Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, October 2, 2012

Mentarang Lazat Sekinchan

12:28 AM Posted by Lobam No comments
+ Assalamualaikum buat semua rakan.

+ Mudah-mudahan hari Selasa ini memberi kebahagiaan buat diri kita.

+ Seminggu yang lalu, saya ada bercerita tentang Majlis Penyampaian Hadiah Food Blogging Selangorlicious 2012. Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua artikel yang melayakkan saya membawa pulang RM1000. tunai.




Jika anda melalui jalan Kuala Selangor – Sabak Bernam pasti anda akan menemui pondok-pondok yang didirikan di sepanjang jalan dengan papan tanda MENTARANG. Bagi yang pertama kali mendengar perkataan itu pasti tertanya-tanya apakah itu Mentarang. Bagi penduduk sekitar, mentarang adalah merupakan sumber rezeki mereka.



Mentarang merupakan sejenis hidupan air yang boleh dimakan. Ada yang meletakkan mentarang dalam kategori siput. Siput mentarang mempunyai kulit yang nipis dan biasanya lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah. Mentarang hidup di kawasan air masin yang berlumpur. Memandangkan kawasan Sabak Bernam merupakan kawasan pantai berlumpur maka mentarang mudah didapati. 


Walau bagaimanapun, pencari mentarang terpaksa meredah lumpur ketika air surut yang kadangkala boleh mencecah separas pinggang. Mereka menggunakan tong plastik untuk dijadikan pelampung dan meredah lumpur untuk mengutip mentarang yang hidup di dalamnya. Mentarang yang dikutip akan dijual kepada peniaga.



Bentuk Mentarang yang bercengkerang seakan-akan Lala tetapi ia lebih bujur dan panjang. Cengkerangnya sedikit nipis dan rapuh sehingga boleh dipecahkan dengan hanya menekannya. Mentarang biasanya dibakar dan dimakan dengan cicahan sos. Ada yang menikmati kelazatan mentarang dengan cara merebus. Lebih unik lagi, mentarang juga boleh dijadikan rendang. Rasanya yang kenyal dan lazat membuatkan mentarang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna jalan raya Kuala Selangor – Sabak Bernam. 





Penggemar mentarang boleh membeli sama ada mentarang hidup ataupun yang sudah dimasak. Mentarang yang dijual dengan harga RM6.00 sepinggan lebih enak dimakan jika dibakar. Manakala mentarang hidup pula dijual sekitar RM10.00 bagi satu kilogram.



Antara gerai mentarang yang popular ialah Faridah Mentarang Bakar yang terletak di Sungai Leman, Sekinchan. Gerai yang terletak ditepi jalan hanya kurang lima minit daripada Pekan Sekinchan. Bagi penggemar mentarang, usah risau kerana gerai Faridah Mentarang Bakar menyediakan kawasan parkir yang luas dan kemudahan tandas. Pelanggan juga boleh memilih sama ada untuk menikmati mentarang secara duduk bersila atau duduk di atas kerusi.




Rata-rata pelanggan yang ditemui menyatakan mentarang sangat enak dan lazat. Ada yang pertama kali mencuba terus jatuh cinta. Mula dengan mentarang bakar terus menambah tempahan untuk merasa mentarang rebus pula. Malah ada yang menjadi pelanggan tetap gerai Faridah Mentarang Bakar sejak beberapa tahun. Ada juga yang menjadikan gerai ini sebagai destinasi wajib singgah jika melalui jalan Kuala Selangor – Sabak Bernam.




Kesimpulannya, bagi mereka yang tidak pernah mencuba mentarang, jangan lepaskan peluang jika anda melalui jalan Kuala Selangor – Sabak Bernam. Selamat datang ke daerah Sabak Bernam dan selamat menikmati mentarang bakar yang lazat.



Faridah Menatarang Bakar mendapat liputan daripada Harian Metro

+ Insya-Allah ada rezeki kita jumpa lagi.

+ Entri asal di Selangorlicious

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment