Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Friday, May 11, 2012

Hala Tuju Selepas SPM. Mana Pilihan Anda?

8:58 AM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang berpanjangan. Mudah-mudahan keikhlasan serta ketakwaan yang berdiri atas landasan iman dan ehsan akan berkekalan hingga ke hari kiamat.

Di pagi Sayyidul Ayyam ini ingin saya berkongsi tentang Hala Tuju Selepas SPM. Alhamdulillah atas kerjasama antara Guru Bimbingan & Kaunseling seluruh Malaysia saya dipertemukan dengan UBK SMK Sri Kurau di laman maya.

Mudah-mudahan perkongsian ini akan memberi manfaat kepada seluruh pelajar yang tercari-cari laluan serta hala tuju selepas SPM.

MATRIKULASI KPM

Program Matrikulasi KPM terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun dan Program Dua Tahun dan mempunyai 4 jurusan iaitu Sains Hayat, Sains Fizikal, Perakaunan dan Teknikal. Jurusan Teknikal baru diperkenal pada tahun ini. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka kerana hanya dibahagikan kepada empat jurusan umum ini.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah cuma RM 220 untuk jurusan Sains dan Teknikal dan RM 212 untuk jurusan Perakaunan. Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Semasa belajar di kolej matrikulasi, para pelajarnya akan menerima elaun sebanyak RM1,250 satu semestar.

Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah. Mereka yang mempunyai keputusan cemerlang mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memasuki program pengajian yang diminati. Mereka yang sederhana pula ada kemungkinan akan mendapat program pengajian yang tidak diminati atau biasa disebut ‘dilelong’.

ASASI IPTA

Program Asasi pula dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.

Umpamanya Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains. Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.

Di samping itu universiti lain yang mempunyai program asasi adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Walaupun begitu para pelajar asasi akan ditawarkan pembiayaan wang saku sebanyak RM 1,000 satu semester, yuran pengajian sebanyak RM 350 satu semester dan yuran penginapan sebanyak RM 300 satu semester.

Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka. Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

DIPLOMA IPTA

Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Ini bermakna apabila pelajar berkenaan mengikuti program pengajian diploma mereka telah boleh merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat.

Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.

Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

PILIHAN ANDA

Ketiga-tiga program pengajian ini memang disasarkan kepada calon yang berbeza. Setiap satu program tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Mereka yang mengikuti program asasi dan matrikulasi satu tahun merupakan antara jalan terpantas untuk memasuki universiti dan menamatkan program pengajian peringkat ijazah. Secara langsung mereka akan dapat mula bekerja lebih awal di usia yang muda.

Memandangkan program asasi dan matrikulasi mengambil masa yang singkat untuk ditamatkan maka mereka yang mengikuti program ini perlu melalui proses kehidupan dan pembelajaran yang mencabar. Banyak yang perlu dilakukan dalam masa yang begitu pendek dan perlu fokus serta mengekalkan prestasi pelajaran dari mula lagi.

Walaupun begitu segala susah payah ini akan dibalas dengan kepantasan memasuki program pengajian peringkat ijazah dan dunia kerjaya.

Secara umumnya program Matrikulasi KPM sesuai untuk mereka yang belum begitu pasti kursus apa yang ingin diikuti diperingkat ijazah nanti kerana sukatan pelajarannya lebih terbuka. Manakala program Asasi pula sesuai untuk mereka yang sudah pasti apakah kursus yang ingin diikuti diperingkat ijazah dan universiti yang ingin dimasuki kerana sukatan pelajaran asasi telah disusun mengikut kursus yang tertentu.

Perbezaan yang paling ketara antara program asasi dan matrikulasi dengan program diploma adalah tempoh masa pengajian. Program diploma mengambil masa yang lebih panjang iaitu 3 tahun jadi proses pembelajaran tidaklah begitu ketat. Di samping itu pelajar diploma mempunyai lebih peluang untuk membaiki penurunan prestasi kerana ada 6 semestar berbanding 2 semestar untuk asasi dan matrikulasi setahun.

Namun kerana tempoh masa pembelajaran yang lebih lama maka lepasan diploma akan lewat memasuki pengajian peringkat ijazah dan akan lambat mula bekerja. Walaupun begitu ada universiti yang memberi pengecualian jam kredit kepada lulusan diploma dan ini boleh memendekkan sedikit tempoh masa pengajian.

Di samping itu lulusan diploma boleh menggunakan diploma mereka untuk terus bekerja tetapi tidak demikian untuk lulusan asasi dan matrikulasi. Mereka yang mengambil program asasi dan matrikulasi dianggap akan meneruskan proses pembelajaran mereka kerana program tersebut memang disusun sebagai laluan pantas ke universiti.

TINGKATAN 6 (STPM)

Sementara itu bagi mereka yang tidak berjaya ke matrikulasi atau asasi maupun diploma jangan gusar kerana anda masih boleh memasuki universiti mengikuti program peringkat ijazah. Laluan anda adalah dengan masuk ke tingkatan 6 dan ambil STPM.

Bermula tahun 2012, sistem pentaksiran STPM secara modular akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan tingkaran enam bawah. Dalam sistem modular ini, penilaian terhadap pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap semester (ada tiga semester semuanya). Selain peperiksaan akhir berpusat pada setiap hujung semester, pelajar akan dinilai juga melalui kerja kursus yang dijalankan sepanjang pengajian.

Sukatan Pelajaran STPM Baharu 2012/2013:

1. 900 Pengajian Am
2. 910 Bahasa Melayu
3. 911 Bahasa Cina
4. 912 Bahasa Tamil
5. 913 Bahasa Arab
6. 920 Literature In English
7. 922 Kesusasteraan Melayu Komunikatif
8. 930 Syariah
9. 931 Usuluddin
10. 940 Sejarah
11. 942 Geografi
12. 944 Ekonomi
13. 946 Pengajian Perniagaan
14. 948 Perakaunan
15. 950 Mathematics (M)
16. 954 Mathematics (T)
17. 956 Further Mathematics
18. 958 Information And Communications Technology (ICT)
19. 960 Physics
20. 962 Chemistry
21. 964 Biology
22. 966 Sains Sukan
23. 970 Seni Visual


Walau apa pun pilihan anda pastikan anda melaluinya dengan terancang dan berusaha untuk mencapai yang terbaik demi masa depan yang cemerlang. Pastikan anda tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan semasa SPM dahulu. Pada peringkat ini sepatutnya anda telah mengenai diri anda sendiri dan tahu apakah minat, kemampuan dan kekuatan masing-masing.

PILIHAN DI TANGAN ANDA...

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment