Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, September 3, 2018

Denai Hati Seorang PJJ

2:08 PM Posted by Lobam No comments
Bila teringat tentang luahan hati seorang rakan yang berjauhan dengan keluarga, membuatkan saya semakin faham erti kerinduan. Bukanlah saya tidak pernah kenal maksud rindu sebelum ini, Cuma bila anak dan isteri berada di hadapan mata, rasa rindu itu tidak sempat merecup. Puing-puing yang berbara, terpadam semula disimbah kasih sayang.

Lama rakan saya terpisah dengan keluarganya. Seorang di Sungai Besar manakala anak-anak dan isteri berada nun jauh di Kelantan. Saban tahun, permohonan pertukarannya sering sahaja terkandas.

Sungguh. Saya antara saksi yang melihat kegigihannya berusaha untuk memastikan permohonan pertukaran itu diluluskan. Panjat pejabat menteri sudah. Berkampung di KPM sudah. Berumah tangga di JPN Kelantan pun sudah. Tapi, permintaannya tetap juga belum dikabulkan.

Kemuncaknya, perasaan saya bergejolak tatkala membaca luahan yang dihantar terus ke peti WhatsApp.

Allahu. Selepas dua minggu bercuti bersama anak isteri, inilah masa yang paling tidak aku gemari, pulang ke Sungai Besar. Biasalah, sebelum pulang, aku perlu berperang dengan emosi dahulu. Terutama dengan anak kecil nan seorang ini. Kalau boleh biar mama dia sahaja yang hantar adik ke rumah mama nenek. Sebab aku sedia maklum, jika aku yang hantar pasti akan ada drama yang mengundang juraian air mata. Air mata aku dan dia.

"Adik bangun lah. Dah pukul 8 dah ni. Abah nak balik Selangor pula. Abah hantar adik ke rumah mama nenek ya?"

Tanpa buka mata, kepalanya digelengkan.

"Lepastu adik nak duduk dengan siapa? Abah nak balik Sungai Besar dah ni."

"Abah lah." Jawab adik ringkas.

            Adik mula menangis. Ya, memang itulah kebiasaannya. Habis sudah skil memujuk digunakan tetapi teriakan adik semakin kuat. Aku sumbat semula botol susu di mulutnya. Dia tenang dalam dakapan lena.

Wajah adik, aku tatap dalam-dalam. Allahu. Entah bila ujian ini akan berakhir. Di saat orang lain dapat melihat segala yang pertama tentang anak mereka, aku pula hanya mampu tersenyum di kejauhan.

“Abah. Adik sudah pandai berjalan.”
“Abah. Adik sudah bercakap.”
“Abah. Adik sudah boleh meniarap.”

Khabar itu hanya mampu aku tatap lewat pesanan ringkas daripada sang isteri. Perlahan-lahan air mata aku menitis.


Waktu sudah semakin lewat. Adik masih lena di pembaringan. Sedangkan banyak lagi kerja yang perlu diberes sebelum aku meninggalkan rumah ini sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi. Andai dikejut, pasti dia menangis.

Aku meletakkan tangan ke atas badan adik. Laju jemariku mencari titik kelemahannya. Geletek dan bergurau. Ada tindak balas. Adik sudah mula senyum dan ketawa.

Allahu. Apakah tergamak untuk aku meninggalkan anak kecil ini disaat dia sangat-sangat memerlukan abahnya di sisi? Aku tidak kuat.

“Abah menangis?” Adik mengelap air mata yang tumpah dengan tangannya.

“Tak. Abah sakit mata.”

Adik bangun lalu mencium mataku. Lama. Luruh lagi manik jernih itu tanpa dapat ditahan.

"Dik. Jom pergi rumah Sadat." Aku cuba bermain kata dengan mengajak adik ke rumah sepupunya.

Ada senyuman terlukis di wajah adik. Umpan aku sudah mengena.

"Tapi dengan syarat. Kena mandi dahulu."

Adik mengangguk. Dia bangun lalu mandi. Siap mandi dan berkemas, adik ingatkan aku semula.

"Abah. Adik nak pergi rumah Sadat, ya."

Aku terdiam. Melayan perasaan yang berperang di dalam dada.

Sampai di bulatan jalan yang akan menghala ke rumah pengasuh, sekali lagi adik bersuara.

"Abah. Adik nak pergi umah Sadat" Ada getaran di hujung suara.

Aku ligat mencari jawapan agar adik tidak menangis.

"Abah nak pergi beli nasi di kedai kawan abah dulu, ya." Sekali lagi aku terpaksa melencongkan kata agar rasanya tidak terguris.

Bila sampai di rumah pengasuh, sedaya upaya untuk aku elak dari bertembung mata dengannya. Tapi apakan daya. Wajah ini hanya aku akan temui dua minggu lagi. Dengan wajah yang sarat emosi, anak kecil itu aku peluk semahunya. Air mata adik semakin galak bertakung. Kelopak matanya berkedip menahan galau. Perlahan-lahan dia berbisik.

" Abah. Abah kata nak hantar adik pergi rumah Sadat. Abah tipu." Akhirnya pecah juga teriakan adik,

Maafkan abah, adik. Tidak ada abah yang sanggup menipu anaknya. Tapi jika abah tidak menipu, hati abah akan sakit. Jiwa adik juga akan terseksa. Biarlah abah terus menipu asalkan kita hidup bahagia. Adik doakan agar abah dapat pindah ya. Kita dapat hidup bahagia Bersama buat selamanya.

Saya tabik kepada semua rakan-rakan yang PJJ. Saya doakan agar kalian tetap tabah menempuh ujian ini. Teruskan usaha. Pantang menyerah.


Wednesday, August 29, 2018

MyTarget di Sinar Harian

12:35 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki.

Siapa sangka, sedikit usaha kami telah mendapat pengiktirafan sehingga mendapat liputan daripada akhbar Sinar Harian.

Syukur ya Allah. Semoga pelajar SMK akan terus sukses dengan modul MyTarget.

Wednesday, August 22, 2018

MyTarget Graf Prestasi Diri

12:10 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia.


Kerana banyak rungutan yang diterima daripada para pelajar, sekumpulan Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Besar telah mencipta satu modul bagi membantu para pelajar tingkatan 5 memantau perkembangan prestasi pelajaran mereka seterusnya memilih hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas SPM.



Program yang dinamakan sebagai MyTarget Graf Prestasi Diri itu, telah membantu ramai pelajar terutamanya pelajar yang ketandusan idea untuk menyambung pelajaran berdasarkan keputusan SPM yang diperoleh.
Modul ini yang menggabungkan beberapa elemen menyokong dan membantu pelajar untuk menjejak prestasi dalam peperiksaan yang diadakan sepanjang tahun seperti, ujian prestasi 1, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan dan peperiksaan SPM sebenar.


MyTarget Graf Prestasi Diri ini yang telah dianugerahkan sebagai Anugerah Amalan Terbaik Kaunseling peringkat daerah Sabak Bernam, menggabungkan beberapa komponen seperti soalan pra dan post, pengiraan mata merit, semak syarat ke universiti dan inventori minat kerjaya menjadi tiang kepada program utama iaitu Graf Prestasi Diri.
Nurulhuda Ramli, ketua Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Besar berkata “modul ini bertepatan dengan 4 fokus utama dalam bidang bimbingan dan kaunseling iaitu Pengurusan Masa Depan & Kerjaya, membantu pelajar untuk memilih arah tuju dan kerjaya dengan jelas dan konsultasi secara percuma akan diberikan untuk menolong mereka fokus kepada penetapan cita-cita.”
Gabungan antara elemen tradisional dan teknologi menjadikan modul ini unik serta meraikan tiga kelompok utama pelajar yang terdiri daripada golongan visual, golongan auditori dan golongan kinestetik.


Tambah Nurulhuda lagi, “diharapkan agar modul MyTarget Graf Prestasi Diri ini akan diterima dan digunapakai oleh semua guru bimbingan dan kaunseling seluruh Malaysia demi membantu pelajar untuk mencapai cita-cita mereka terutamanya menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi.”



Thursday, August 9, 2018

Logo MyTarget Terbaharu

12:33 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. MyTarget sudah ada logo. Harapnya logo ini mampu meningkatkan semangat para pelajar. Syukur.

Yeayyyyy.

Sunday, December 10, 2017

Beli Secara Online. Boleh Percaya Ke?

12:48 AM Posted by Lobam No comments


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas nikmat yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta.


Image result for beli online
Sumber gambar Google.


Saya pernah melakukan kaji selidik berkenaan pembelian secara online. Rata-rata ramai yang sudah percaya kepada pembelian secara dalam talian ini. Tetapi masih juga ada yang skeptikal terhadap revolusi membeli-belah ini.

Antara alasan yang saya perolehi ialah,

1. Lebih senang beli di kedai supaya dapat pegang dan lihat kualiti sesuatu barang.
2. Takut ditipu. 
3. Tidak ada perbankan internet.

Agak melucukan apabila di zaman yang serba canggih dan pantas ini, ramai lagi yang tidak ada perbankan internet. Ya. Percayalah. Masih ramai lagi yang selesa untuk berurusan secara konvensional. Ambil nombor dan tunggu giliran untuk berurusan di kaunter. Sama ada untuk transaksi pembelian ataupun pembayaran bil.

Sedar tak sedar, sekarang kita sudah berada di dunia tanpa sempadan. Buatlah apa sahaja, semua urusan di hujung jari. Tambahan kini, dunia sedang menuju ke arah cashless society. Lihat sahaja di China. Kebanyakan urusan pembayaran dan transaksi kewangan menggunakan medium WeChat dan Alipay. Lebih mudah dan selamat.

Apabila menyebut tentang pembelian secara dalam talian (online shopping), saya mengenali cara membeli belah ini seawal tahun 2006. Waktu itu, pilihan saya hanyalah www.lelong.com.my. Barang pertama yang saya beli ialah jam tangan. 

Masa itu, laman web Lelong masing aktif dengan aktiviti bida. Seronok rasanya apabila dapat membida barangan yang kita suka dengan harga yang munasabah. Sungguh. Sekali saya menang, ia menjadi ketagih. Mahu bida lagi dan lagi.

Apabila sudah menang, seller akan menghubungi pemenang untuk urusan pembayaran. Masa itu, online banking masih belum meluas seperti sekarang. Jadi bagaimana caranya? Seperti biasa, pergi ke bank, beratur dan buat pembayaran.

Wow. Apabila barang sudah di tangan, gembira tak terkata, Itulah pengalaman kali pertama saya membeli secara dalam talian.

Bermula dari situ, saya kerap membeli melalui internet. Antara barang termahal yang pernah saya beli ialah telefon bimbit yang berharga ribuan ringgit. Pada mulanya agak waswas juga. Ya lah. Itulah kali pertama saya membeli barang berharga lebih daripada RM500 tanpa berurusan secara berhadapan. Kalau kena tipu, habislah. Mujur. Barang selamat sampai dan saya sangat berpuas hati.

Jika ditanya apakah barang yang kerap saya beli secara dalam talian? Jawapannya tiada yang spesifik. Apa yang berkenan di hati semua saya beli. Bermula dari barang dapur hinggalah barangan elektrik.

Sekiranya saya ditanya lagi, apakah laman membeli belah secara dalam talian yang saya gemari? Tanpa ragu-ragu saya akan menjawab, LAZADA, Revolusi Dalam Talian. Sudahlah murah, barangnya berkualiti pula.

Sungguh. Ini antara buktinya.


Beg panjang SoKaNo yang dibeli pada 17 Disember 2016 masih sihat wal'afiat sehingga hari ini.


Nampak? Mudah dan jimat. Jangka hayatnya panjang pula. Hehehehe.

Kemudian saya pernah berhajat untuk membeli air fryer. Banyak laman web saya singgah untuk mencari harga yang terbaik, akhirnya saya jatuh hati dengan harga yang ditawarkan oleh Lazada. 


Sudah lebih setahun, Trio Air Fryer yang dibeli melalui Lazada ini masih berfungsi dengan elok tanpa pernah rosak. Alhamdulillah. Tanpa perlu berbelanja lebih, tahan lama pula.

Kenapa saya gemar membeli secara dalam talian?

Bila sudah beranak empat ini, saya gemar membeli barangan kanak-kanak di Lazada. Sama ada pakaian atau barang seharian. Antara barang kegemaran saya ialah lampin pakai buang jenama Drypers.



Murahkah? Sebelum saya membuat pembelian, saya akan buat perbandingan harga dahulu. Adakah harga dalam talian termasuk pos lebih murah berbanding harga di kedai? Jika ya, barulah saya beli. Ternyata harga yang ditawarkan oleh Lazada lebih jimat walaupun harga sudah termasuk kos penghantaran.

Jadi jawapan saya mengenai pembelian secara dalam talian (online shopping) ialah:

1. Mudah. Tidak perlu bersesak di kedai.
2. Murah. Jauh lebih jimat berbanding pembelian di pasaraya.
3. Banyak pilihan barangan.
4. Tidak perlu berpenat untuk pergi ke pelbagai kedai. Dalam talian cukup hanya dengan 1 laman web sahaja.
5. Pilihan pembayaran yang mudah.
6. Jaminan atau warranty yang bagus.

Fuhhh. Tak larat saya nak senaraikan. Banyak sangat faedah pembelian secara dalam talian ini.

Kepada pembaca yang budiman.



Tahukah anda yang Lazada sedang mengadakan jualan Online Revolution (<-- Klik Sini) yang berlangsung dari 11 November hingga 14 Diseber 2017?

Ya. Satu jualan besar-besaran sedang berlangsung di Lazada. Banyak tawaran dan hadiah menarik disediakan buat pembeli. 

Apa kelebihan Lazada Online Revolution ini?

1. Penghantaran Percuma Seluruh Malaysia.
2. Fun Flash Sale
3. Suprise Boxes.
4. Pelbagai Baucer.
5. Diskaun hilang akal sehingga 90%.
6. Pelbagai pilihan jenama.

dan banyak lagi.....

Apakah anda mahu melepaskan peluang terakhir untuk tahun ini? Jika ditanya kepada saya, sudah tentu jawapannya tidak. Saya sendiri tidak sabar untuk membeli belah pada 12 Disember nanti. Sungguh saya tak sabar.

Apa yang ingin saya beli?


Inilah barangan yang berada di dalam wish list saya. Johnson Fitness Tempo T81 Treadmill

Saya tahu, biarpun saya masih belum mampu untuk membeli alat senaman ini, tidak salah rasanya untuk saya meletakkan impian di dalam bucket list saya kan? Mana tahu, sampai satu masa jika dikurniakan rezeki, dapatlah saya membeli alat senaman yang diidamkan ini.

Kepada para pembaca yang budiman.

Adakah anda masih ragu-ragu untuk membeli secara dalam talian? Saya harap dengan perkongsian ini, anda sudah berani untuk memulakan pembelian pertama anda secara online. Boleh percaya ke? Ya, dengan Lazada Online Revolution, letakkan ketakutan anda di tepi. Jom kita meriahkan jualan 12. 12 nanti.


Monday, November 27, 2017

Hala Tuju Selepas Sarjana Muda

8:08 AM Posted by Lobam No comments
Image result for ke mana selepas ijazah




Assalamualaikum. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta ahlul bait dan sahabat baginda.

Sehari dua ini, kisah UPSR menjadi sohor kini (trending). Banyak pendapat yang diutarakan baik oleh ahli akademik sendiri mahupun netizen. Biarlah. Saya tidak mahu menyentuh tentang hal itu.


Selain daripada kisah UPSR, dinding media sosial juga meriah dengan warna-warni istiadat majlis konvokesyen yang dianjur oleh pelbagai universiti. Keseronokan jelas terpancar di wajah para graduan. Tidak dilupa ibu bapa mereka juga. Tahniah saya ucapkan.

Sabar adik-adik sekalian. Jika anda merasakan, kehidupan anda sudah sempurna, tunggu dahulu. Sebenarnya, perjalanan hidup anda baru sahaja bermula. Anda akan menempuhi kehidupan yang jauh lebih mencabar di luar sana selepas ini.

Jika semasa di universiti, semuanya ditanggung. Tidak ada wang, telefon sahaja keluarga di kampung. Sehari dua kemudian anda boleh kembali tersenyum riang apabila wang dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

Sekarang tidak lagi wahai adik-adik ku. Inilah kehidupan anda. Kehidupan sebenar.

Semalam saya bertembung dengan anak murid yang sudah menyelesaikan ijazah sarjana mudanya tahun lalu. Seperti biasa, soalan wajib tanya, “buat apa sekarang?” Seperti biasa juga jawapan klise yang saya terima, “sedang menganggur cikgu.”

Allahu. Tiada kata yang dapat saya ucapkan. Anak murid saya ini tidak sendirian. Ramai lagi rakan-rakan yang senasib dengannya. Malah saya yakin, ribuan lagi graduan yang telah menamatkan pengajian setahun, dua tahun lalu masih belum mendapatkan pekerjaan.

Kita patut mengucapkan terima kepada kerajaan apabila mewujudkan SL1M. Dengan SL1M, graduan ini akan dilatih secara hands on di dalam industri yang bersesuaian. Tetapi SL1M bukan penyelesai masalah. Kerana selepas habis tempoh, graduan akan kembali menganggur.

Saya bersyukur kerana tidak merasai tempoh pengangguran. Allah permudahkan rezeki saya. Selepas pulang ke Malaysia, saya ditempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah Rembau sebagai budak pejabat. Waktu itu elaun hanya RM500 sahaja. Tidak lama selepas itu, saya dipilih untuk menjadi guru pula. Dua bulan selepas menjadi guru, saya berkahwin. Dengan elaun RM500 yang saya terima dahulu, saya kumpul untuk kehidupan selepas berkahwin sementara menunggu gaji yang tertunggak selama 3 bulan.

Ya, itu adalah cerita sepuluh tahun dahulu. Sekarang? Zaman sudah berbeza. Situasi juga tidak sama.

Kepada para graduan, SELAMAT DATANG KE DUNIA SEBENAR. Dunia yang penuh mencabar. Dunia yang membuatkan anda menyesal dan terasa seperti ingin kembali semula ke zaman belajar.

Tempuhilah kehidupan ini dengan reda demi meneruskan kelangsungan hidup. Setidak-tidaknya untuk membayar keseronokan yang telah anda kecapi dahulu. Hutang PTPTN.

Semoga berjaya adik-adikku.

Elyana Gegar Vaganza Dedah Menghidapi Kanser Limfoma Tahap 4

12:27 AM Posted by Lobam , , No comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas nikmat yang tidak bertepi. Serta selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Image result for elyana gegar vaganza

Perjalanan Elyana di Gegar Vaganza musim ke 4 2017 terhenti di minggu ke 5. Sebaik sahaja diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terakhir, Elyana telah menggemparkankan seluruh penonton sama ada di Dewan Sri Putra Bukit Jalil mahupun penonton di rumah. 

Dalam diam, sebenarnya Elyana menghidapi Kanser Limfoma tahap 4.

Untuk pengetahuan anda, anak salah seorang Juara Gema Gegar Vaganza yang pertama, Bazli daripada kumpulan UNIC juga menghidapi kanser yang sama. Syahid telah selamat bertemu dengan pencipta pada bulan Juan 2017 yang lalu.

Anak Bazli UNIC Meninggal Dunia Akibat Kanser


Apa itu kanser Limfoma? Utusan Malaysia 22 September 2015 ada menyebut,

"Limfoma Hodgkin merupakan kanser darah yang bermula dari sel lymphocytes, iaitu sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir dikenali sebagai limfa, yang merupakan sebahagian daripada sistem imun manusia.


Apabila nodus limfa membengkak, lymphocytes yang tidak normal akan membentuk sel tumor yang boleh menyebabkan berlakunya Limfoma Hodgkin."

Elyana, 30 yang lebih senang disapa Nana menyatakan benjolan Limfoma itu telah berada di seluruh tubuhnya termasuk di paru-paru dan jantung. Nana juga menyatakan bahawa dia sudah berpuluh kali menjalani kimoterapi dan yang terakhir adalah pada awal tahun 2017. Kerana tidak mampu menahan kesakitan, akhirnya Elyana memberhentikan proses kimoterapi tersebut dan meletakkan seluruh kepercayaan kepada Allah disamping berusaha dengan cara yang lain. 

Antara simtom yang kerap dirasa ialah, lesu dan sukar bernafas. Setiap malam juga Elyana berasa takut untuk melelapkan kerana khuatir itu adalah tidurnya yang terakhir. Untuk itu, Elyana lebih banyak menghabiskan masa bersama anaknya yang kini berusia enam tahun.

Di akhir ucapan, Elyana menyeru kepada semua pesakit kanser untuk bangkit melakukan apa sahaja perkara yang digemari. 

Ayuh rakyat Malaysia kita doakan agar Elyana akan diberi kesembuhan dan dapat menjadi seorang hamba yang bertakwa. InsyaAllah.