Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, December 31, 2012

My Happy Moments Contest

9:59 PM Posted by Lobam 9 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas setiap kurniaan rezeki serta nikmat yang paling berharga iaitu Iman dan Islam.

Kurang 3 jam lagi tahun 2012 akan berlalu pergi. Segala ramalan yang menyatakan kiamat bakal berlaku nampaknya hanya sekadar kata-kata dan ramalan yang tidak bersandarkan dengan Al-Quran dan Hadis. 12.12.12 berlalu tanpa apa-apa yang berlaku. Hanya sekadar angka yang tidak akan berulang dalam hidup kita. Jika berulang pon mungkin selepas 1000 tahun lagi. Itupun jika Dunia Belum Berakhir.

Tahun 2012 banyak meninggalkan kenangan indah kepada saya dan keluarga. Yang pertama sudah tentu kelahiran pengarang jantung, penyejuk mata dan penawar di hati kedua kami - Muhammad Amsyar Wajdi bin Abdul Muiez. Setelah 4 tahun menanti akhirnya rezeki itu muncul jua. Satu amanah yang perlu dijaga sebagai saham di akhirat sana. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad s.a.w riwayat Al-Bukhari mafhumnya :
"Apabila mati anak Adam maka akan terputus segala amalannya melainkan tiga perkara"
Sesungguhnya, salah satu darinya ialah Doa dari Anak yang SOLEH. Mudah-mudahan dengan kelahiran putera kesayangan kami ini akan menjadi bekal yang berharga buat kami suami isteri.

Dari segi kerjaya, alhamdulillah semakin bertambah baik. Kehidupan semakin selesa dan gembira. Semuanya  atas kurnian yang Maha Esa. Sebagai manusia kita hanya mampu untuk berusaha selebihnya kita serahkan kepada-Nya.
Jika kamu bersyukur, pasti AKU akan tambah. Tetapi jika kamu Kufur, sesungguhnya azab-KU sangat yang berat.
Mudah-mudahan kita semua terhindar dari sikap kufur dan takbur. Na'uzubuillah.

Tahun 2012 juga membuka laluan rezeki daripada Allah buat kami. Kejayaan dalam arena peraduan semakin bertambah baik. Syukur Ya Allah atas kurniaan tidak bertepi. Dengan wang yang dimenangi, saya berjaya membeli gajet idaman iaitu Kamera Pintar Samsung NX1000. Malah saya juga dikurniakan rezeki dengan memenangi lensa tambahan Samsung 50-200mm yang berharga RM1000 secara percuma. Tiada ungkapan yang mampu menggantikan kata-kata syukur pujian kepada Allah. Dengan pembelian Kamera Pintar itu, diharapkan rezeki saya di bidang fotografi semakin bertambah baik.

Selepas beberapa hari memiliki gajet idaman, saya mencuba bakat dengan menyertai Peraduan Wear Lunatots Cloth Diaper anjuran Lunatots Cloth Diaper. Tanpa disangka saya telah dipilih sebagai pemenang dengan merangkul hadiah utama iaitu Baucer Lunatots bernilai RM100. Siapa sangka, tuah kamera baru membuka lembaran yang penuh keceriaan.

Inilah gambar yang membuka laluan untuk saya melangkah jauh dalam bidang fotografi

|CD016|Puan Nor Asmawati germbira bersama Muhammad Amsyar Wajdi. Tiada kerisauan lampin bocor bersama Lunatots Cloth Diaper — at Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Gambar ini dihantar oleh Encik Abdul Muiez Ruslee

Terima kasih di atas penyertaan anda. 
Biarpun nampak sangat amatur tetapi saya anggap ini sebagai permulaan yang baik. Sudah pasti inilah kisah My Happy Moments saya.

Contest My Happy Moments dianjurkan oleh Eyriqazz.com bagi menyahut Cabaran iPhone 5 Gadget Impian

Sutera UnguUstazah Ain dan Mofasad jom sama-sama kita sertai peraduan ini. Ya, masih ada masa. Seperti Sabda Nabi mafhumnya :
Jika di tangan kamu ada benih sedangkan esok akan berlaku kiamat, tanamlah benih itu.
Selagi jarum jam belum menunjukkan angka 12, selagi itulah peraduan boleh disertai.

Semoga kita berjaya.

Selamat menempuhi Tahun Baru 2013. Kullu Am Wa Antum Bikhair.



Friday, December 14, 2012

Cendol Durian Borhan Tarikan Terbaru Kuala Selangor

1:00 AM Posted by Lobam 7 comments

Assalamualaikum.

Jika anda memandu menelusuri jalan Kuala Selangor - Tanjung Karang melalui lebuhraya Sakaratul Maut (seperti yang dinyatakan di dalam media) Klang - Teluk Intan pasti anda akan menemui ramai peniaga yang menjual cendol. Ada pelbagai jenis cendol yang dipertaruhkan. Cendol Bakar, Cendol Gula Melaka, Cendol Atok, Cendol Kapoow dan pelbagai jenis cendol lagi yang pasti membuatkan kita berasa kecur liur untuk mencuba.

Tetapi dalam banyak-banyak gerai cendol yang ada, saya tertarik kepada Gerai Cendol Durian Borhan (CDB). Sejak pertama kali menikmati CDB beberapa bulan yang lalu, terus terdetik di dalam hati, "Inilah cendol terbaik yang pernah saya rasa" Jadi tidak hairanlah jika cuti umum deretan kenderaan memenuhi bahu jalan berhampiran gerai. Malah ada yang sanggup berjalan sejauh 200 meter semata-mata untuk menikmati cendol istimewa ini.


CDB terletak 5 km dari Bandar Kuala Selangor dan 10 km dari Pekan Tanjung Karang. Jika anda dari Kuala Selangor CDB akan berada di sebelah kanan dan begitulah sebaliknya.


Pelbagai variasi cendol dengan harga yang berpatutan sedia untuk dinikmati. Antaranya

Cendol Pulut                      RM 2.00
Cendol Labu                      RM 2.00
Cendol Keladi                    RM 2.00
Cendol Durian + Pulut        RM 2.50
Cendol Durian + Jagung     RM 2.50
Cendol Durian + Labu        RM 2.50
Cendol Durian + Keladi      RM 2.50

Cendol yang dicurah dengan paste durian
Laksa istimewa
Malah ada juga makanan istimewa yang disajikan seperti Mee Kari dan Laksa yang lazat. Harganya pula sekitar RM 3.00 - RM 4.50

CDB menyediakan keperluan asas yang lengkap. Ada satu bilik air dan satu tandas juga tempat parkir kereta yang luas.


Tidak malu saya katakan, selain Mentarang Lazat, Cendol Durian Borhan juga mampu menjadi daya tarikan pelancongan ke daerah Kuala Selangor dan Sekinchan. Apa tunggu lagi. Jom menikmati Cendol Durian Borhan. Bagi yang mahu mengetahui sejarah CDB boleh klik di sini.


Tuesday, December 11, 2012

Lapan Golongan ( Asnaf ) Yang Layak Untuk Menerima Zakat

7:24 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum,

Selamat bertemu dan kali ini saya ingin menjelaskan lapan golongan (asnaf) yang layak untuk menerima wang zakat. Firman Allah swt  dalam surah at Taubah ayat 60 bermaksud:
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan". 
1. Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuk dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan,pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10.00 sehari tetapi hanya mampu RM3.00 sahaja.

2. Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10.00 tetapi hanya memperoleh RM8.00.

3. Amil  - orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.

4. Muallaf - seseorang yang baru memeluk agama Islam.

5. Riqab - seseorang yang terbelenggu  dan tiada kebebasan diri.

6. Gharimin  - penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.

7. Fisabillillah - orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.

8. Ibnus Sabil - musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.

Sehingga jumpa lagi.

Wassalam
Tuan Hj Mohd Rais Hj Alias
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ
TAKSIR | BAYAR | SEMAK 
www.zakat.com.my | facebook : myzakat
"Berzakat Menyucikan Harta & Jiwa"

Monday, December 10, 2012

Kolam Air Panas Gadek, Ikon Pekan Alor Gajah

2:48 AM Posted by Lobam 2 comments
Assalamualaikum.

Saya kira sudah lama tidak pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan. Kesempatan yang ada sempena berlabuhnya Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 tidak saya lepaskan. Hampir dua bulan saya tidak mengjengah desa tercinta. Jadi kepulangan saya pada kali ini harus dirancang sebaiknya. Agar cuti  sekolah yang masih bersisa dapat dimanfaatkan dengan bijaksana.

Cuti kali ini saya berkesempatan untuk membawa isteri dan anak-anak mengejengah ke Kolam Air Panas Gadek. Sudah hampir lima tahun kami berkahwin, inilah kali pertama saya membawa isteri tercinta ke kolam air panas ini biarpun lokasinya hanya sekitar 20 km dari rumah ayahanda dan bonda saya.


Kawasan Air Panas Gadek ini terletak di Kampung Ganun 7 km daripada pekan Alor Gajah. Biarpun kolam ini tidak segah Kolam Air Panas Pedas mahupun Kolam Air Panas Sungai Klah tetapi fasiliti yang dibina mampu menjadikan Kolam Air Panas Gadek sebagai tempat berlibur yang mampu bagi semua golongan. Kolam Air Panas Gadek ini juga menjadi ikon pelancongan bagi kawasan Alor Gajah.


Kolam air panas semula jadi ini dikatakan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit kulit dan sakit sendi. Kolam ini sentiasa panas dan tidak pernah kering biarpun sudah lama wujud.


Dahulu, kolam ini tidaklah sehebat seperti yang ada kini. Memandangkan kawasan ini berpotensi menarik pelancong ke daerah ini, maka kawasan ini telah dinaik taraf. Banyak wakaf yang telah disediakan. Ada juga kolam air panas berbumbung yang ibaratnya seperti kolam air panas persendirian yang sesuai digunakan untuk seisi keluarga.




Takat suhu airnya juga berbeza bagi setiap kolam. Ada yang suam malah ada juga yang agak panas. Bagi kami, cukuplah kolam air suam sebagai pilihan memandangkan dua orang anak kami masih kecil. Suhunya sangat sesuai untuk bayi kami yang berusia lima bulan.



Bagi pengunjung yang suka berenang, ada juga sebuah kolam air panas yang besar disediakan untuk anda. Apa yang penting airnya panas secara semula jadi.


Sebanyak lima kolam berbumbung disediakan. Ada juga beberapa kolam kecil yang mana suhu airnya berbeza. Malah pihak pengurusan juga menyediakan 8 kolah seperti kolah di bilik mandi untuk para pengunjung merendam kaki.


Bagi yang beragama Islam, usah khuatir kerana pengurusan Kolam Air Panas Gadek juga ada menyediakan surau yang cukup selesa untuk menunaikan ibadat. Tandasnya juga bersih.

Untuk kanak-kanak, ada juga disediakan taman permainan yang mempunyai beberapa buaian dan papan gelongsor.


Bagi pengunjung yang tidak mahu bersesak atau berpanas pada waktu siang, kolam ini juga beroperasi pada waktu malam selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Bayarannya juga sangat berpatutan iaitu RM 5.00 bagi dewasa dan RM 3.00 bagi kanak-kanak. Wifi juga disediakan kepada para pengunjung. Jadi apa lagi, jangan lupa untuk memuat naik gambar anda di Instagram ^__^

Bagi anda yang mahu ke sini. 

1. Jika melalui lebuhraya PLUS - 12 km
Ambil susur keluar Tol Simpang Ampat dan Tampin kemudian tuju ke arah Alor Gajah.

2. Jika anda dari Bandaraya Melaka - 30 km
Ikut Lebuhraya AMJ menuju Alor Gajah kemudian pilih jalan ke Tampin.

Bagi anda yang tercari-cari tempat untuk menginap, saya kira banyak homestay di sekitar kawasan itu. Ataupun anda menginap sahaja di Bandaraya Melaka. Selepas seharian meneroka keindahan Bandaraya Warisan Dunia itu, malamnya pula anda lepaskan lelah dengan berendam air panas di Kolam Air Panas Gadek. Sungguh menyegarkan. Tak percaya? Cubalah.







Sunday, December 2, 2012

Pintu Kaabah Dibuka ( Video & Gambar )

2:54 PM Posted by Lobam 1 comment



MEKAH – Pintu Kaabah di Masjidil Haram dibuka untuk kerja-kerja pembersihan di dalamnya dan memberi peluang kepada para pembesar, diplomat dan tetamu kerajaan Arab Saudi memasukinya kira-kira pukul 11 pagi 29 November yang lalu.

Kebiasaannya anggota kanan keluarga diraja Arab Saudi dan agensi keagamaan bersama-sama mencapai penyapu dan kain disirami air mawar untuk membersihkan bahagian dalam Kaabah, yang menjadi kiblat umat Islam.

Kerja membersihkan Kaabah selalunya diketuai gabenor Makkah, yang melakukannya bagi pihak Raja Arab Saudi.

Upacara selalunya bermula sejurus selepas solat Subuh, apabila anggota keluarga al-Shaybi yang menjadi penjaga pintu Kaabah sejak berabad lalu mengeluarkan kunci struktur itu dari beg hijau.
Berkaki ayam dan berpakaian jubah putih tradisi, golongan lelaki menamatkan majlis dengan mengelap tembok marmar dan lantai bilik kecil itu dengan minyak wangi, menghidupkan semula tradisi dimulakan Nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun lalu.

Upacara itu, yang dijalankan dua kali setahun, memberi peluang untuk menjenguk ke dalam struktur yang digelar umat Islam sebagai pusat bumi itu.

Umat Islam menganggap Kaabah, yang terletak di tengah Masjid Haram di Makkah sebagai kawasan paling suci dalam Islam kerana Allah mencipta alam semesta dari tempat ia berada.

Kesucian tempat berkenaan memberikan kepentingan khas kepada upacara membersihkannya.
Ia dilakukan sebelum Ramadan dan selepas sambutan Aidiladha.

Waktu lain Kaabah dibuka ialah apabila pembesar Islam seperti ketua negara meluahkan hasrat memasukinya.











Solat Zuhur - Rabu 14 Muharam


Gambar dipetik daripada : Kehidupan Mekah Haji Arshad dan Portal Berita MyNewsHub

Apakah Rebet Cukai Pendapatan Melalui Potongan Zakat?

12:00 AM Posted by Lobam No comments
Entri ini dibawakan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Assalamualaikum, Bertemu kita sekali lagi di dalam ruangan ini dan semoga semua berada di dalam keadaan kesihatan yang baik.

Kali ini saya ingin memperkatakan mengenai rebet cukai pendapatan apabila kita membayar zakat. Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A(3) yang menyebut:

"Rebet hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu, dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis."

Contoh rebet yang akan diberikan apabila membayar zakat. Contoh ini sekiranya seseorang itu membayar zakat menerusi potongan gaji bulanan dan bandingan dengan pembayaran cukai melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Contoh 1 – PCB untuk bulan Januari 2010
Zakat dipotong           :           RM55
PCB patut dipotong     :           RM105
PCB kena dipotong      :           RM50  (RM105-RM55)


Contoh 2 -  PCB untuk bulan Januari 2010
Zakat dipotong           :           RM140        
PCB patut dipotong     :           RM110
PCB kena dipotong      :           TIADA


Perkara yang penting niat membayar zakat adalah ibadat. Dengan maklumat di atas, pihak kami berharap ia dapat membantu anda untuk memudahkan lagi urusan menunaikan zakat dengan kami.

Sehingga jumpa lagi


Wassalam,
Tuan Hj Mohd Rais Hj Alias
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ
TAKSIR | BAYAR | SEMAK 
 www.zakat.com.my | facebook : myzakat
"Berzakat Menyucikan Harta & Jiwa"

Saturday, December 1, 2012

Sistem Semakan Penempatan Pelatih PLKN 2013

10:00 PM Posted by Lobam 2 comments


Assalamualaikum.

Kurang seminggu lagi Sijil Pelajaran Malaysia 2012 akan melabuhkan tirainya secara rasmi. Mungkin ada sesetengan bidang sudah merasai nikmat MERDEKA sejak minggu lalu. Tetapi bagi pelajar aliran agama dan perdagangan, masih berbaki lima hari untuk mereka tempuhi. Kemudian, berakhirlah perjuangan seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai 'BUDAK SEKOLAH'.

Bermula tahun 2004, rakyat Malaysia yang berumur 17 tahun ke atas akan dipilih secara rawak untuk menhikuti Program Latihan Khidmat Negara selama tiga bulan. 

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas. Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.
Pada setiap tahun, 24% daripada remaja yang akan berumur 18 tahun pada tahun latihan mereka dipilih untuk menyertai PLKN ini. Namun mereka yang bermasalah tertentu boleh memohon untuk ditangguhkan atau dikecualikan untuk PLKN ini.
Saya kira, rata-rata calon SPM tahun ini sudah mengetahui sama ada mereka terpilih untuk mengikuti PLKN atau tidak. Selain daripada semakan melalui pelbagai sumber, bakal pelatih juga telah diberi borang maklumat diri oleh Guru Kaunseling sekolah masing-masing. Kini tibalah masanya untuk menyemak penempatan pelatih PLKN tahun 2012.

Caranya mudah. Hanya melayari laman sesawang Semakan Penempatan Pelatih 2013


Kemudian masukkan Nombor Kad Pengenalan tanpa ( - ) dan

keputusan dipaparkan.

Oh ya. Untuk sesi ini hanya Penempatan Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 1 Siri 10/2013 sahaja  yang dipaparkan. Jika keputusan anda tidak dipaparkan itu bermakna kemungkinan anda termasuk dalam Kumpulan 2 atau 3.

Selamat mengikuti Kursus PLKN buat semua yang terpilih. Tahniah,


Thursday, November 15, 2012

Munduk. Syurga Buat 'Kaki Shopping'

11:37 PM Posted by Lobam 3 comments
Assalamualaikum...

Saya kira sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Banyak perkara yang berlaku dan sedia untuk dikongsi tetapi masa sangat mencemburui. Bukan tiada masa, cuma saya tidak pandai menguruskan masa sehingga tidak sempat untuk menjenguk diari kehidupan saya ini.

Mengambil kesempatan sempena cuti rehat Peperiksaan SPM selama seminggu, saya mencuri masa berlibur menghiburkan hati yang lara. Banyak perkara yang berlaku. Ada yang gembira ada juga sebaliknya. Destinasi pilihan kali ini ialah Kelantan. Kelantan lagi? Saya baru sahaja pulang dari Kelantan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Cuma memenuhi jemputan perkahwinan seorang saudara rapat, saya dan keluarga memilih untuk ke Kelantan lagi.

Mujurlah permohonan berpindah ke Kelantan amat sukar. Jika tidak sudah pasti Negeri Serambi Mekah ini menjadi pilihan utama saya untuk berpindah selain dari Sabah dan Sarawak.

Boleh dikatakan setahun tiga hingga empat kali saya menjejakkan kaki ke tanah barakah ini. Cuma inilah kali pertama saya singgah ke Munduk - Sebuah pekan kecil di seberang sungai.


Jika ditanya apa yang ada di sini. Jawapannya mudah. Semuanya ada. Cuma Munduk tidaklah semeriah Rantau Panjang atau Golok dan kawasan yang sewaktu dengannya,

Kami memulakan perjalanan dari Pasir Mas. Perjalanannya tidaklah jauh hanya memakan masa sekitar 20 minit sahaja. Dari Pasir Mas arah laluan ke Rantau Panjang menjadi menjadi panduan. Sekitar 5 km dari jeti anggota polis di Pos Kawalan menyambut dengan senyuman.


Setibanya kami di kawasan jeti parkir kelihatan penuh, mungkin ketika itu jarum jam sudah menunjukkan angka satu dan aktiviti membeli belah tiba di waktu puncak. Setelah memarkir kereta, kami bersiap untuk menyeberang. Sudah pasti pengangkutan utama untuk menyeberang ialah dengan menaiki bot.

Model yang kononnya kacak

Inilah bot yang membawa penumpang menyeberang ke Munduk Thailand. Jika dilihat memang tiada aspek keselamatan langsung. Tetapi hanya inilah satu-satunya pengangkutan yang ada untuk ke sana. Mungkin juga para pembaca boleh mencuba sesuatu yang baru dengan cara berenang pula jika mampu.


Nah. Dengan hanya membayar RM 1 kini ada sah menjadi pendatang haram di Tanah Siam. Selamat datang ke Munduk.


Di Munduk, barangan yang dijual lebih murah dari Rantau Panjang. Malah berkali ganda murah harganya. Antara barangan yang menjadi pilihan ialah kain tudung. Saya pasti, penggemar tudung akan rambang mata melihat kain yang pelbagai warna dan corak yang dapat dibeli dengan harga murah. Malah lebih cantik dari yang dijual di butik dan kedai dalam talian. Jersi juga menjadi barangan wajib beli. Masakan tidak, jika pandai tawar boleh dibeli dengan harga RM 15 untuk 2 helai.

Sesuai untuk mereka yang minat berniaga

Munduk juga menjadi syurga buat kanak-kanak. Di sini barang permainan dijual dengan harga yang murah. Malah motor besar berkuasa bateri jika pandai tawar boleh dibeli dengan harga sekitar RM 200 sebuah.

Syurga bagi kanak-kanak
Jika anda peminat rojak, jangan lupa mencuba 'colek' Pekan Munduk. Banyak buah-buahan disediakan. Hanya menunggu untuk dipilih sahaja. Harganya pula sangat munasabah. Untuk 4 jenis buah yang saya pilih, harganya 50 bath atau RM 5 sahaja. Rasanya jauh lebih sedap dari rojak buah yang ada di tempat saya.

Buah-buahan beraneka jenis

Satu lagi. Jika sudah menyeberang sungai jangan lupa merasa Som Tam. Makanan berasaskan betik ini pasti memikat selera anda. Ada rasa manis, masam, masin. Pendek kata, cukup segala rasa.

Saya juga tidak ketinggalan berhenti melepas lelah di restoran yang ada. Menikmati hidangan air tangan orang Thai yang asli. Oh ya, jika berada di sini usah risau. Semua makanan yang ada di sini halal belaka, kerana hampir semua penduduk di sini adalah beragama Islam.

Antara yang paling istimewa ialah Air Batu Campur. Macam-macam ada. Ada hirisan pisang, ada cebisan roti, ada jeli dan macam-macam. Rasanya sudah tentu lazat.

Air Batu Campur 1Munduk. Macam-macam ada
Mencuba Kuew Teow Padprik. Hmmmm sedap.

Sambal masam dan kicap masin. Saya lebih menggemari yang masam
Jom layan beberapa keping gambar lagi.

Perjalanan ke Pekan Munduk dari Pasir Mas

Rasa seperti menaiki bot laju.


Pekan Munduk dari Tanah Semenanjung
Tips sebelum ke Munduk.

1. Pastikan anda membawa wang yang mencukupi. Lebih pon tidak mengapa kerana di sana tiada mesin ATM disediakan.

2. Jika berminat tawar sehingga habis harga. Walaupun pada mulanya nampak sombong akhirnya mereka pasti mengalah jua.

3. Datang awal pagi.

4. Elakkan datang pada hari Jumaat dan Isnin kerana kedua-dua hari itu dinamakan hari Nat. Hari itu ibarat pesta bagi mereka. Takut polis tidak benarkan masuk.

5. Selamat berbelanja.

* Kesemua gambar di dalam entri ini diambil dan diedit menggunakan kamera Samsung Galaxy SII.