempahan.




Baiklah, selepas ini saya akan ceritakan pula bagaimana The Big Thrill memacu adrenalin saya ke tahap maksima. Nantikan entri selanjutnya. Terima kasih kerana meneruskan pembacaan anda hingga ke penulisan terakhir. Semoga ada manfaatnya.

Friday, February 22, 2013

Ujian Saringan Air Kencing - SAMDORANI Bebas Dadah

10:11 PM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Syukur alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia. Bertemu kita lagi di hari yang dinamakan Sayyidul Ayyam. Mudah-mudahan segala amal ibadat kita akan diterima dan seluruh kehidupan kita diberkati.


Hari ini sekolah saya digempur dengan kehadiran pegawai-pegawai dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pegawai Khas Dadah dari Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam. Seramai 30 orang pelajar telah dipilih secara rawak untuk disaring. 

Secara umumnya, Ujian Saringan Air Kencing adalah merupakan jalan mudah untuk mengesan kandungan dadah di dalam badan. Untuk makluman semua, kerajaan membelanjakan sebanyak RM18.00 bagi kos satu set alatan ujian. Ini bermakna jika 30 orang disaring pada hari ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM540.00. Jelas sekali, kesungguhan kerajaan dalam membanteras dadah di peringkat akar umbi.

Sesuai dengan matlamat kerajaan Sekolah Bebas Dadah 2012 dan Negara Bebas Dadah 2015 pelbagai  program telah dijalankan seawal di peringkat sekolah. Antaranya ialah dengan menerapkan Pendidikan Pencegahan Dadah dan mewujudkan pasukan Skim Lencana Anti Dadah. Semuanya adalah bermatlamat menanamkan sikap benci dadah kepada rakyat Malaysia seawal usia 7 tahun. Ini adalah merupakan program wajib yang perlu dijalankan. Jika sekolah tidak menjalankan program ini, pengetua boleh dikenakan tindakan tatatertib. Jelas, usaha ini benar-benar mahu membanteras dadah selaku Musuh Nombor 1 Negara. 

Untuk ujian saringan air kencing, 3 jenis dadah akan diuji. Iaitu Opiates, Cannabis dan Amphetamine Type Stimulants. Jika positif 1 jalur akan timbul pada alat ujian. Selepas didapati positif, pelajar akan diminta untuk hadir ke AADK daerah. Pelajar ini tidak akan dihantar ke pusat serenti mahupun balai polis tetapi satu program intervensi akan diadakan dan pelajar tersebut akan diletak di bawah pengawalan pihak AADK. 

Alhamdulillah, pada tahun ini sekolah saya, Sekolah Agama Menengah Sungai Haji Dorani  bebas dadah. Tahniah kepada semua pelajar.





Eh, yang gambar pelajar perempuan ini bukan pelajar yang disaring ya. Tersilap. Hehehe.

Thursday, February 21, 2013

#TSDayOut Skytrex Adventure - Hati Melonjak Gembira

10:37 PM Posted by Lobam , , 5 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Segala puji dan puja buat Allah yang Maha Esa Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Sayyiduna Rasul tercinta.

Selamat hari Khamis. Pasti ramai pembaca yang berpuasa sunat hari ini kan. Alhamdulillah. Lebih manis jika 
ditambah dengan membaca Surah Yasin selepas maghrib. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa.

Jutaan terima kasih saya layangkan buat semua pembaca yang budiman. Mudah-mudahan ada manfaat yang dapat diambil.


Beberapa hari lalu saya menerima email gembira dari pihak Tourism Selangor (TS) yang menyatakan saya telah terpilih untuk menyertai #TSDayOut edisi kali ini. Untuk pengetahuan semua, #TSDayOut ini adalah merupakan acara yang kerap dianjurkan oleh pihak Toursim Selangor bagi mempromosikan tempat-tempat menarik di Negeri Selangor. 

Pihak TS membuka peluang kepada penggemar mereka di laman Facebook dan Twitter untuk turut serta, tetapi hanya yang bertuah sahaja akan dipilih. Kenapa saya kata bertuah, acapkali saya mencuba baru kali ini diterima.


Untuk edisi kali ini Skytrex Adventure yang terletak di Taman Botani Negara Shah Alam menjadi lokasi pilihan. Kawasan yang dikelilingi kehijauan hutan di tengah Bandaraya Shah Alam ini menjadi kawasan yang paling strategik untuk menjalankan aktiviti lasak dan acara-acara santai seperti hari keluarga dan sebagainya. 

Biasanya pihak TS mengenakan bayaran minima kepada para peserta tetapi untuk acara #TSDayOut kali ini, semua perbelanjaan ditaja sepenuhnya. Wah siapa yang tidak teruja bila mendapat barangan percuma kan. Lebih teruja bila melihat gambar-gambar yang ada di Facebook Skytrex Adventure. Jom kita saksikan.





Pihak TS juga menganjurkan pertadingan foto pada setiap #TSDayOut mereka. Pemenang akan membawa pulang wang tunai bernilai RM 250. Sebanyak 6 pemenang akan dipilih pada setiap #TSDayOut. Yang lebih mengujakan, untuk edisi kali ini tambahan 3 pemenang bagi review terbaik di blog akan dipilih dan  membawa pulang hadiah yang sama.

Hati saya melonjak gembira kerana tidak sabar untuk mencuba segala permainan yang ada pada hari Sabtu ini. Jangan lupa teruskan membaca blog ini bagi mendapat gambaran sebenar tentang #TSDayOut dan Skytrex Adventure. Insya-Allah.